BAB 6 : PERANG BERMULA
“Benar
tuanku. Kewibawaan dan kepakaran Jeneral Memnon tidak boleh disangkal lagi.
Tetapi, meratapi kematian beliau, bukan satu perkara yang bagus, lebih-lebih
lagi ketika Raja Iskandar telah bersiap sedia untuk menghadapi kita pada esok
hari,” pujuk Jeneral tersebut kepada Raja Dara.
Tersentak
dengan kata-kata Jeneral tersebut, Raja Dara yang tadi teringatkan kisah
Jeneral Memnon mula berjalan mengelilingi Jeneral tersebut.
“Jika
begitu, apa cadangan kamu untuk menghalang kemaraan Raja Iskandar?” tanya Raja
Dara dengan serius.
“Kita
sedia tahu tuanku, bahawa kita adalah halangan terakhir sebelum Raja Iskandar
dapat meneruskan kempen untuk ke Timur. Jika baginda gagal esok, maka
terbantutlah kempen tersebut, seterusnya menyelamatkan kerajaan dan empayar
tuanku yang dibina sejak turun temurun,” jelas Jeneral tersebut.
“Jadi,
apa rancangan kamu untuk menghalang baginda. Tunggu! Beta rasa, beta tahu
bagaimana,” sambut Raja Dara.
Jeneral
tersebut yang seketika itu mahu mencadangkan cadangannya, terdiam sebentar
akibat kata-kata Raja Dara yang ingin mencadangkan sesuatu.
“Apa
dia tuanku?” tanya Jeneral tersebut.
“Begini,
beta dengar bahawa Raja Iskandar telah bergerak ke selatan Issus untuk
bergabung dengan Jeneral Parmenion, meninggalkan askar dan bekalannya di Issus.
Taktik yang terbaik bagi menghalang kemaraan dan seterusnya, mengalahkan Raja
Iskandar adalah dengan menyerang Issus, putuskan bekalan beliau dan serang
mereka semua dari belakang,” cadang Raja Dara.
Tidak
jauh dari mereka berdua, kelihatan satu susuk tubuh yang sedang asyik mendengar
perbualan tersebut. Mendengarkan cadangan Raja Dara, beliau tiba-tiba keluar
dan menyapa mereka berdua.
“Siapa
kamu? Berani-berani sahaja kamu mencuri dengar perbualan kami! Adakah kamu
tidak takut akan hukuman yang akan kami jatuhkan kepada kamu?” herdik Jeneral.
“Ya,
kamu boleh dikenakan hukuman yang berat. Eh, tunggu dulu, melihat dari susuk
tubuh dan perwatakan kamu, kamu bukan orang Parsi, betul?,” tanya Raja Dara.
Dalam
ketakutan akibat diherdik dan diugut oleh mereka berdua, orang tersebut
menyatakan siapa diri beliau yang sebenar.
“Ampun
tuanku, ampunkan patik kerena mencuri dengar perbualan tuanku berdua. Patik
cuma lalu di sini, dan tercuri dengar perbualan tuanku. Izinkan patik
memperkenalkan diri patik,” kata orang itu.
Raja
Dara dan Jeneral mengangguk dan memberikan isyarat untuk meneruskan cerita.
Setelah
menghela nafas yang panjang, orang tersebut memulakan cerita.
“Ampun
tuanku. Patik hanyalah seorang askar biasa yang bertugas dibawah arahan tuanku.
Namun begitu, patik punya pengalaman berperang bersama Raja Iskandar,” jelas
orang tersebut.
“Hah,
jika begitu, kamu seorang pengintip! Ini tidak boleh dibiarkan, kamu harus
dihukum pancung!” marah Raja Dara.
Mendengar
kata-kata Raja Dara, orang tersebut meneguk air liur beliau. Mukanya pucat
lesi, dan kelihatan peluh dingin mula membasahi dahi beliau. Beliau
menggeleng-gelengkan kepalanya, beliau merasakan, menyampuk perbualan mereka
berdua bukan satu perkara yang bernas. Beliau mula panik melihatkan Jeneral
mula menghunuskan pedangnya kea rah beliau.
“Jelaskan,
siapa diri kamu yang sebenar!” herdik Jeneral.
“Sebentar,
tunggu dulu. Dengarkan penjelasan patik. Tuanku, izinkan patik berbicara
dahulu. Jika benar patik salah, pancunglah kepala patik,” rayu orang tersebut.
Mendengarkan
rayuan orang tersebut, Raja Dara memegang
tangan Jeneral, mengisyaratkan supaya beliau menurunkan pedangnya dari leher
orang itu.
“Cakap,
beta izinkan, jika kamu ternyata pengintip, pedang ini tidak akan teragak-agak
untuk memancung kamu,” jelas Raja Dara memberikan keizinan.
Orang
tersebut menghela nafas lega mendengarkan keizinan Raja Dara. Beliau mngesat
peluh dingin di dahi beliau sebelum meneruskan kata-katanya.
“Ampun
tuanku. Begini, nama patik Amyntas. Patik merupakan orang Macedonia, dan salah
seorang bekas tentera Raja Iskandar, yang lari mendapatkan perlindungan di
Parsi. Patik kemudian, menyertai tentera ini bagi menghalang kemaraan Raja
Iskandar,” jelas Amyntas.
“Patik
lalu di sini sebentar tadi ketika dalam perjalanan patik untuk ke khemah patik,
lalu terdengar perbulan tuanku berdua. Patik mengambil keputusan untuk
menyampuk apabila terdengar cadangan tuanku untuk menghalang Raja Iskandar di
laluan sempit tersebut. Patik rasakan yang ia bukan satu cadangan yang bernas
untuk menghadapi Raja Iskandar,” Jelas Amyntas lagi.
“Kenapa
pula begitu? Jelaskan kepada beta!” herdik Raja Dara.
“Melihatkan
kesungguhan tuanku untuk melaksanakan cadangan itu, membuatkan patik tidak
senang duduk. Patik sangat hadam akan cara dan sikap Raja Iskandar, kerana
patik telah lama mengikuti beliau. Tidak mungkin tuanku dapat melaksanakan
perkara tersebut,” kata Amyntas.
“Tidak
mungkin kamu kata? Itulah satu-satunya cara untuk menghalang Raja Iskandar dari
terus mara dan menghalang beliau dari lari!” herdik Raja Dara.
Sambil
menggelengkan kepalanya, Amyntas menambah percakapannya lagi.
“Betul
tuanku. Tetapi, cuba tuanku fikirkan, melalui pengalaman patik, patik rasakan
yang baginda sudahpun memulakan perjalanan melintasi jalan tersebut. Jika
tuanku berbuat sedemikian, patik risau, yang tuanku akan menghadapi tentangan
yang maha hebat kerana baginda sudahpun melintasinya nanti dan bergabung dengan
Jeneral Parmenion. Patik cadangkan, tuanku tetap di Sochi ini. Di kawasan
lapang selatan Gunung Amanus ini adalah tempat yang sangat sesuai untuk tuanku
melebarkan formasi askar tuanku yang besar itu, lalu menjadi satu kelebihan
kerana tuanku akan mempunyai ruang untuk mengepung Raja Iskandar dan askarnya
nanti,” cadang Amyntas.
“Bayangkan,
jika tuanku menyerang Raja Iskandar di celah – celah yang sempit sekitar Issus,
askar tuanku tidak mempunyai ruang yang cukup untuk melebarkan formasi.
Akibatnya, sungguh pun askar tuanku melebihi askar Raja Iskanda r dengan nisbah
2:1, askar yang berada dihadapan yang menghadapi askar baginda akan menjadi
sama banyak, tiada kelebihan kepada tuanku,” tambah Amyntas.
“Mengarut.
Kamu hanyalah seorang askar yang boleh diragui kewibawaannya kerana kamu adalah
orang Macedonia. Mungkin ini adalah salah satu helah Raja Iskandar. Jika beliau
sendiri boleh masuk sesuka hati di khemah beta dengan menyamar sebagai wakil
raja, adalah tidak mustahil jika beliau meletakkan kamu sebagai pengintip.
Sudah, kita akan teruskan rancangan kita untuk menyerang Raja Iskandar di
laluan tersebut! Siapkan askar kita!” arah Raja Dara kepada Jeneralnya.
Amyntas
menggelengkan kepalanya, lalu beredar dari situ. Beliau kecewa dengan Raja Dara
yang enggan mendengar cadangannya. Beliau yakin benar, yang Raja Dara akan
menemui kegagalan nanti jika ingin terus dengan rancangan tersebut. Tetapi,
apakan daya, beliau hanyalah orang asing dan seorang askar biasa.
Malam
itu juga, berbekalkan sinar rembulan dan semangat yang berkobar-kobar untuk
mengalahkan Raja Iskandar, Raja Dara mengarahkan bala tenteranyayang berjumlah
600,000 orang untuk bergerak ke arah Cicilia menuju ke bandar Issus melalui
celah bukit tersebut.
Di
dalam bala tenteranya itu, ada terkandung pelbagai unit perang yang setiap
satunya ada tugas dan keistimewaannya tersendiri. Tentera berkuda Parsi yang
dibarisi oleh kuda-kuda yang baik mutunya, gagah susuk tubuh mereka, dan
dihiasi dengan perisai-perisai perang Parsi yang ditempa dari besi terbaik
dunia. Penunggangnya pula kelihatan mempunyai susuk tubuh yang gagah, tambahan
lagi dengan seragam besi serta tombak panjang lagenda, melihatkan mereka
seolah-olah tidak terkalah, dan menggerunkan sekali.
Di
dalam bala tentera itu juga, terkandung sejenis unit tentera lagenda. Lagenda
mengatakan yang mereka ini dari golongan Jin. Mereka berlawan dengan begitu
ganas sekali, tidak kira siapa, mereka akan mencantas kepala-kepala musuh yang
berada dihadapan mereka. Tambahan lagi, lagenda menyatakan yang mereka tidak
akan mati walaupun ditusuk pedang sekalipun. Reputasi lagenda ini mereka
perolehi kerana jumlah mereka tetap 10,000 orang, tidak pernah kurang, serta
seragam yang mereka pakai adalah sama, dengan kepala yang bertutup, tambahan
lagi dengan latihan ketenteraan yang keras, selayakknya mereka mendapat gelaran
“Immortal” dan reputasi yang menggerunkan itu.
Unit
lain pula adalah tentera upahan dari Yunani. Ada yang sertai secara suka rela,
ada yang sertai kerana melarikan diri mencari perlindungan. Salah satu dari
mereka adalah Amyntas.
Maka,
beraraklah bala tentera Darius yang sekian banyakknya pada malam itu juga. Raja
Dara, begitu yakin, dengan jumlah bala tenteranya, serta strateginya itu, mana
mungkin Raja Iskandar mampu memperoleh kemenangan mutlak, malah, beliaulah yang
selayakknya memperoleh kemenangan tersebut.
Di
dalam bala tentera tersebut, Amyntas yang tadi cuba meyakinkan Raja Dara untuk
tidak melakukan ekspedisi ini, kelihatan agak sugul. Sesekali, terlihat beliau
menggelengkan kepalanya. Ada kalanya beliau membebel bersendirian. Melihatkan
keadaan itu, rakannya menyapa beliau untuk bertanyakan apakah masalah beliau.
“Wahai
Amyntas sahabatku, rakan sepejuanganku, aku lihat kamu dari tadi begitu sugul
sekali. Malah sekeali kelihatan kamu mengeluh. Jika kamu ada masalah,
berkongsilah dengan aku. Mana tahu, aku boleh mencadangkan jalan penyelesaian,
atau kamu takut untuk berperang?” tanya sahabat Amyntas.
Tersentak
dengan pertanyaan tersebut, Amyntas membetulkan topinya yang sedikit senget,
sebelum memulakan bicaranya.
“Wahai
sahabatku. Aku sugul bukanlah takut untuk berperang. Aku sudah bertahun-tahun
berperang bersama Raja Iskandar. Mana mungkin wujud perasaan gentar di hatiku
ini, kerana ini bukan perangku yang pertama,” ujar Amyntas.
“Oleh
itu sahabatku, nyatakan, apa masalah kamu yang sebenarnya?” tanya sahabatnya.
“
Sahabatku, seperti yang aku katakan tadi, aku telah berperang bersama-sama Raja
Iskandar, maka, aku masak benar akan perangai serta perancangan Raja Iskandar.
Aku rasakan yang Raja Iskandar telahpun mengetahui rancangan ini, dan aku yakin
benar beliau telahpun menanti kita di sana dengan perancangan yang lagi
sempurna. Aku yakin, yang kita akan kalah!” kata Amyntas sedikit kuat.
Jeneral
Raja Dara yang dari tadi memerhatikan mereka berdua datang ke arah mereka
bersama kuda yang ditungganginya.
“Kamu
berdua! Tumpukan perhatian! Kita dalam misi penting! Ingat! Raja Dara Raja yang
tidak terkalah. Lagi-lagi dengan Raja Iskandar yang baru setahun jagung itu!
Hentikan kata-katamu wahai Amyntas! Atau kau akan merasa betapa tajamnya
pedangku ini apabila ia hinggap di lehermu nanti!” Herdik Jeneral tadi.
Mereka
berdua akur dan terus mendiamkan diri. Mereka terus berkawad melalui celah
bukit itu. Malam itu merupakan malam yang panjang bagi mereka semua. Mereka
semua tidak tahu apakah nasib mereka semua. Adakah mereka akan berjaya
menegakkan panji panji mereka dengan gah di medan perang nanti, atau terus
terkubur dengan kekalahan yang memalukan. Bak kata orang tua-tua, untung sabut
timbul, untung batu tenggelam. Dalam peperangan, apa-apa sahaja boleh berlaku.
Panglima perang yang gah dan tidak terkalah sekalipun boleh tumbang apabila
bertemu dengan panglima yang setahun jagung.
Sehari
sebelumnya di bandar Issus, seoarang askar berlari ke arah Raja Iskandar, dan
menghadap Raja Iskandar secara tergesa – gesa.
“Ampun
tuanku, patik membawa perkhabaran dari Jeneral Parmenion yang berkhemah di Belen,
selatan Issus,” sembah askar tersebut kepada Raja Iskandar.
“Sampaikan
perkhabaran kamu wahai askar yang setia,” titah baginda.
“Tuanku,
Jeneral Parmenion memberi perkhabaran bahawa Raja Dara telah tiba di Sochi,
dengan 600,000 bala tenteranya,” sampai askar tersebut.
Terkejut
mendengarkan perkhabaran itu, muka Raja Iskandar berubah.
“Jika
begitu, siapkan askar kita. Beta yakin, Raja Dara akan menuju ke Issus. Kita
akan bergabung dengan Parmenion di laluan Beilan. Laluan itu adalah laluan yang
paling hampir untuk sampai ke Issus,” titah Raja Iskandar.
Tanpa
membuang masa, Raja Iskandar dan sebahagian bala tenteranya berkawad menuju ke
Belen, manakala sebahagiannya tinggal bagi mengawal bandar Isssus.
Pada
keesokkan harinya, tanpa diduga oleh Raja Iskandar, maka tibalah Raja Dara di
bandar Issus. Melihatkan jumlah askar yang sedikit, tanpa membuang masa, Raja
Dara mengarahkan bala tenteranya untuk menyerang dan menawan bandar Issus dalam
masa yang singkat. Ramai askar Raja Iskandar yang berkawal terbunuh, dan
sebahagiannya ditawan dan dijual sebagai hamba. Raja Dara dan bala tenteranya
bersorak keriangan atas kemenangan mudah itu.
“Wahai
bala tentera beta, telah beta katakan, bahawa Raja Iskandar tidak akan mampu
menandingi beta, beta yakin, Raja Iskandar akan berpatah balik ke sini, kerana
bekalannya telah terputus, sebelum baginda sempat bergabung dengan askarnya
yang lain di Belen! Hahaha,” Raja Dara ketawa dengan angkuhnya.
“Ayuh
semua, jangan membuang masa, kita berarak menuju ke arah Raja Iskandar dan kita
hapuskannya!” titah Raja Dara kepada bala tenteranya.
Di
Belen pula, Raja Iskandar telahpun selamat tiba dan menanti Raja Dara di celah
laluan tersebut. Tiba – tiba, baginda dikejutkan dengan berita bahawa Raja Dara
telah berjaya menawan bandar Issus dengan mengelilingi Gunung Manus, dan menuju
ke bandar Issus melalui gerbang Amanic.
“Tidak
beta sangka, Raja Dara dapat mengatasi perancangan beta dan menawan bandar
Issus,” ucap Raja Iskandar kepada Jeneral Parmenion.
“Tuanku,
jangan kita membuang masa di sini. Patik yakin baginda telah bergerak menuju ke
arah kita. Ayuh kita bergerak dan mengatasi mereka,” cadang Jeneral Parmenion.
Maka
dengan pantas, mereka semua bersiap untuk meninggalkan tempat tersebut dan
berpatah balik menuju ke Issus.
Dalam
perjalanan menuju ke arah Raja Iskandar, Raja Dara mula merasakan sesuatu yang
tidak kena. Melihatkan keadaan sekeliling,baginda berasa tidak sedap hati. Di
sebelah kanan merupakan teluk Issus, di sebelah kiri merupakan gunung. Jarak
yang memisahkan antara keduanya hanyalah 2 batu. Kini memang benar, kata – kata
Amyntas telah terbukti. Baginda dan bala tenteranya yang besar itu telah
tersepit. Baginda mula menyesal.
Baginda
mengarahkan jeneralnya untuk mencari lokasi yang sesuai untuk bertahan, di mana
ia mampu untuk menampung jumlah askarnya yang ramai itu.
“Tuanku,
patik cadangkan supaya kita menanti Raja Iskandar di tebing sungai Pinarus.
Kawasan itu sedikit lebar berbanding tempat lain,” cadang jeneralnya.
“Jika
begitu, ayuh kita ke sana,” titah Raja Dara.
Baginda
mengarahkan supaya unit infantri, askar upahan Yunani, dan unit Immortal untuk
berada di tengah bersama baginda, dan meletakkan askar berkuda di sayap kiri
dan kanan.
Tidak
lama kemudian, maka tibalah Raja Iskandar dan askarnya di seberang sungai
Pinarus. Tanpa berlengah, baginda memberikan arahan kepada askarnya,
“Askar
berkuda Thessaly, kamu akan diketuai oleh Jeneral Parmenion, bertahan di sayap
kiri. Beta akan mengetuai askar berkuda Companion di sayap kanan. Phalanx dan
infantri ringan, kamu berada di tengah!”
“Arahan
diterima,” jawab Jeneral Parmanion.
Melihatkan
formasi itu, dengan pantas Raja Dara mengarahkan askar berkudanya di sayap kiri
untuk bergabung dengan askar berkudanya di sayap kanan yang lebih landai dan
sesuai, bagi menyerang bahagian kiri askar Raja Iskandar.
Langit
yang gelap dilitupi awan mendung tadi mulai menurunkan hujan yang renyai
renyai.
“Masanya
telah tiba,” bisik Raja Dara kepada Jeneralnya.
Arahan
diberikan oleh Raja Dara untuk askar berkudanya menyeberangi sungai Pinarus dan
menyerang Jeneral Parmenion bersama askar berkuda Thessaly. Askar berkuda
baginda menghentam kuat pasukan Jeneral Parmenion. Jeneral Parmenion dan
pasukannya kelihatan sedang berusaha keras bagi mengekang serangan lawan yang
berjumlah 2 kali ganda dari pasukannya itu.
Di
bahagian yang lain, Raja Iskandar mengarahkan askar Phalanx dan infantri ringan
untuk menyeberangi Sungai Pinarus bagi menyerang bahagian tengah askar Raja
Dara. Bagi menghadapi serangan ini, Raja Dara mengarahkan pasukan pemanah untuk
menghujani pasukan musuh dengan anak panah. Langit yang tadi dipenuhi dengan
titis titis air hujan, kini selubungi anak panah. Suasanyanya amat mengerikan.
Askar Raja Iskandar terpaksa berusaha keras untuk melindungi diri dari terkena
anak panah itu semua.
Selepas
berjaya menyeberangi sungai Pinarus, dengan pantas askar Raja Iskandar mengasak
kedudukan lawan, tetapi kedudukan lawan agak strategik. Pasukan lawan bertahan
di tebing yang sedikit berbukit, menyukarkan pergerakan askar Raja Iskandar.
Mereka sukar untuk menegakkan tombak panjang yang dimiliki mereka. Keadaan
diburukkan lagi dengan air hujan yang membasahi bumi, menyebabkan mereka
kadangkala tergelincir kerana licin.
“Jika
terus begini, kita tidak akan mampu bertahan!” jerit seorang askar kepada ketuanya.
“Kekalkan
formasi, terus berdisiplin. Angkat tombak kamu, jika kita tidak boleh
menyerang, kita bertahan,” teriak ketuanya memberikan keadaan.
Asakan
demi asakan, dan serangan unit Immortal yang bertali arus seolah – olah mereka
tidak pernah mati itu hampir – hampir mematahkan semangat barisan tengah askar
Raja Iskandar yang sejak tadi hanya mampu bertahan akibat keadaan sekitar yang
tidak memihak kepada mereka untuk meneruskan serangan.
Melihatkan
keadaan itu, setelah melihat Jeneral Parmenion dapat masih mampu bertahan,
baginda, para Companion serta sebahagian dari infantri mengambil keputusan
untuk menyeberangi sungai Pinarus dan menyerang sayap kiri askar Raja Dara.
Baginda
mengasak kuat sayap kiri Raja Dara. Asakan yang terlalu kuat ini menyebabkan
sayap kiri Raja Dara runtuh dan askarnya bertebaran lari. Askar berkuda Raja
Iskandar mula memburu askar musuh yang lari lintang pukang dan membunuhnya.
Raja
Iskandar menoleh ke arah tengah, dan mendapati tenteranya sedang berusaha keras
menahan asakan musuh.
“Companion!
Berkumpul, lupakan niat kamu semua untuk mengejar si pengecut itu semua! Rakan
kamu lebih memerlukan kamu semua! Serang bahagian belakang askar Parsi itu!”
Raja Iskandar mengeluarkan arahan.
Setelah
berkumpul, mereka menyerang bahagian belakang askar musuh. Di bahagian tengah
askar Parsi, kelihatan Raja Dara sedang menghayun – hayunkan pedangnya, melibas
ke arah askar Phanlanx sambil menaiki kereta kuda. Sejurus melihat kelibat Raja
Dara, Raja Iskandar pantas memacu kuda kearahnya.
“Wahai
Raja Dara, beta datang di hadapanmu! Ayuh kita berlawan!” teriak Raja Iskandar
mencabar.
Raja
Dara tersentak mendengar cabaran itu. Mukanya merah, dan matanya berapi.
Baginda terus mengalihkan kereta kudanya dan memacu ke arah Raja Iskandar. Maka
berlakulah pertembungan satu lawan satu antara Raja Dara dan Raja Iskandar.
Pedang dilibas ke kiri dan ke kanan. Percikan api terhasil akibat pertembungan
antara dua pedang di raja. Bunyinya pula mengilukan apabila di dengar.
“Lihat,
Raja Iskandar dan Raja Dara sedang berlawan satu lawan satu! Ayuh, kita asak
lebih kuat. Jika Raja Iskandar berlawan dengan bersungguh – sungguh, kita juga
harus berlawan dengan semangat yang sama!” teriak ketua unit infantri.
Parmenion
pula yang sedang bertungkus lumus menahan asakan askar berkuda Parsi, kelihatan
mendapat semangat baru apabila melihat Raja Iskandar berlawan bermati – matian dengan
Raja Dara. Diasaknya kembali askar Parsi itu. Satu demi satu askar Parsi dilibas
menggunakan pedangnya. Pasukannya pun sama keadaannya.
Tiba
– tiba kedengaran Raja Iskandar menjerit,
“Argh!
Tak guna!” pehanya terkena libasan pedang Raja Dara.
Kelihatan
darah merah keluar dari lukanya yang dalam itu. Askarnya yang lain terkejut
dengan keadaan itu. Untuk mengelakkan dari mereka kehilangan semangat, baginda
menunjukkan isyarat seperti luka ringan dan tiada apa – apa. Apabila melihat
isyarat itu, askar baginda meningkatkan asakan. Serangan demi serangan
dilakukan. Dan akhirnya, barisan tengah askar Parsi runtuh.
“Macam
mana boleh jadi begini. Aku tidak boleh kalah,” bisik hati Raja Dara.
Baginda
kemudian menoleh ke kiri dan kanan untuk mencari jeneralnya. Sayang sekali,
jeneralnya telah tumpas di tangan askar Companion Raja Iskandar. Mayatnya
berlumuran darah. Raja Dara terkejut melihat keadaan itu.
Bagi
mengelakkan dari dirinya ditangkap, baginda menghentikan serangan dan memacu kerata
kudanya melarikan diri. Raja Iskandar enggan melepaskan baginda, memacu kudanya
mengejar Raja Dara. Tetapi tidak berjaya. Raja Dara berjaya melepaskan diri.
“Lihat,
Raja Dara telah melarikan diri. Kita telah tewas!” jerit seorang askar berkuda.
“Ya,
benar. Kita tidak boleh berada di sini, ayuh kita lari melepaskan diri juga,
jangan sampai ditangkap!” jerit ketua unit berkuda.
Walaupun
mereka hampir berjaya menghancurkan pasukan berkuda Parmenion, tetapi oleh
kerana moral mereka jatuh akibat raja mereka yang melarikan diri, mereka lari
meninggalkan pertempuran.
Akhirnya,
Raja Iskandar dan askarnya berjaya memenangi pertempuran ini. Menurut hikayat,
Raja Iskandar kehilangan 7,000 orang askar, dan Raja Dara kehilangan lebih dari
20,000 orang askar. Baginda kemudian ditanya jika mahu mengejar saki baki askar
musuh yang sedang bertempiaran lari. Baginda menjawab,
“Beta
rasa tidak perlu. Balik dan rehatlah. Ayuh kita cuci tangan dan badan kita dari
sisa – sisa pertempuran ini. Itu lebih baik,”
Mereka
kemudiannya pulang ke Issus dan berpesta bagi meraikan kejayaan itu.
Comments
Post a Comment