BAB 1: BERMULANYA SEBUAH HIKAYAT EPIK
Di
dalam kegelapan malam yang pekat, dilihatnya langit yang sebentar tadi
diterangi cahaya rembulan yang gemilang, kini, semakin kehilangan cahayanya
apabila awan hitam mula menutupi sang rembulan. Bukit bukau yang tadi kelihatan
gah akibat disinari cahaya rembulan, kini menjadi suram. Angin yang sepoi-sepoi
bahasa, kini mula meluncur laju. Pokok-pokok ru yang tumbuh meliar disekitar
sungai Hydasphes yang sebentar tadi melambai-lambai dengan tenang, kini
meliuk-liuk ganas. Angin yang menerpa kuat tadi membuatkan daun-daun serta
rumput berterbangan.
Susana
yang tenang dan damai tadi, bertukar menjadi kelam kabut dalam sekelip mata. Kadang
kala, suasana dibingitkan dengan dentuman petir dan kilat yang sabung
menyabung. Kelihatan, segelintir askar duduk di sekitar unggun api, yang tadi
rancak berbual-bual dengan rakan seperjuangannya yang lain, menyelimutkan diri
dengan kain mentalnya akibat kesejukan. Perbualan mereka terhenti kerana
terjahan angin yang kuat tadi. Suasana perkemahan tadi yang penuh dengan gelak
ketawa, kini menjadi hingar bingar kerana ada khemah yang tercabut pasaknya dan
hampir diterbangkan angin yang ganas. Ada yang berusaha membetulkan khemahnya,
dan ada pula masuk ke dalam khemah bagi mendapatkan perlindungan.
“Pegang
khemah ni kuat-kuat! Jangan kamu lepaskan, atau kamu semua akan tidur
beralaskan rumput, beratapkan langit!” jerit seorang askar yang agak berumur, mungkin
dia antara ketua unit yang dilantik oleh raja, untuk mengepalai unitnya.
“Tuan,
pasak khemah dihadapan telah tercabut! Jika dibiarkan, khemah ini akan terbang
mengenai unggun api!” jerit salah seorang askar yang bersusaha keras memegang
khemahnya daripada terbang ditiup angin.
“Kau
yang di sana, usah tercegat sahaja, pergi padamkan api-api unggun tu, arahkan
juga supaya yang lain dipadam, bagi mengelakkan apinya membakar khemah-khemah
di sini!” jerit ketuanya memberikan arahan.
“Baik
tuan!” jerit askar yang dari tadi tergamam akibat perubahan cuaca yang sekelip
mata itu.
“Engkau
pegang khemah ini kuat-kuat, aku nak betulkan kembali pasak khemah yang tercabut
tadi!” jerit ketua tadi kepada askar yang ternampak pasak khemah dihadapannya
tercabut.
Beliau
kemudian berlari mendapatkan peralatan bagi membetulkan kembali pasak khemah
yang tercabut itu. Kelihatan askar yang tergamam tadi memberikan arahan bersungguh-sungguh
supaya memadamkan unggun-unggun api di sekitar perkhemahan tersebut.
Setelah
ribut pendek yang menerpa tadi reda, kelihatan kawasan perkhemahan tadi menjadi
sunyi sepi. Api yang marak yang menemani para askar, kini hanya tinggal bara
api sahaja. Hanya tinggal beberapa orang askar yang masih setia mengawal
kawasan perkhemahan. Melihatkan rakan seperjuangan yang telah lena diulit
mimpi, askar yang berkawal tadi ada yang menguap menahan mata yang mengantuk.
Tetapi demi tanggungjawab menjaga keselamatan, ditahan juga matanya dari
terpejam.
“Engkau
rasa, adakah tindakan raja kita untuk berperang dengan bangsa ini betul, atau
ia satu kesilapan besar?” kata seorang pengawal yang tadi matanya
berkelip-kelip menahan matanya yang mengantuk. Pertanyaan ini mungkin bagi
mengelakkan dia dari tertidur.
“Engkau
ni, kalau di dengar oleh ketua kita, habis kita di hukumnya. Sudah berapa lama
engkau mengikuti peperangan dengan raja kita? Adakah semua yang dirancangnya
sia-sia? Walhal Parsi yang gah itu juga berjaya ditundukkan, apatah lagi bangsa
ini. Sudahlah, jangan dibangkitkan isu ini lagi!” herdik kawannya. Askar yang
bertanya tadi terus terdiam memikirkan kata-kata kawannya tadi.
“Hah,
apa yang kamu bualkan ni?” tiba-tiba ada suara datang dari belakang pengawal
itu tadi, membuatkan mereka menjadi terkejut dan pucat.
“Habislah
aku, aku sepatutnya menoleh kiri dan kanan dahulu sebelum bertanya soalan itu
tadi,” bisik askar tadi.
Perlahan-lahan
dia menolehkan kepalanya kebelakang untuk melihat siapakah gerangan yang
menyapa mereka.
“Oh,
tuan Aristotle,” askar tadi menarik nafas hela kerana orang yang menyapa mereka
bukanlah ketua mereka.
Aristotle
merupakan sarjana dan ahli falsafah yang unggul ketika zaman itu, malah menjadi
guru kepada rajanya.
“Wahai
tuan Aristotle yang bijaksana, kami hanya berbual kosong, bagi mengelakkan dari
kami tertidur,” ujar askar tadi.
“Usah
kamu menipu. Aku tahu benar yang kamu sedang gusar mengenai kempen peperangan
dengan bangsa Hindi kali ini bukan? Malah kamu meragui raja kamu, betul?” tanya
Aristotle. Askar tadi terpaku dengan pertanyaan itu tadi. Mereka hanya
mendiamkan diri.
“Ketahuilah
bahawa raja kamu itu bukan sebarang raja, beliau anak kepada raja Failakus,
raja sekalian Macedonia. Beliau telah dilatih untuk menjadi pemimpin.
Kepimpinannya terbukti apabila beliau berjaya menundukkan negara-negara
sekitarnya. Malah Parsi sendiri tunduk kepadanya,” terang Aristotle kepada
askar tadi. Askar itu mengangguk faham.
Tiba-tiba,
pandangannya teralih kepada satu tempat yang lain. Beliau mengamati tempat itu,
seolah-oleh sedang memerhatikan sesuatu yang mencurigakan. Beliau kemudian
tersenyum, seperti puas. Pada pandangan Aristotle, jauh dari perkhemahan para
askar, kelihatan satu susuk tubuh yang kekar, yang mengenakan pakaian yang berbeza
dengan para askar yang lain. Pakaiannya menunjukkan yang beliau bukan dari
sebarangan orang. Ia pakaian para bangsawan dan raja-raja ketika itu. Kain
mentalnya yang merah menyala menampakkan lagi tanda kegagahannya. Terlihat kain
mantel itu sekejap berterbangan ganas akibat tiupan angin, sekejap menyelimuti
badan tuan sipemakainya.
Sungguhpun
suasana yang terjadi tadi menimbulkan sedikit kekecohan, tetapi, semenjak dari
tadi, siempunya diri, Raja Iskandar, anak Raja Failakus, pemerintah sekalian
Mecedonia, hanya diam seribu bahasa, tidak mengucapkan walaupun sepatah
perkataan. Malah berdiri gagah ibarat sang gajah, walaupun diterpa angin kuat.
Beliau hanya berdiam diri dan merenung tajam ke arah tebing hilir sungai Hydasphes.
Di tengah-tengah sungai itu, dipisahkan oleh sebuah pulau kecil yang
semulajadi. Dihikayatkan bahawa, sungai Hydasphes ini yang kini namanya digelar
orang sungai Jhelum, yang mana ia mengalir dari sungai Indus, terletaknya di wilayah
Punjab, Pakistan. Sungai yang berkepanjangan 450 batu ini, pada musim panas,
airnya sangat tenang dan agak cetek, tetapi tidak pula ketika musim ribut
monsun. Ia menjadi sebaliknya. Deras dan menggerunkan.
Riak
muka Raja Iskandar sekejap tenang, sekejap berkerut, dan kadang-kadang seperti
di dalam dilema. Beliau seolah-olah memikirkan sesuatu yang agak kritikal.
Mungkin beliau sedang merancang sesuatu seperti biasa yang beliau lakukan
ketika di dalam peperangan.
Kini,
sudah dua bulan Raja Iskandar menjalankan helah untuk mengelirukan Raja Porus,
seorang raja besar, pemerintah kerajaan Pauravas, yang enggan tunduk kepada beliau. Kerajaan
Pauravas terbentang dari Sungai Hydaspes, sehingga ke sungai Acesines. Seluruh
India, merasakan yang hanya beliaulah yang mampu menandingi Raja Iskandar, dan
atas nasihat Chanakya, seorang guru, ahli ekonomi dan falsafah, juga juri,
adalah seorang yang bercita-cita untuk menghapuskan penjajah yang menjajah
India. Chanakya ini merupakan penasihat kepada Raja Kida Hindi sebelum ini.
Beliau melarikan diri selepas beliau tidak berpuas hati dengan Raja Kida Hindi
yang menerima Raja Iskandar dan menjadikan beliau sahabat.
Atas
nasihat Chanakya, Raja Porus mengarahkan bala tenteranya yang berjumlah 5 kali
ganda dari jumlah bala tentera Raja
Iskandar beserta 200 ekor gajah untuk menanti kehadiran mereka beserta bala
tenteranya, di tebing tengah-tengah sungai Hydaspes. Baginda merasakan begitu
yakin, baginda boleh berjaya di dalam peperangan ini. Masakan tidak, bala
tentera Raja Iskandar perlu menyeberangi sungai Hydaspes yang mengganas dalam
musim ribut monsun. Tambahan lagi, dengan berbekalkan jumlah bala tenteranya
yang lebih ramai dari pihak musuh, sudah tentu mereka akan menang .
Air
agak dalam ketika itu, malah ia mengalir deras. Ada suatu ketika, kayu pokok ru
yang tumbuh meliar, hanyut di dalam arus deras. Ini menyukarkan lagi keadaan,
memberikan halangan kepada Raja Iskandar untuk menyeberangi sungai tersebut. Bila
mana bala tentera Raja Iskandar berjaya menyeberangi sungai itu, apa yang Raja
Dara perlu lakukan, hanyalah menyerang tentera musuhnya itu yang dalam
kecelaruan dan kepenatan dan kejayaan berada di dalam genggaman tangan. Bagindatersenyum
sinis.
“Engkau
mahu melanggar kerajaan aku? Kalau dengan Raja Kida Hindi yang pengecut itu bolehlah
engkau mempermainkannya. Tetapi bukan dengan aku! Hahaha!” bisik hatinya lalu
ketawa.
“Ampun
tuanku, apa yang tuanku ketawakan?” Chanakya tiba-tiba muncul.
“Oh,
kamu rupanya wahai Chanakya yang bijaksana. Beta fikirkan siapa tadi. Jika
orang lain, sudah lama beta jatuh hukum. Berani-berani sahaja mengganggu beta
ketika ini,” ujar Raja Porus.
“Ampunkan
patik sekali lagi tuanku. Patik tidak bermaksud untuk mengganggu tuanku. Cuma
patik….”
“Cuma
apa?” herdik Raja Porus.
“Tidak
tuanku, cuma, apakah tuanku sudah bersedia untuk menghadapi Raja Iskandar?”
tanya Chanakya untuk mendapatkan kepastian.
“Jika
kamu lihat dihadapan kamu ini, atas nasihat kamu, adakah kamu nampak beta tidak
bersedia? Soalan apakah itu? Bukankah ini semua apa yang kamu mahukan? Kamu
rasakan hanya beta yang mampu menandingi beliau bukan?” tanya Raja Porus.
Chanakya
mendiamkan diri, lalu tersenyum. Maka benarlah telahannya, hanya Raja Porus
yang mampu utuk mengalahkan Raja Iskandar dan mengusirnya keluar dari India. Tetapi,
apa yang beliau gagal fahami, bahawasanya, Raja Iskandar bukan seorang yang
boleh dipandang enteng. Peperangan demi peperangan telah beliau lalui, dan
beliau tidak pernah terkalah. Kerajaan Parsi yang berdiri megah dan gagah yang
dipimpin oleh Raja Dara pun telah hancur dilanggarnya. Beliaulah raja Parsi
sekarang, menggantikan Raja Dara yang telah dibunuh oleh dua panglima perangnya
yang mengkhianatinya.
Ketika
Chanakya mengundurkan diri dan berjalan pulang ke khemahnya, beliau teringat
akan kisahnya semasa menjadi penasihat kepada Raja Kida Hindi. Beliau yang
wajahnya tadi tersenyum, bertukar menjadi masam mencuka. Beliau teringat akan
tindakan Raja Kida Hindi yang pengecut, membiarkan Raja Iskandar menduduki
wilayah Takhshasila. Berita tentang
kekuatan Raja Iskandar dan tunduknya Raja Dara dari Parsi, telah sedia maklum
oleh Raja Kida Hindi, pemerintah Takhshasila. Sebuah demi sebuah kerajaan
tumbang dalam pengembaraannya untuk ke negara terbitnya matahari. Di dalam peta
perjalanan itu, salah sebuah wilayah yang bakal dilalui adalah Takhshasila.
“Ampun
tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun,” tiba-tiba seorang askar
berlari masuk ke balai penghadapan dengan tergesa-gesa.
Suasana
balai penghadapan yang ketika itu sedang sibuk dengan mesyuarat para menteri,
tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Kelihatan askar tadi tercungap-cungap akibat
kepenatan. Mungkin dia ingin menyampaikan berita tergempar secepat mungkin.
“Mana
adab dan disiplin kamu wahai askar? Berani – berani sahaja kamu merempuh masuk
ke dalam balai ini sesuka hati?” tempelak seorang menteri.
“Sabar
wahai menteri. Pada pandangan beta, seperti penting benar askar ini datang
menghadap. Seperti dia ingin menyampaikan sesuatu berita yang teramat
mustahak,” kata Raja Kida Hindi kepada menterinya, sambil menunjukkan isyarat
tangan, tanda tidak mengapa.
“Bangun
wahai askar. Katakan kepada beta, gerangan apakah kamu datang menghadap beta
dengan cara tergesa-gesa ini?” titah raja.
“Ampun
tuanku. Adapun patik datang menghadap tuanku dibalai penghadapan ini, kerana
patik ingin menyampaikan satu berita tergempar, tuanku. Pentingnya berita ini,
sama penting dengan keselamatan negara Takhshasila tercinta ini,” ujar askar
tersebut.
“Sambung,”
titah raja.
“Ampun
tuanku. Sudah kita ketahui bahawa, segala kerajaan Parsi pimpinan Raja Dara dan
sekitarnya, dan juga berdekatan dengan negara kita ini telah tumbang dilanggar
Raja Iskandar. Ketahuilah tuanku, bahawasanya, Raja Iskandar dan bala
tenteranya telah menghampiri negara kita, dan akan tiba pada bila-bila masa sahaja,”
sampai askar tersebut.
Mendengarkan
berita itu, balai penghadapan menjadi gempar. Ada yang bergaduh, ada yang
tertunduk mendengarkan berita itu. Ada pula yang menyepi kerana terkejut.
Setelah
mendengar kata-kata askar tersebut, walaupun sedikit terkejut, Raja Kida Hindi
kelihatan tenang sahaja. Melihatkan perkara ini, menterinya bertanya kepada
baginda, “Ampun tuanku, kita sudah diberitakan bahawa Raja Iskandar bakal
melanggar negara ini. Kenapa tuanku masih kelihatan tenang?”
Mendengarkan
pertanyaan itu, Raja Kida Hindi tersenyum.
“Beginilah,
sudah beta tahu, Raja Iskandar akan datang melanggar negara ini. Telah lama
beta fikirkan, apakah yang beta patut lakukan. Negara ini bukanlah besar, bala
tenteranya tidak setanding bala tentera Raja Iskandar dari Mecedonia itu. Beta
telah fikirkan, dan apabila baginda sampai, biarlah beta menguruskannya sendiri,”
ujar sang raja. Semua tunduk dan akur.
Selang
beberapa hari, maka sampailah Raja Iskandar dan bala tenteranya di Takhshasila.
Baginda tidak terus tergopoh gapah menyerang negeri itu, tetapi dengan
bangganya baginda melaung memberikan pilihan kepada segala rakyat Takhshasila,
“Wahai
rakyat dan Raja Takhshasila. Ketahuilah, bahawasanya, beta adalah Raja
Iskandar, anak kepada Raja Failakus, yang datang dari Macedonia. Ketahuilah
juga bahawa, kerajaan agung Parsi telah beta tumbangkan, sama juga dengan
Mesir. betalah Raja Parsi dan Firaun Mesir sekarang,” jerit Raja Iskandar, lalu
disahut dengan jeritan peperangan bala tenteranya.
Suasana
menjadi bingar dan menggerunkan akibat pekikan Raja Iskandar serta bala
tenteranya.
“Bukalah
jalan untuk beta, supaya beta dapat masuk kedalam kota-kota kamu. Berilah kami
tempat untuk berlindung, berilah kami segala keperluan, bukalah
sekolah-sekolahmu untuk beta dan bala tentera beta. Izinkan kami belajar adat
susilamu, ilmu-ilmumu. Jadikanlah kami sebahagian dari keluargamu. Jika kamu enggan,
akan kami langgar negeri ini. Maka ketahuilah, bala tentera beta akan melanggar
negeri ini tanpa belas kasihan, sama seperti kami melanggar Parsi dan
sekitarnya,” tambah Raja Iskandar.
Selang
beberapa minit, maka muncullah Raja Kida Hindi, pemerintah kerajaan Takhshasila.
Semua yang ada di situ, terdiam melihat kehadiran baginda.
“Wahai
Raja Iskandar yang Agung, pemerintah kerajaan Mecedonia, Parsi dan Mesir. Beta
adalah Raja Kida Hindi, pemerintah kerajaan Takhshasila. Ketahuilah kamu
bahawa, beta telah membuat keputusan, untuk bersetuju dengan kehendakmu.
Masuklah dengan aman. Berlindunglah di dalam kerajaan beta. Belajarlah apa yang
kamu mahu. Jadilah sebahagian dari keluarga kami. Ketahuilah kamu bahawa, beta
tidak mahukan peperangan, kerana peperangan hanyalah membawa kepada kehancuran
sahaja akhirnya,” kata Raja Kida Hindi.
Mendengarkan
titah Raja Kida Hindi, maka bersorak rianglah bala tentera Raja Iskandar lalu berjalanlah
mereka semua masuk ke kerajaan Takhshasila tanpa sebarang halangan, dan baginda
disambut secara besar besaran dengan segala macam jenis permainan, bunyi
bunyian, serta keraian yang besar.
Raja
Kida Hindi juga telah membuat persetujuan untuk menyerah kalah dan memberikan tapak
kem kepada Raja Iskandar. Di dalam keraian itu, berkata Raja Kida Hindi kepada
Raja Iskandar,
“Hai
Raja Iskandar, taraf kita tidaklah jauh berbeza. Engkau raja, beta pun raja.
Persahabatan kita ibarat adik beradik, cuma engaku lahir di barat, dan beta
lahir di timur. Ketahuilah, yang berada bersamaku, ada tiga benda kesayangan.
Puteriku yang cantik jelita, ahli nujum yang bijaksana, serta cawan kesayangan
berbentuk piala. Ambillah kamu salah satu, sebagai tanda persahabatan ini,”
tawar Raja Kida Hindi
Mendengarkan
tawaran itu. Raja Iskandar berfikir sejenak. Yang mana satukah pilihan hatinya.
Puterikah? Ahli nujumkah? Atau cawankah?
“Baiklah,
jikalau itu yang engkau tawarkan, ketahuilah kamu wahai Raja Kida Hindi, beta
mahukan ketiga-tiganya. Semoga dengan tiga benda ini, persahabatan kita
terjalin lebih erat dan bertahan selamanya,” ujar Raja Iskandar.
Tersentak
dengan kata-kata Raja Iskandar, Raja Kida Hindi berfikir sejenak. Kemudian
baginda membuka mulut untuk bersuara,
“Baiklah,
beta terima,” ujar Raja Kida Hindi yang agak keberatan.
Maka,
berlangsunglah pesta perkahwinan antara Raja Iskandar, dan anak Raja Kida Hindi,
iaitu Puteri Syahrul Bariah. Puteri itu memiliki rupa yang begitu cantik,
ibarat bidadari syurga, sinaran rupanya, menusuk di kalbu, kepintarannya, tidak
dapat ditandingi oleh mana-mana cendikiawan. Dari jalur keturunan ini, kata
cendikiawan melayu, maka lahirlah keturunan raja-raja melayu sekarang ini.
Penasihatnya
yang bijaksana, iaitu ahli nujum negara yang berkemahiran merawat pelbagai
jenis penyakit, serta cawan kesayangan berbentuk piala, juga telah menjadi hak
milik kepada Raja Iskandar. Malah, diajarnya pula, ilmu-ilmu agama dengan
memberikan tempat yang khas dan istimewa di sekolah yang ketika itu dipelopori
oleh Chanakya. Ini menimbulkan ketidak puasan hati Chanakya.
Chanakya
berasa berang dengan tindakan Raja Kinda Hindi itu, lalu pergi menghadap beliau
dibalai penghadapan.
“Tuanku,
ampunkan patik kerana apa yang patik bakal katakan ini akan mendatangkan murka
kepada tuanku,” sembah Chanakya.
“Katakanlah
apa yang kamu ingin katakan, beta sudi mendengarnya. Beta berjanji, tidak akan
murka. Mungkin apa yang kamu ingin katakan, adalah mustahak benar bunyinya,”
titah Raja Kida Hindi.
“Ampunkan
patik tuanku. Apakah gerangannya, tuanku membenarkan, si penjajah itu, Raja
Iskandar, menimba ilmu di tempat patik. Sudahlah pula itu, dikahwinkan pula
anak tuanku, Puteri Syahrul Bariah kepada si penjajah itu. Tidak cukup lagi,
diserahkan penasihat terbaik tuanku dan ahli nujum tuanku kepada si penjajah
tersebut? Dia hanyalah seorang bangsa asing, yang ingin menjarah serta
menghancurkan kerajaan India dan sejarahnya yang sudah hidup beribu tahun!
Tidakkah tuanku sedar perkara ini? Tindakan tuanku tidak mendatangkan sebarang
faedah kepada kerajaan, malah mengundang malu kepada Raja Porus serta raja-raja
lain! ” gertak Chanakya.
Lalu
bertitahlah Raja Kida Hindi, “ Wahai Chanakya yang bijaksana, ilmumu tidak
terperi tinggi nilainya. Setiap lafazmu tidak lain hanyalah ilmu semata-mata,
tidak tersia-sia. Kamu mempelopori pusat pengajian yang terkenal di bumi India
ini. Tetapi, dengan apa yang kamu ada, tidak cukup untuk memahami situasi yang
beta lalui sekarang. Bagi beta, rakyat dan kerajaan inilah segalanya. Tiada
rakyat, tiada kerajaan, tiadalah beta duduk di sini. Ketahuilah kamu wahai
Chanakya yang bijaksana, peperangan itu tidaklah mendatangkan apa-apa faedah
selain kehancuran kerajaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat beta. Pada
kemudian harinya, maka menderitalah rakyat beta. Semakin hari, semakin
mundurlah kerajaan beta, sehingga satu hari, maka hilanglah julah kerajaan
ini.”
“Tetapi
tuanku….” sampuk Chanakya, cuba untuk memotong percakapan rajanya.
Tanpa
mempedulikan sampukan Canakya, Raja Kida Hindi menyambung percakapannya.
“Tidakkah kamu ketahui wahai Chanakya yang
bijaksana, kerajaan Parsi yang gah itu pun berjaya ditumbangkan oleh Raja
Iskandar, kerajaan-kerajaan sekelilingnya juga tunduk kepadanya. Barang siapa
yang ingkar, makanya, dilanggar oleh beliau adanya. Ketahuilah kamu wahai
Chanakya, beliau tidak pernah tertewas walau sekalipun di dalam peperangannya.
Nah, pada firasat kamu, sebagai sebuah kerajaan seperti ini, mampukah beta
menewaskan beliau?”
Terkesan
dengan kata-kata Raja Kida Hindi, Chanakya dengan tegasnya menyatakan, “Ampun
tuanku, jikalau pada firasat tuanku sedemikian adanya, maka tiada apa yang
patik ingin persembahkan kepada tuanku. Izinkan patik untuk keluar dari
kerajaan ini, bagi mencari sesiapa yang mampu mengalahkan Raja Iskandar,
walaupun sehingga ke hujung dunia sekalipun.”
Maka
dengan berat hati, diizinkan dan dilepaskan oleh Raja Kida Hindi, Chanakya yang
bijaksana itu. Maka berjalanlah Chanakya keluar dari balai pengahadapan, dan
seterusnya keluar dari kerajaan Takhshasila. Matlamatnya hanya satu, mencari
sesiapa yang mampu untuk mengalahkan serta mengusir Raja Iskandar dari bumi
India ini. Tetapi, di dalam benak fikirannya, siapa yang ada bala tentera yang
sebegitu besar yang mampu untuk mengalahkan Raja Iskandar. Secara tiba-tiba,
teringat akan beliau, Raja Porus, yang tidak sehaluan dengan Raja Kida Hindi. Baginda
mempunyai kerajaan yang besar serta bala tentera yang ramai. Segala raja tunduk
kepada baginda. Chanakya merasakan yang beliaulah yang layak untuk mengusir
Raja Iskandar. Ya, Raja Porus.
Berbalik
kepada Raja Iskandar, di dalam bening malam itu, angin ribut yang mengganas
ketika tadi, kini disusuri oleh hujan yang renyai-renyai. Muka Raja Iskandar yang
sebentar tadi tenang, berkerut kembali. Diperhatikannya, air sungai sudah mula
mengganas. Mungkin hujan lebat telah turun di hilir sungai Hydaspes. Beliau
kini menjadi tidak keruan apabila hujan lebat sudah mulai turun. Lebatnya tidak
terkata, seperti empangan yang tinggi yang baru pecah. Tidak hanya dengan itu,
halilintar mula menyambar ke sana dan kemari, disusuri oleh guruh berdentum
membelah bumi.
Tiba-tiba,
bibir Raja Iskandar mula mengukirkan senyuman. Dirasakan, yang masanya telah
tiba. Baginda melihat tentera kedua yang Raja Porus tempatkan di tengah-tengah berhapadan
laluan kawad askar baginda, sejak dua bulan lalu, masih tidak berganjak dari
tempatnya. Mereka seolah-oleh tidak perasan kehadiran Raja Iskandar serta
sebahagian askarnya sedang berada di hilir sungai Hydaspes. Mereka merasakan
yang kumpulan kedua tentera Raja Iskandar masih tidak berganjak dari posisinya,
iaitu diseberang sungai Hydaspes, bertentangan dengan mereka. Mereka dan Raja
Porus tidak mengetahui bahawa itu adalah helah Raja Iskandar, supaya mereka
merasakan yang tentera kedua itu adalah tentera yang dipimpin oleh Raja Iskandar,
hanya menunggu musim ribut monsun reda dan sungai surut sedikit, baru mereka
menyeberangi sungai tersebut dan bertempur.
Helah
Raja Iskandar begitu licik, selama dua bulan itu, baginda berkawad dari hujung
ke hingga hujung sungai Hydasphes, seolah-olah memeriksa mana tahu, ada
bahagian yang cetek yang boleh dilintasi. Beliau kemudian membahagikan tentera
beliau sebenarnya kepada tiga bahagian. Bahagian pertama, yang duduk berehat di
kem utama, berhadapan kem Raja Porus, yang kedua berehat di tengah, dan beliau
memimpin yang bakinya kearah hilir sungai secara rahsia.
“Wahai
bala tenteraku sekalian, demi Tuhan, masanya telah tiba. Inilah saat dan
ketikanya, yang beta nanti-nantikan. Ketahuilah oleh kamu sekalian, Tuhan telah
menyebelahi kita. Dia telah menyorokkan kita di dalam suasana ini, seperti mana
yang kamu lihat, bala tentera Raja Porus sehingga kini tidak menyedari akan
kehadiran kita di sini. Ketahuilah kamu juga, beta amat menyayangi kamu
sekalian. Seperti yang kamu semua lihat, beta tidak pernah meninggalkan kamu
semua, malah bersama-sama kamu semua ketika susah dan senang. Sepanjang perjuangan
ini, di mana kamu semua berada, di situ juga beta berada. Jika tangan kamu
semua dikotori darah kerana menyembelih musuh-musuh kita, beitu juga tangan
ini! Di mana kakimu menjejak, di situ jugalah kaki ini menjejak! Oleh itu,
marilah kita bersama-sama, menghancurkan musuh ini! Supaya satu hari nanti,
nama kita akan terpahat di dada setiap manusia di atas muka bumi ini! Ingatlah,
kita bukan keturunan pengecut! Datok moyang kita dahulu adalah bangsa pahlawan!
Bangsa yang menggegarkan bumi ini! Janganlah kita membawa malu kepada datuk
moyang kita, dengan berundur dari medan perang ini! Ayuh! Kita seberang sungai
ini! Bertempur dengan musuh kita! Beta akan mengepalai kamu semua! Ayuh kalian
semua!” titah Raja Iskandar. Titah Raja Iskandar disahut dengan laungan perang
oleh para askar yang mengikutinya.
Comments
Post a Comment