BAB 2: TRAGEDI PERKAHWINAN DAN UFTI KERAJAAN PARSI


Di dalam suasana ribut monsun, semua askar akan berasa ragu-ragu jika melihatkan arus sungai Hydasphes yang deras, memukul batu-batu tanpa rasa belas kasihan, apatah lagi seorang manusia. Mesti hanyut dan lemas begitu sahaja. Itu masih dikatakn bernasib baik, jikalau dilanggar pokok ru yang tumbang akibat tebing yang dikikis hujan lebat dan pokok yang ditiup angin yang sedang mengganas membadai bumi, mahu berkecai tubuh badan dibuatnya.
“Aku tak boleh teruskan misi ini. Kali ini ia betul-betul akan membunuh aku,” bisik hati kecil seorang askar. Mukanya pucat.
“Kamu, kenapa muka kamu seperti kehilangan banyak darah? Belum lagi berperang, Raja Porus sudah menghisap kering darah kamu?” tegur Raja Iskandar sambil menepuk bahu askar tadi.
“Ampun tuanku. Maafkan patik. Tetapi, patik berasa ragu-ragu untuk menyeberangi sungai ini. Lihatlah keadaannya. Seperti singa yang kelaparan,” jelas askar tersebut.
Mendengarkan kata-kata askar tersebut, Raja Iskandar dengan bijaknya memberikan kembali keyakinan kepada askar tersebut.
“Wahai askarku yang gagah berani. Yang mana nenek moyangmu seorang pahlawan yang gagah perkasa, yang sentiasa dahagakan darah musuhnya. Apabila nenek moyangmu terjun ke medan perang, tidak terperi ganasnya, tidak kira besar atau kecil musuh dan senjata, diterkam dan dihirup darah dan dimamahnya tubuh musuh itu, ibarat seekor singa yang garang,”
Tambahnya lagi, “Andai, sekiranya kamu hanyut ditelan arus deras ini, nescaya engkau bukan orang pertama yang akan hanyut, tetapi betalah yang akan hanyut ditelan terlebih dahulu, kerana beta adalah kepala kepada angkatan perang ini. Betalah orang pertama yang akan turun, dan betalah yang akan menjadi orang pertama yang akan menyelamatkan kamu jika kamu hanyut,”
Askar tadi terdiam. Nampak sedikit yang mukanya sedikit demi sedikit menerima darah yang tadi kering kerana ketakutan.
“Tidakkah kamu malu, sekiranya beta tertewas di dalam pertarungan ini, semua rakan – rakan mu mati disembelih bala tentera Raja Porus, mayatnya digantung, dibakar, malah kepalanya dijadikan trofi, kamu hanya berada ditebing melihat ini semua terjadi, hanya kerana kamu tewas hanya dengan musuh kerdilmu ini, Sungai Hydasphes. Kamu akan dituduh pengecut, pengkhianat. Kamu akan dihina selama – lamanya. Makam nenek moyangmu akan dibongkar. Seluruh keturunanmu akan dilabel pengkhianat, kamu mahu semua itu. Kamu mahu katakan yang kamu seorang pengecut di hadapan nenek moyangmu di alam barzakh nanti? Itu yang kamu mahu?” soal Raja Iskandar bagi menaikkan semangat dan moral askar itu.
“Tidak, patik tidak akan sesekali berkata sedemikian! Ayuh tuanku, apa tuanku tunggu lagi? Mari kita sembelih seorang demi seorang askar Raja Porus tak guna itu! Pedulikan arus sungai ini!” jerit askar tadi.
Mukanya kini merah padam. Matanya merah menyala. Giginya diketap rapat. Kedengaran bunyi nafasnya yang turun naik akibat perasaan marahnya yang meluap – luap. Diketatkan segala zirahnya. Digenggam erat segala senjata dan perisainya. Beliau yang sebentar tadi seperti ayam berak kapur, kini telah betukar menjadi sang singa yang sedang kelaparan.
Halilintar menyambar ke sana ke mari. Guruh berdentum seolah-olah ingin membaham segala isi bumi. Sekali sekala, deruan air sungai mencetuskan ombak besar apabila berlanggar dengan batu – batu di tengah sungai tersebut. Sangat mengerikan suasana ketika itu. Jika dilihatkan, dengan air sungai separas dada, adalah agak mustahil untuk meredah dan sampai keseberang tebing sana, dan sudah tentu, pada fikiran Raja Porus juga, adalah mustahil Raja Iskandar akan menyeberangi sungai pada ketika itu.
“Ia satu kerja gila,” bisik hati Raja Porus apabila terfikir akan kebarangkalian untuk Raja Iskandar menyeberangi Sungai Hydasphes pada masa ini. Beliau melelapkan matanya.
“Beta memang gila! Hahaha,” bisik Raja Iskandar, seolah – olah tahu apa yang Raja Porus fikirkan diseberang sana.
Masakan tidaknya, keputusan gilanya untuk memutuskan hubungan diplomatik dan enggan membayar ufti kepada Raja Dara, pemerintah empayar Parsi Agung itu sebelum ini, membawa kepada kehancuran empayar yang megah itu, sebelum ini.
Ketika itu, Raja Iskandar baru sahaja mewarisi kerajaan Macedonia, apabila bapanya, Raja Failakus telah dibunuh oleh ketua kepada Somatophylax miliknya, Pausanias, di dalam sebuah komplot.
“Ampun tuanku, sembah patik harap diampun tuanku,” sembah Pausanias kepada Raja Failakus.
“Ya Pausanias, apakah gerangan kamu menghadap beta? Pagi benar nampaknya, seperti ada perkhabaran penting pada pandangan beta nampaknya,” tanya Raja Failakus.
“Perkhabaran itu tidak, penting itu, benar tuanku. Apakah kiranya, jika patik mengadu akan masalah patik kepada tuanku, tuanku akan memberikan pengadilan yang adil kepada patik?” tanya Pausanias.
“Jelaskan kepada beta, biar beta dengar apa masalah yang menimpa diri kamu itu,” pinta Raja Failakus.
“Begini tuanku. Akibat sedikit perbalahan akibat kesetiaan kepada tuanku, patik telah diperdaya, diserang dan dicederakan oleh Attalus dan pengikutnya, iaitu ayah saudara kepada isteri tuanku, permaisuri Cleopatra. Ketika itu, patik tidak terdaya untuk melawan kerana dimabukkan oleh mereka. Maruah patik dienjak – enjak! Oleh itu, patik meminta untuk tuanku memberikan pengadilan kepada diri patik, dan menghukum Attalus dan pengikutnya dengan hukuman yang setimpal,” rayu Pausanias kepada Raja Failakus sambil menunjukkan kecedaraan yang dialaminya.
Tiba – tiba Raja Failakus diselubungi dilema. Kelihatan Attalus berada dihujung balai penghadapan, tersenyum mengejek. Melihatkan senyuman itu, wajah Pausanias menjadi merah padam. Mahu sahaja beliau menghunus pedang yang dibawanya, lalu menyembelih musuhnya itu.
Melihatkan tindak tanduk Pausanias yang tidak keruan itu, Raja Failakus membuka mulutnya sambil menunjukkan isyarat supaya bersabar.
“Sabar wahai Pausanias yang gagah berani. Agak sukar bagi beta untuk memutuskan pengadilan ini. Beginilah. Beta rasa, bagi menyelesaikan masalah ini, eloklah kiranya beta melantik kamu untuk menjadi sebahagian dari Somatophylax beta. Lupakan permusuhan kamu itu. Setialah kepada beta mulai hari ini,” ujar Raja Failakus.
Attalus merupakan bapa saudara kepada isteri kesayangannya. Menghukum Attalus bermakna, menghukum isterinya juga. Tambahan lagi, Attalus bakal dihantar ke Asia bersama Parmenion, untuk menjadi kepala dan pengukuhan kepada pelan pencerobohannya nanti. Raja Failakus berbelah bahagi ketika ingin memberikan pengadilan kepada Pausanias.
“Apa, adilkah itu tuanku?” bentak Pausanias.
“Sudah, lupakan ini semua. Kamu sudah beta lantik menjadi Somatophylax beta! Pergi kamu balik, tenangkan diri, atau kamu pula yang beta hukum!” herdik Raja Failakus.
Pausanias tidak berpuas hati. Demi mempertahankan kesetiannya kepada Raja Failakus, maruahnya dienjak – enjak oleh Attalus. Malah, Attalus keluar dari balai penghadapan sambil ketawa terbahak – bahak. Mata Pausanias menjadi merah menyala. Darahnya membuak – buak. Dendamnya tidak tertahan rasanya.
“Tak guna kau raja! Engkau dan bapa saudara engkau itu sama sahaja! Kau tunggu!” jerit Pausanias dalam hatinya.
8 tahun kemudian, iaitu pada usia Raja Iskandar 23 tahun, ketika itu, merupakan hari perkahwinan adik perempuan beliau, Cleopatra bersama Iskandar I dari Epirus, di ibu kota Macedonia, Aegea. Pausanias telah bersiap sedia bersama pisau belatinya yang disorokkan di dalam bajunya.
“8 tahun aku menunggu. Inilah harinya. Kau akan mati pada hari ini wahai Raja Failakus!” bisik Pausanias di dalam hatinya.
Dada Pausanias berdebar – debar. Kadang – kadang, kelihatan beliau berjalan mundar mandir bagi menghilangkan perasaan gementarnya. Peluh dingin menyelubungi kepala beliau. Perlahan – lahan Heromenes dan Harrbaeus mendekati Pausanias. Suasana dirasakan amat tegang bagi mereka bertiga, walaupun di luar, pesta keraian sedang berlangsung dengan penuh meriah.
“Pastikan kali ini, Raja Failakus mati ditangan kita, lama benar aku menyimpan dendam kepada baginda!” bisik Heromenes kepada mereka berdua.
“Engkau jangan risau, aku akan tolong engkau. Engkau tikam dia dengan pisau itu, dan aku akan bantu engkau melarikan diri selepas itu”, jelas Harrbaeus memberikan jaminan.
 Dari kejauhan, kelihatan Leonnatus memberikan isyarat bahawa keadaan cantik, dan kawalan longgar, kepada mereka bertiga. Tindak tanduk mereka bertiga rupa – rupanya sedang diperhatikan oleh rakan karib Raja Iskandar, Attalus anak kepada Andromenes. Beliau melaporkan tindak tanduk mencurigakan itu kepada Perdiccas.
“Wahai Perdiccas yang setia, aku melihat bahawa tindak tanduk Heromenes, Harrbaeus, dan Pausanias amat mencurigakan. Mereka berbincang – bincang dan mereka juga kelihatan tidak senang duduk. Sekali sekalai, kelihatan mereka menunjuk – nunjuk sesuatu di dalam baju. Kelihatan seperti senjata ada juga,” lapor Attalus.
“Aku tahu, Pausanias ada simpan dendam dengan Raja Failakus. Mungkin mereka merancang sesuatu, kita terus perhatikan mereka,” cadang Perdiccas.
Kemudian, mereka berdua melihat Leonnatus seperti mengangguk kecil. Mata Heromenes, Harrbaeus, dan Pausanias terarah kepada Leonnatus. Pausanias kelihatan pucat. Heromenes dan Harrbaeus beredar dari situ, tetapi tidak jauh, menanti Pausanias bersama kuda untuk melepaskan diri, di pintu kota Aegea. Raja Failakus mula kelihatan berjalan tanpa dilindungi mendekati balairaya. Setiap detik dan setiap langkah yang diambil oleh Raja Failakus, terasa perlahan sekali oleh Pausanias. Debaran di dadanya tidak tertahan lagi. Tangannya menggigil seperti ketakutan. Walaupun dendam kesumat telah menguasai diri sebelum ini, tetapi, ia tiba – tiba padam, diganti dengan debaran. Pandangannya gelap sebentar. Kemudian, beliau menggagahkan diri untuk terus sedar.
Raja Failakus semakin menghampiri beliau. Kelihatan riak wajah baginda yang sedang tersenyum riang kerana majlis keraian itu. Sekali sekala, baginda melambai kepada kenalannya.
Tiba – tiba Pausanias muncul dan berada betul – betul di hadapannya. Riak wajah baginda yang riang bertukar menjadi terkejut. Tambah lagi kejutan, baginda merasakan bahawa ada sesuatu mengenai perutnya. Seperti satu tusukan. Baginda merasakan bahawa ada cecair panas yang mengalir pada bajunya. Mengalir laju sekali. Baginda mengalihkan pandangannya di bahagian perutnya. Kelihatan pisau belati telah tertusuk pada perutnya. Baginda tiba – tiba berasa pening, mungkin akibat kehilangan banyak darah.
“Pausanias, engkau….” kata – kata terakhir Raja Failakus sebelum baginda rebah dihadapan Pausanias.
Suasana yang tadi riang, tiba – tiba menjadi hening seketika, dan bertukar menjadi kecoh.
“Raja Failakus dibunuh! Lihat, Pausanias melarikan diri, tangannya penuh darah!” jerit seorang rakyat jelata.
“Tangkap Pausanias!” Teriak Raja Iskandar yang menyedari keadaan itu.
Pausanias menjadi takut. Beliau berlari sekuat hati. Beliau cuba untuk meminta pertolongan dari dua orang sahabatnya tadi, supaya dibawa kuda itu kepada beliau untuk melarikan diri. Malah, dua rakannya itu tidak mengendahkannya, dan berlalu dari situ. Beliau kini keseorangan. Dikhianati oleh sahabat komplotnya.   Ketakutannya kini bukan kepalang. Apabila beliau menoleh kebelakang, kelihatan seorang sahabat komplotnya Leonnatus mengacukan lembing kearah beliau. Tiba – tiba beliau merasakan ada sesuatu yang menghalang kakinya. Beliau terlanggar akar pokok, lalu rebah ke tanah, tidak sempat untuk sampai kepada kudanya.
Tanpa berlengah, Leonnatus melontar lembingnya, lalu tepat mengenai belakang Pausanias dan tembus kedada hadapan, melalui jantungnya. Kemudian, dua lagi lembing yang dilontar oleh Attalus dan Perdiccas hinggap ke belakang beliau. Maka, tamatlah riwayat Pausanias ketika itu juga.
Perdiccas mengalihkan pandangannya untuk mencari Heromenes, dan Harrbaeus. Mereka kelihatan tidak jauh dari situ, cuba untuk melarikan diri. Dengan pantas, beliau mengarahkan anak buahnya untuk menangkap mereka berdua. Leonnatus juga ditahan, disyaki terlibat dalam kes pembunuhan itu. Beliau dituduh bersubahat dan membunuh Pausanias untuk menghapuskan bukti. Tetapi, kerana kurangnya saksi dan bukti, beliau hanya dihukum turun pangkat. Malang bagi Heromenes dan Harrbaeus, mereka dijatuhkan hukuman bunuh, kerana ada saksi yang melihat perbualan mereka bertiga, sebelum pembunuhan.
Ketika itu majlis pengebumian Raja Failakus, hujan renyai – renyai. Suasana agak hening dan pilu. Kelihatan Permaisuri Olympias dan puterinya, Cleopatra, menangis teresak - esak. Manakala Raja Iskandar, merenung sayu ke arah jasad kaku ayahandanya. Apalah nasib ayahandanya itu. Dibunuh oleh orang kepercayaannya. Somatophylax, merupakan orang kanan dan kepercayaan seorang raja. Mereka juga merupakan unit khas yang mengawal raja, dan juga pegawai tinggi seperti jeneral atau pegawai pemerintah. Tambahan lagi, mereka bukan orang sebarangan. Pada kebiasaannya, tujuh atau lapan orang kesatria ini, merupakan dari darah keturunan kerabat di raja.
Selesai majlis pengebumian Raja Failakus, Raja Iskandar dilantik untuk menjadi Raja Macedonia menggantikan ayahandanya. Ketika itu, kerajaan Macedonia di bawah naungan empayar  Parsi. Empayar Parsi ketika itu dipimpin oleh Raja Dara, anak kepada Raja Darab. Bagai manakah seorang pemuda yang baru seusia itu, mahu memimpin kerajaan Macedonia. Peperangan dan pemberontakan di negara jiran, memburukkan lagi keadaan.
Di dalam taman larangan istana, kelihatan Raja Iskandar duduk termenung. Taman larangan itu cukup indah sekali. Dihiasi oleh pelbagai jenis bunga. Latar belakang gunung ganang mengasyikkan lagi suasana. Burung – burung berkicauan. Menari nari riang di angkasa. Ada beberapa ekor burung yang hinggap di dahan pepohonan untuk berehat dan menyanyi riang. Tupai – tupai memasuki sarangnya membawa bekalan makanan untuk disimpan bagi musim sejuk.
Baginda terkenangkan peristiwa semasa ayahandanya berada di pangkuannya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dengan tangan yang penuh berlumuran darah, ayahandanya menurunkan mahkota yang berada di atas kepalanya, lalu menyarungkannya ke atas kepala anakandanya, Raja Iskandar.
“Wahai anakandaku yang baik hati, yang pintar dan gagah perkasa, kamu adalah dengan ini, ayahanda lantik menggantikan ayahanda sebagai Raja Macedonia dan sekalian hamba rakyatnya,” kata Raja Failakus tersekat – sekat, menahan kesakitan.
“Ayahanda, cukup, simpan tenagamu, ayahanda masih boleh diselamatkan lagi, cukup….” Sambut Raja Iskandar sambil menagis teresak – esak, memangku ayahandanya.
Dikejauhan, kelihatan Aristotle memerhatikan kejadian yang berlaku. Beliau terkejut, apabila Raja Failakus melambaikan tangannya ke arah beliau, seolah – olah memanggil supaya mendekatinya.
“Ampun tuanku, kurangkan bergerak. Bantuan dari ahli perubatan istana hampir tiba,” ujar Aristotle apabila duduk disebelah baginda.
“Wahai Aristotle yang bijaksana, murid kepada sarjana agung Plato, kamu mulai hari ini, beta lantik menjadi penasihat kepada anakandaku, Raja Iskandar. Nasihatilah beliau akan hal – hal yang berkaitan pentadbiran negara, jangan dibiarkan beliau apabila melakukan kesalahan. Jadikanlah negara Macedonia ini disegani seluruh dunia,” lantik Raja Failakus kepada Aristotle.
Baginda meraung sedikit menahan kesakita. Permaisuri Olympias dan puterinya, Cleopatra, sudah menangis teresak – esak sambil memeluk Raja Iskandar. Para hadirin yang berada di sekitar juga tidak kurang sebaknya. Susana sangat memilukan pada ketika itu.
“Anakandaku Raja Iskandar, janganlah sesekali kamu rasakan dirimu bijak, carilah nasihat dari para bijak pandai. Kita hanyalah tanah, dan dari tanahlah kita dicipta. Kita tidak berdaya dalam kehidupan ini,” nasihat terakhir Raja Failakus.
Baginda kemudian menarik nafas panjang dan sangat dalam. Mukanya berubah dari merah ke pucat. Raja Failakus telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 46 tahun kata para sarjana.
“Wahai anakanda, kamu kelihatan murung di sini keseorangan, boleh ibunda menemani anakanda?” tegur Permaisuri Olympias.
Raja Iskandar terkejut dan tersedar dari lamunan, mempersilakan ibundanya untuk duduk disebelahnya.
“Bonda, kerajaan ini telah dibentuk sudah sekian lamanya. Generasi ke generasi. Raja ke raja, silih berganti. Perselisihan faham dalam politik dan pertelagahan sering berlaku, sehinggakan ayahanda mati dibunuh baru – baru ini,” Raja Iskandar memulakan cerita.
“Anakanda khuatir, jika ini terus berlaku, nescaya kerajaan ini tidak akan kekal lama, mungkin anakanda juga akan menjadi mangsa suatu hari nanti,” sambung Raja Iskandar.
“Jangan risau, bonda percaya, dengan segala ilmu yang kamu pelajari, nescaya, kamu boleh mengubah suasana politik Macedonia, dan menjadikannya gah suatu hari nanti,” pujuk permaisuri.
“Betul, patik setuju. Ampun tuanku, jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran. Patik akan membantu menasihati tuanku dalam hal – hal yang tuanku kurang pasti” sampuk Aristotle yang baru sampai.
Raja Iskandar tersenyum lebar, penuh keyakinan. Beliau berjanji akan menjadikan Macedonia satu empayar yang agung di mata dunia suatu hari nanti.
Di suatu tempat yang lain, di ibu kota empayar Parsi, Persepolis,  mendengarkan bahawa Raja Failakus telah mangkat kerana dibunuh, dan tempatnya diganti oleh Raja Iskandar, maka Raja Dara mengarahkan seorang utusannya untuk meminta ufti seperti biasa. Maklumlah, ketika itu kerajaan Macedonia bernaung di bawah empayar Parsi. Sudah menjadi kebiasaan Macedonia membayar ufti setiap tahun. Tetapi kali ini, ufti dikutip bagi menunjukkan kekuasaaan Raja Dara ke atas Raja Iskandar.
Raja Dara bertitah kepada utusannya, “Wahai utusan beta yang setia, pergilah kamu menghadap Raja Iskandar, beritahu kepada beliau, sudah tiba masanya yang kerajaan Macedonia perlu membayar ufti seperti biasa,”
“ Raja Iskandar perlu tahu, yang Macedonia masih dibawah naungan kerajaan beta, Parsi, seperti mana perjanjian mendiang Raja Failakus serta mendiang ayahanda beta, Raja Darab, kerana kalahnya beliau ditangan ayahanda beta,” tambah beliau lagi.
“Ampunkan patik tuanku, bukankah itu satu tindakan yang biadap, meminta ufti ketika negara itu sedang berkabung? Mungkin ia akan menimbulkan sedikit ketegangan antara kita dan Raja Iskandar?” tanya seorang menterinya.
“Pedulikan itu semua, sekaranglah waktunya untuk meminta ufti. Tunjukkan kepada beliau bahawa kita berkuasa! Percaya cakap beta, beliau akan tunduk kerana tekanan disekeliling. Kemudian, kita akan jadikan beliau boneka!” jelas Raja Dara.
“Baiklah tuanku, titah perintah tuanku akan patik junjung,” jawab si utusan menerima titah Raja Dara.
Maka, mengembaralah utusan tersebut membawa titah Raja Dara dari Parsi ke Macedonia. Setelah tibanya utusan tersebut ke Macedonia, dia meminta kebenaran kepada pegawai istana untuk menghadap Raja Iskandar, bagi menyampaikan titah Raja Darab ke atas Raja Iskandar. Perkara itu telah dibawa ke pengetahuan Raja Iskandar, dan beliau menitahkan supaya utusan tersebut datang menghadap dibalai penghadapan.
“Izinkan beliau menghadap beta. Barangkali, beliau membawa sesuatu yang penting dari Raja Dara,” titah Raja Iskandar kepada pegawai istana.
Lalu disampaikan titah Raja Iskandar kepada utusan tersebut untuk datang menghadap Raja Iskandar. Utusan tersebut dengan pantas datang menghadap Raja Iskandar dibalai penghadapan, diiringi oleh pegawai istana. Setelah diizinkan untuk menyampaikan titah Raja Dara, maka berkatalah utusan tersebut kepada Raja Iskandar,
“Ampunkan patik tuanku. Sesungguhnya,kehadiran patik sebagai seorang utusan kepada Raja Dara, kehadirannya datang menghadap tuanku, bertugas membawa titah dari Raja Dara untuk tuanku, izinkan patik meneruskan percakapan patik untuk menyampaikan titah Raja Dara buat tuanku,”
“Beta izinkan. Sampaikanlah titah Raja Dara tersebut,” jawab Raja Iskandar.
“Menjunjung perintah tuanku. Diharap titah ini tidak mendatangkan murka ke atas tuanku. Ketahuilah ke atas tuanku, bahawa kerajaan Macedonia masih di bawah naungan kerajaan Parsi, seperti mana perjanjian yang telah dimeterai oleh mendiang ayahanda tuanku, Raja Failakus, dengan mendiang ayahanda Raja Dara, Raja Darab. Ketahuilah juga wahai tuanku, yang perjanjian ini termeterai oleh kerana kekalahan ayahanda tuanku, ke atas Raja Darab,” kata utusan menyampaikan tutah Raja Dara.
“Oleh yang sedemikian, sepertimana biasa yang dilakukan oleh kerajaan naungan dan kerajaan yang menaungi, kerajaan naugan perlu membayar sejumlah wang ufti kepada kerajaan yang menaungi. Makanya, seperti mana biasa Raja Failakus membayar wang ufti kepada Raja Darab, seperti itulah jualah titah Raja Dara ke atas tuanku untuk membayar wang ufti seperti mana biasa,” sambung utusan tersebut.
Mendengar kata-kata dari utusan tersebut, secara tiba-tiba, riak wajah Raja Iskandar berubah. Dari tersenyum, tiba-tiba dahinya berkerut dan menunjukkan tanda yang beliau sedang murka. Beliau bangun dari takhta lalu berkata,
“Jika ini titah Raja Dara, ini sudah keterlaluan. Beliau sungguh biadap! Ketika kami berkabung, berani berani sahaja kamu meminta ufti dari kami!” herdik Raja Iskandar.
Suasana balai pengahadapan menjadi kecoh. Ada yang menempelak utusan tersebut kerana kebiadaban Raja Dara yang meminta ufti. Mereka semua bersependapat dengan Raja Iskandar.
“Ketahuilah kamu wahai utusan, kamu dan raja kamu tidak akan mendapat walau satu sen milik Macedonia sekalipun. Zaman pemerintahan telah berubah!” kata Raja Iskandar dengan nada yang sangat marah.
Baginda membaling surat dari Raja Dara yang isi kandungannya meminta untuk membayar ufti dengan kadar yang segera. Surat itu kena tepat di kepala utusan tersebut.
Sambungnya lagi, “Jika mana dulu, ayahanda beta tunduk dan mengakui penguasaan dan kehebatan kerajaan Parsi dan rajanya, Raja Darab, ketahuilah kamu, apabila beta menaiki takhta, beta tidak akan sesekali tunduk dan mengakui penguasaan dan kehebatan kerajaan Parsi!”
Si utusan terkejut dengan titah yang disampaikan oleh Raja Iskandar. Riak wajahnya tiba-tiba berubah ketakutan.
“Mulai hari ini, beta tidak akan memberikan walaupun satu sen wang ufti kepada kerajaan Parsi! Macedonia mulai saat ini bukan lagi kerajaan naungan Parsi! Malah, mulai hari ini, beta titahkan supaya kerajaan Parsi, dibawah Raja Dara, membayar wang ufti kepada beta! Giliran kerajaan Parsi mengakui kekuasaan Macedonia!” tambah Raja Iskandar.
Dengan titah ini, utusan Raja Dara bukan sahaja ketakutan, malah kebingungan. Dia tidak menyangka, kerjanya yang disangkakan mudah, menjadi sedemikian rumit. Dia yang kebingungan, tersentak dengan titah Raja Iskandar yang pengahabisan.
“Sampaikan juga kepada Raja Dara, jika beliau gagal membayar ufti kepada beta, beta akan datang melanggar bumi Parsi. Tidak, beta akan melanggar semua kerajaan-kerajaan yang ada di atas muka bumi ini! Akan beta genggam semua kerajaan-kerajaan ini! Maka, bersedialah kamu untuk berperang!” titah Raja Iskandar.

Maka, dengan rasa kecewa dan ketakutan,berlalulah utusan tersebut dari balai penghadapan, membawa titah Raja Iskandar kepada Raja Dara. Berjalanlah dia pulang dari Macedonia ke Parsi, dengan tangan kosong dan membawa khabar peperangan tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 6 : PERANG BERMULA