BAB 3: SEJARAH KOTA PERSEPOLIS DAN BIBIT – BIBIT PEPERANGAN
Di
dalam keheningan malam, Raja Dara duduk di balkoni istananya keseorangan. Dari
balkoni ini, beliau dapat melihat hampir keseluruhan sekitar kota Persepolis,
ibu negera Parsi. Ketika ini, beliau telah mewarisi takhta kerajaan Parsi
selama dua tahun, selepas kemangkatan bapanya, Raja Darab.
Melihat
keindahan sekitar kota Persepolis di
waktu malam, keindahannya tidak terkata. Dengan kota yang berukuran 1,345,500
kaki persegi dan dinaikkan ketinggiannya sebanyak 17 kaki, ia mengandungi 5
buah istana. 3 istana penginapan raja-raja, 1 istana kecil, dan 1 istana utama
yang mempunyai 100 buah tiang, dan besar
istana ini ialah 40,000 kaki persegi, apabila disinari sang rembulan yang
gemilang, kelihatan segala ukiran yang indah – indah. Tambahan lagi,
kekreatifan dan kemahiran tukang batu
dan tukang ukir kota terserlah apabila bukan sahaja istana ini didirikan dari
batu, malah bukit di belakangnya juga ditarah dan diukir menjadi sebahagian
dari kota ini. Sangat gah dan menakjubkan kota ini.
Sejarah
kota ini bermula apabila ini anak kepada
Raja Tahumer, Raja Jamshid raja ke empat dari dinasti Pishdadian, iaitu dinasti
pertama empayar Parsi menginginkan sebuah kota untuk pemerintahannya. Maka
dibinalah Tukht-e-Jamsheed atau dalam bahasa melayunya Takhta Jamshid. Maka
bersemayamlah baginda selama 700 tahun lamanya menurut hikayat lama.
Kini,
kota itu sudah menjadi sangat megah, terkenal diserata dunia. Disekitarnya, lampu-lampu rumah berkelipan
seperti kelip-kelip pada waktu malam. Ada juga kelihatan segelintir rakyat
sedang menjalankan urus niaga. Ada juga segelintir yang sedang bersuka ria. Tidak
kurang juga yang menjalankan ibadah mereka. Walaupun ketika itu waktu malam,
tetapi, suasana Persepolis tidak ditelan dek kegelapan malam.
Di
atas balkoni, Raja Dara merenung jauh ke hadapan. Beliau termenung keseorangan.
Kadang kala tersenyum, kadang kala merangut, kadang kala hanya diam seperti
patung. Melihatkan keadaan itu, penasihat beliau lantas menegurnya,
“Ampun
tuanku, ampunkan patik jika mengganggu tuanku sedang berfikir. Apakah
gerangannya tuanku duduk berseorangan di sini? Dan pula, seketika patik melihat
tuanku tersenyum, kemudian merangut, kadangkala diam seperti patung. Adakah
sesuatu yang berat sedang tuanku fikirkan?”
Raja
Dara lantas tersentak dengan teguran penasihatnya. Beliau tersedar dari
lamunannya. Setelah mengibas-ngibaskan jubahnya sedikit, beliau memanggil
penasihat tersebut untuk mendekatinya.
“Wahai
penasihatku yang bijaksana, beta termenung memikirkan masa depan kerajaan Parsi
ini. Hari demi hari, kerajaan ini ditadbir dengan baik sekali oleh bapa dan
datuk moyang beta. Dari sebuah kerajaan kecil, kepada sebuah empayar yang
terbentang luas. Ia bermula dari hasil titik peluh moyang beta, Raja Cyrus yang
bertungkus lumus menyatukan kerajaan ini dengan menawan empayar-empayar
sekelilingnya bermula dari empayar Media, kemudia Lydia, dan seterusnya. Lalu
lahirlah empayar Acheamenid ini,” jelas Raja Dara.
“Menurut hikayat lama pula, Parsi ini bukan
dibina sehari dua. Ia bermula dari Raja Kayumer lagi, iaitu Raja Pertama
sekalian alam ini,” penasihatnya memulakan cerita.
“Kisah
legenda permulaan bumi Parsi ini?” tanya Raja Dara.
“Ya,
benar. Raja Kayumer itu duduk bersemayam di dalam sebuah gunung. Dari beliaulah
tatacara berpakaian diperkenalkan. Baginda dan sekalian hamba rakyatnya
mengenakan kulit harimau sebagai pakaian. Sejurus baginda memerintah, segala
manusia dan haiwan hadir memperhambakan diri dan menerimanya sebagai
pemerintah. Kegemilangannya ibarat matahari yang menyinari bumi,” sambung penasihatnya
lagi.
“Kemudian,
bermulalah cerita seperti dongengan, apabila Ahriman yang jahat, berasa iri
hati kepada kekuasaan Raja Kayumer. Beliau bersekongkol dengan anaknya Deev,
yang gagah perkasa, untuk menjatuhkan Raja Kayumer. Maka dikumpulkan segala
bala tentera untuk melanggar dan menghancurkan Raja Kayumer dan anaknya Sayamuk
buat selama – lamanya,” sampuk Raja Dara.
“Betul,
tuanku bijak,” puji penasihat kepada Raja Dara.
“Kemudian,
malaikat yang menjaga alam ini, mengetahui niat jahat Ahriman dan anaknya,
menyamar sebagai pari – pari, untuk memberikan amaran kepada Raja Kayumer.
Tanpa berlengah lagi, baginda mengarahkan anaknya, Sayamuk, untuk mengetuai
bala tentera baginda untuk berhadapan dengan bala tentera Deev. Sayamuk sudah
sedia maklum akan kekuatan Deev ini. Tetapi beliau tidak berputus asa. Maka
diasaknya bala tentera Deev sepenuh kekuatannya. Sungguhpun begitu, malangnya,
kekuatan Sayamuk tidak setanding dengan kekuatan Deev. Sayamuk akhirnya tewas,
dan mati ditangan Deev,” sambung penasihatnya lagi.
“Maka,
berita kematian anakandanya sampai kepengetahuan Raja Kayumer. Sedihnya bukan
kepalang. Baginda menjerit dan menangis teresak – esak. Selama setahun baginda
berkabung kesedihan, tidak terkecuali juga bala tenteranya. Tidak cukup dengan itu,
segala jenis haiwan juga turut sama berkabung. Kesedihan menyelubungi sekalian
alam. Malaikat yang memberikan amaran mengenai niat jahat Ahriman tadi, cuba
memujuk Raja Kayumer supaya tidak lagi bersedih. Beginda perlu bangun dan
membalas dendam ke atas Ahriman dan Deev. Tidak guna jika berkabung dan bersedih
sahaja,” penasihatnya menyambung cerita.
Kelihatan
Raja Dara sedikit terhibur. Melihatkan perkara ini, penasihat terus menyambung
hikayat tadi.
“Maka
baginda pun bersetuju untuk bangkit dan membalas dendam. Maka diarahnya anak Sayamuk,
Husheng, iaitu cucunya sendiri, untuk mengumpulkan bala tentera bagi membalas
dendam atas kematian Sayamuk. Bala tentera kali ini maha dasyat kekuatannya. Ia
bukan hanya terdiri dari hamba rakyat sahaja, tetapi juga terdiri dari segala
macam jenis haiwan yang ganas – ganas seperti harimau, serigala, singa dan lain
– lain. Baginda juga turut serta dalam bala tentera itu. Tetapi, disebabkan
oleh usianya yang sudah lanjut, baginda duduk dibarisan paling belakang sekali”
penasihatnya berhenti seketika bagi menarik nafas, sebelum menyambung cerita.
“Bala
tentera itu semakin menghampiri Deev dan bala tenteranya. Laungan dan ngauman
dari bala tentera Raja Kayumer yang diketuai Husheng kali ini sangat
mengerikan. Deev yang gagah perkasa itu menggigil ketakutan. Kali ini, mereka
datang dengan dendam kesumat. Kematian Sayamuk harus dibela! Deev harus mati!
Maka berperanglah dua bala tentera itu. Bala tentera Deev diasak dengan teruk
sekali. Deev sudah tidak mampu untuk menahan amukan mereka. Kali ini, Deev
akhirnya tewas. Ya, tewas ditangan Husheng. Mereka bersorak keriangan atas
kemenangan ini. Melihatkan kematian Sayamuk telah terbela, Raja Kayumer yang
sudah lanjut usianya itu mangkat, lalu Husheng menaiki takhta, menggantikan
Raja Kayumer,” penasihat Raja Dara itu menghentikan ceritanya, dan melihat sama
ada baginda masih berminat untuk mendengar sambungannya, atau tidak.
“Sambung
cerita itu wahai penasihatku. Hiburkan beta,” titah Raja Dara kepada
penasihatnya.
“Ampun
tuanku. Raja Husheng kemudian memerintah Parsi selama 40 tahun. Sepanjang
pemerintahannya, hamba rakyat hidup aman damai, dan terbela nasib mereka.
Baginda juga memperkenalkan cara menyalakan api dari batu. Disamping itu juga,
diajarkan juga bagaimana untuk menyelusuri sungai, memanfaatkannya untuk
menjadikan tanah subur, dan menuai hasilnya. Baginda juga membahagi – bahagikan
haiwan kepada beberapa jenis, dan menamakannya. Tetapi, setiap nyawa pasti akan
berakhir juga adanya. Apabila baginda mangkat, takhta baginda digantikan oleh
anaknya, Tahumer,”
“Raja
Tahumer tidak kurang hebatnya juga. Baginda memperkenalkan cara untuk memintal
benang dan mengaitnya untuk dijadikan kain dan pakaian. Baginda memerintah dengan
baik dan gagah sekali. Ini sekali lagi menimbulkan kecemburuan Deev. Deev
sekali lagi cuba untuk menghancurkan kerajaan ini, tetapi tidak berjaya. Deev
dihalau, tetapi, atas sedikit ikhsan, Raja Tahumer menawarkan keampunan jika
Deev mengajarkan dia sesuatu. Maka, Deev bersetuju, dan mengajarkan baginda
cara untuk menulis. Selepas 30 tahun memegang tampuk pemerintahan, maka,
baginda mangkat dan takhta itu diserahkan kepada anaknya, Jamshid. Maka
terbinalah Tukht-e-Jamsheed, atau kota Persepolis yang tuanku duduk sekarang
ini,” penasihatnya menamatkan cerita.
Raja
Dara yang sebentar tadi mendengar hikayat yang diceritakan oleh penasihatnya,
mengubah pandangannya ke arah kota Persepolis. Lalu ditenungnya kembali jauh
kehadapan. Setelah mengambil nafas panjang dan menghelanya kembali, Raja Dara berkata,
“Wahai
penasihatku yang bijaksana, ketahuilah kamu, ayahanda beta telah memerintah
dengan begitu cemerlang sekali. Apabila kerajaan ini diserang oleh kerajaan
Arab yang diketuai oleh Shaib dan 100,000 orang tenteranya, ayahanda beta
berjaya mengatasinya, tiga hari tiga malam ayahanda beta berperang dengan
mereka,”
“Pada
pagi yang keempat, ayahanda beta berjaya menamatkan perang tersebut dengan
membunuh Shaib. Segala kuda-kuda perang yang begitu baik sekali milik tentera
Arab, berjaya dirampas dengan banyak sekali. Harta rampasan perang tidak
ternilai banyaknya, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara,” sambung Raja
Dara.
Tambahnya
lagi, “Semasa pemerintahan ayahanda beta juga, segala keadilan berjaya
ditegakkan. Segala permasalahan rakyat diselesaikannya. Hubungan baik antara
raja dan rakyatnya diutamakan. Sekalian rakyat begitu senang dan sayang akan
Raja Darab selama pemerintahannya yang hampir 34 tahun.”
Beliau
kemudian terdiam dan termenung panjang melihat kota Persepolis. Beliau secara
tiba-tiba menundukkan wajahnya. Riak wajahnya kelihatan seperti di dalam kesedihan.
Melihatkan rajanya yang sedang kesedihan, si penasihat bergegas menghampiri Raja
Dara dan memegang kedua-dua belah bahunya, seolah-olah faham akan perasaan
beliau.
“Jikalau
begitu kata tuanku, maka fahamlah patik apa yang tuanku fikirkan. Usahlah risau
tuanku. Pada usia tuanku yang begitu muda, 22 tahun (hikayat lain menyatakan 43
tahun), tuanku sudah mewarisi sebuah kerajaan yang begitu gah dan masyur sekali
di atas muka bumi ini. Bagi patik dan sekalian rakyat, kami tidak pandang pada
usia tuanku. Apa yang kami lihat, adalah darah Raja Darab yang mengalir di
dalam badan tuanku. Patik yakin tuanku, yang tuanku akan memerintah kerajaan
ini dengan baik sekali, seperti mana ayahanda tuanku” pujuk penasihat.
Mendengarkan
kata-kata penasihatnya, Raja Dara menitiskan air matanya kerana terharu dengan
kata-katanya, lantas memeluk penasihatnya. Beliau kini mendapat semangat yang
baru, dan berazam untuk memerintah kerajaan Parsi dengan baik sekali, seperti
mana ayahanda beliau. Beliau kemudian melepaskan pelukannya dan tersenyum, lalu
berlalu dari balkoni tersebut.
Pada
waktu pagi yang indah keesokkan harinya, burung-burung berkicauan,
bernyanyi-nyanyi dengan suara yang merdu, sinaran mentari yang tidak terlalu
panas, dan tidak pula sejuk, terlihat segala rakyat meneruskan aktiviti
sehariannya seperti biasa. Yang mana menternak, mereka membawa haiwan ternakan
ke padang ragut. Yang bertani, mereka sibuk bercucuk tanam, mengairi tanaman,
dan menabur baja bagi menyihatkan lagi tanaman. Yang mana berniaga, mereka
menguruskan perniagaan mereka dengan amanah sekali, segala urus niaga
dijalankan dengan penuh teliti, supaya kedua-dua belah pihak berpuas hati. Suri
rumah pula sibuk mengemas rumah dan menyediakan santapan untuk makan tengah
hari.
Tetapi,
berlainan pula di balai penghadapan istana Raja Dara. Suasana yang tadi hening,
tiba-tiba bertukar menjadi riuh dan kecoh seketika. Suasana tersebut berlaku
apabila utusan Raja Dara yang bertugas membawa titah, telah kembali dari
tugasnya, dan datang mengadap dibalai penghadapan sekembali dari tugasnya.
Dengan pantas, Raja Dara bertanya kepada utusan tersebut,
“Wahai
utusan, khabarkan kepada beta, apa perkhabaran dari kerajaan Macedonia. Tidak
sabar beta ingin mendengarnya. Katakan kepada beta,”
Utusan
tersebut berdiam seribu bahasa. Tidak berkata walau sepatah perkataan pun. Dia
hanya bertunduk dan kelihatan seperti ketakutan.
“Wahai
utusan, apa yang kamu diamkan? Kamu seperti ketakutan beta lihat. Ayuh, katakan
kepada beta, usah takut. Baikkah, burukkah perkhabarannya,” pujuk Raja Dara,
melihatkan utusannya yang dilihatnya sedang ketakutan.
Mendengarkan
pujukan Raja Dara, lantas utusan itu mengongakkan wajahnya menghadap Raja Dara.
Dia menghela nafas panjang. Terlihat peluh dingin menitis dari dahinya.
“Ayuh,
katakan. Usah takut,” paksa Raja Dara.
“Ampunkan
patik tuanku. Adalah menjadi tugasan patik membawa titah tuanku menghadap Raja
Iskandar di Macedonia,” Utusan tersebut memulakan bicara.
“Sesungguhnya
tuanku, patik telah berjaya sampai ke Macedonia dan menghadap Raja Iskandar
untuk menyampaikan titah tuanku, tetapi ...,” sambung utusan tersebut, tetapi
terberhenti seketika.
Utusan
tersebut menundukkan wajahnya kembali. Peluh dingin mula membasahi dahi utusan
tersebut.
“Tetapi
apa? Melihatkan perlakuanmu, sepertinya ada berita buruk yang kamu bawa dari
Macedonia,” teka Raja Iskandar.
Utusan
tersebut mendongakkan wajahnya kembali menghadap Raja Dara.
“Tuanku,
sesungguhnya, zaman telah berubah. Seperti yang kita sedia maklum, Raja
Failakus telahpun mangkat, dan diganti oleh anaknya, Raja Iskandar. Jika mana
ketika zaman pemerintahan Raja Failakus, kerajaan Macedonia dan seluruh Yunani
tunduk kepada kita, membayar ufti kepada kita setiap tahun, kini, ia telah
berubah sejak Raja Iskandar mengambil alih tempat ayahandanya,” kata utusan
memulakan ceritanya.
“Teruskan perkhabaranmu wahai utusanku,” kata
Raja Dara terkejut sedikit.
Wajah
utusan tersebut mulai berkerut, menandakan yang dia ingin menceritakan khabar
buruk yang dia ingin sampaikan.
“Ampunkan
patik tuanku. Perkhabaran ini menyebabkan tuanku murka, kerana ini bukan
perkhabaran yang tuanku inginkan. Tuanku, patik membawa balik titah balas dari
Raja Iskandar menghadap tuanku. Ketahuilah tuanku, bahawasanya, Raja Iskandar
enggan membayar wang ufti seperti mana yang tuanku titahkan. Beliau dan seluruh
Yunani enggan tunduk kepada tuanku lagi. Ketahuilah tuanku, seluruh kerajaan
sekitar Macedonia telah beliau langgar, dan kini menjadi jajahan takluk beliau.
Jumlah bala tenteranya tidak terperi ramainya. Maka oleh itu, beliau enggan
mengakui kekuasaan kerajaan Parsi ke atas Yunani,” sambung utusan tersebut.
“Tuanku,
bukan itu sahaja. Ia tidak berakhir hanya dengan keengganan Raja iskandar
membayar ufti, dan enggan mengakui kekuasaan tuanku, beliau mengistiharkan
perang ke atas kerajaan Parsi, tuanku. Beliau berjanji, akan melanggar seluruh
kerajaan di atas muka bumi ini. Beliau akan mengembara bersama-sama bala
tenteranya ke arah matahari hidup tuanku,” kata utusan tersebut menyambung
perkhabarannya.
“Menurut
penglihatan patik, tuanku, Raja Iskandar telah pun mengumpulkan bala tenteranya
dan bersedia untuk melanggar kerajaan ini, tuanku. Mereka telahpun bergerak dan
menuju ke mari. Ampunkan patik tuanku, itu sahaja perkhabaran dari patik ini,”
kata utusan tersebut mengakhiri perkhabarannya.
Mendengarkan
perkhabaran dari utusan tersebut. Raja Dara tersentak dan terdiam seketika.
Wajahnya berkerut memikirkan sesuatu. Suasana di balai penghadapan yang tadi
terdiam seketika mendengar perkhabaran dari utusan tersebut, bertukar menjadi
huru hara. Para menteri tidak senang duduk, bercakap-cakap dan berbincang sesama
mereka. Ada yang tinggi suaranya, ada yang berbisik sesama sendiri. Tidak
kurang juga, ada yang bertekak sesama mereka.
“Diam
semua!” herdik Raja Dara, membuatkan suasana di balai penghadapan menjadi
hening seketika. Para menteri duduk kembali. Keadaan menjadi terkawal seketika.
“Wahai
penasihatku yang bijaksana, khabarkan kepada beta, adakah bala tentera kita
sudah bersedia untuk menghadapi bala tentera Raja Iskandar, dan adakah peilihan
lain untuk beta?” tanya Raja Dara kepada penasihatnya.
“Ampunkan
patik tuanku. Menurut perkiraan patik, tuanku, kita belum bersedia untuk
menghadapi serangan bala tentera Raja Iskandar, kerana perkara ini terjadi
secara mengejut. Menurut perkiraan patik lagi, kita juga tiada pilihan lain,
kecuali berperang dengan mereka, kerana mereka sudahpun mara ke sini, tuanku.
Nampaknya, Raja Iskandar nekad mahu berperang dengan kita, memandangkan
reputasi kerajaan Parsi ini, menyerah kalah sebelum berperang bukan pilihan
kita, tuanku. Tetapi, terpulanglah kepada bicara tuanku, bagaimana hendaknya,”
jawab penasihat Raja Dara.
Mendengarkan
perkiraan dari penasihatnya, Raja Dara terdiam kembali, tetapi kali ini beliau
sudah bersedia untuk membuat keputusan.
“Dengarlah
para menteri dan para pegawai dan rakyat yang berada di sini, ketahuilah kamu
semua, atas desakan Raja Iskandar dan bala tentera Yunaninya, telah sampai
masanya untuk kita berperang dengan mereka, jika itu yang mereka mahukan,”
titah Raja Dara.
“Kita
tidak akan sesekali berundur, kerana, jika mana kita berundur, kita akan memalukan
datuk moyang kita, Raja Cyrus, yang telah berkali-kali berjaya mengatasi
serangan kerajaan luar, dan mereka juga telah berjaya menawan kerajaan di
sekitar Parsi, menjadikan Parsi sebuah empayar yang besar. Oleh itu, janganlah
kita sesekali tunduk kepada sesiapa yang ingin menyerang kerajaan kita ini.
Ayuh, kita sama-sama menyahut cabaran Raja Iskandar serta bala tenteranya!”
kata Raja Dara mengakhiri titahnya.
Keadaan
di balai pengahadapan menjadi bingit dengan sorakan para menteri, pegawai dan
rakyat yang berada di sana. Mereka masing-masing melaungkan kata-kata sokongan
mereka kepada Raja Dara. Raja Dara tersenyum dan semangatnya berkobar-kobar
ingin berperang untuk mengatasi ancaman Raja Iskandar serta bala tenteranya.
“Mengikut
perkiraan aku, rasanya utusan Raja Dara itu telah sampai ke Persepolis hari
ini, mesti Raja Dara dan para menterinya sedang menjerit ketakutan akibat
hasrat aku untuk melanggar empayar Parsi,” bisik hati Raja Iskandar di dalam
hatinya.
Beliau
sedang duduk di tepi tingkap, di dalam bilik peraduannya. Tiba – tiba, seorang
pengawal istana mengetuk pintu dan bergegas masuk ke dalam bilik peraduan.
“Ampun
tuanku, ampunkan patik kerana ketidak sopanan patik masuk tanpa izin tuanku.
Ini kerana, ada perkara yang sangat mustahak untuk patik sampaikan kepada
tuanku,” sembah pengawal tersebut.
“Ha,
silakan, katakana wahai pengawalku,” izin Raja Iskandar.
“Tuanku,
sebentar tadi, patik telah diberitakan bahawa ada pemberontakan di wilayah
kekuasaan tuanku berlaku,” pengawal tersebut menyampaikan berita.
“Di
wilayah mana? Katakan di mana?” desak Raja Iskandar.
“Thebes,
Athen, Thessaly, dan puak Tracian di wilayah utara Macedonia. Berita kematian
ayahanda tuanku, Raja Failakus, telah tersebar, dan mereka mula memberontak
kerana tidak mahu lagi bernaung di bawah wilayah tuanku,” jelas pengawal
tersebut.
“Baiklah,
sampaikan arahan beta kepada panglima. Beta mahukan 3000 askar berkuda. Beta
akan mengepalai sendiri angkatan ini, dan hancurkan pemberontakan tersebut,”
titah Raja Iskandar.
Maka
bertolaklah Raja Iskandar bersama 3000 askar berkudanya untuk menghancurkan
pemberontakan di wilayah itu keesokkan harinya.
Dari
kejauhan, kelihatan dua gunung yang berdiri gagah yang diselimuti awan tebal,
iaitu Gunung Olympus dan Gunung Ossa yang memisahkan kerajaan Macedonia dan
Thessaly. Menurut mitos Yunani, di gunung inilah bersemayam dewa – dewa mereka
seperti Zeus dan lain – lain.
“Ampun
tuanku, cuba tuanku lihat di laluan tengah – tengah antara dua gunung itu.
Kelihatan seperti ada orang sedang berehat. Dari telitian patik, mereka bukan
orang sebarangan,” lapor seorang askarnya kepada Raja Iskandar.
“Kamu
benar. Beta lihat, menurut cara pakaian dan zirah mereka, mereka adalah askar
pemberontak Thessaly. Mereka kelihatan bersedia dan nekad untuk menyerang
kita,” jawab Raja Iskandar.
“Apa
yang perlu kita lakukan tuanku?” tanya askar itu lagi.
“mmm…
Jika kita teruskan sahaja, kita akan berdepan dengan mereka. Satu pertarungan
yang dasyat akan berlaku. Beta tidak mahu mensia – siakan askar berkuda beta
hanya untuk menghapuskan mereka,” jawab Raja Iskandar.
Sambil
menarik nafas, Raja Iskandar menyambung lagi,
“Cuba
kamu lihat, ketinggian Gunung Olympus adalah menghampiri 10,000 kaki. Jika kita
lihat pada Gunung Ossa, ketinggianya cuma 6,500 kaki sahaja. Jika kita daki
Gunung Ossa, kita boleh muncul di belakang askar Thessaly pada hari esok. Beta
yakin, mereka akan terkejut dan tidak akan bersedia. Jika mereka melawan,
nescaya, hancurlah semua askar mereka, dan askar kita pula akan selamat,” saran
Raja Iskandar.
Maka,
Raja Iskandar dan para askar berkudanya mengelak dari bertembung dengan askar
Thessaly dengan mendaki Gunung Ossa, tanpa askar tersebut ketahui, sepanjang
malam.
Panglima
Thessaly terjaga dari tidurnya, apabila beliau merasakan ada haba panas dan cahaya
yang terang menyapa ke muka beliau. Perlahan – lahan beliau membuka matanya.
Kadang – kadang beliau menutupkan kembali matanya kerana silau. Setelah beliau
berjaya membuka matanya, alangkah terkejut beliau apabila mata pedang sudah
berada di hadapan matanya.
“Hai
sang pemberontak, puas kamu tidur malam tadi? Kalau ikutkan hati, mahu sahaja
aku benam mata pedang ini di kerongkong kamu!” gertak Raja Iskandar.
“Hah,
Raja Iskandar. Ampun tuanku. Kasihanilah patik tuanku. Jangan bunuh patik.
Patik menyerah kalah. Ambillah apa sahaja yang tuanku mahukan, tetapi
ampunkanlah patik dan pengikut – pengikut patik. Patik akui, yang patik
mengikutkan hati sangat. Patik janji, patik akan setia dengan tuanku dan
Macedonia,” rayu panglima dari Thessaly itu.
“Jika
demikian, beta terima kamu menyerah kalah. Beta mahu askar berkuda kamu
bergabung dengan askar berkuda beta,
untuk menghapuskan pemberontak yang lain,” titah Raja Iskandar.
Maka,
panglima itu menerima titah Raja Iskandar, dan bergabunglah mereka dengan
tentera baginda, dan meneruskan perjalanan ke arah selatan, iaitu Peloponnese.
Di sempanjang perjalanan kempen itu, baginda berhenti di Thermopylea, sebelum
meneruskan perjalannya ke Corinth.
Di
Athen, para pahlawan yang terkenal dengan keperwiraan mereka, sedang kelam
kabut apabila mengetahui yang bala tentera Raja Iskandar sedang menghampiri
mereka.
“Panglima,
kedatangan Raja Iskandar ini bukan main – main. Kelihatan begitu ramai askar
berkuda yang dibawanya. Kelihatan juga askar berkuda dari Thessaly. Berkemungkinan,
pemberontakan dari Thessaly telah berjaya dipatahkan!” sampai seorang askar
kepada panglimanya.
“Aku
tahu. Askar tersebut menyerah kalah apabila Raja Iskandar dan bala tenteranya
muncul dari belakang pada waktu pagi. Taktik Raja Iskandar sangat licik. Lebih
baik kita menyerah kalah sahaja, dari berperang dengan baginda,” saran Panglima
Athen.
Maka,
apabila Raja Iskandar tiba di Athen, tidak banyak halangan yang berlaku, dan
Athen menyerah kalah. Pemberontakan dapat dipatahkan, dan rakyat Athen diampunkan.
Inilah
dia permulaan bagi kempen peperangan antara Kerajaan Achaemenid, Parsi. Sebelum
baginda memasuki wilayah Asia, baginda ingin mengukuhkan dulu kedudukannya di sempadan
utara. Pada musim bunga tahun berikutnya, baginda menjalankan lagi kempen untuk
menghapuskan pemberontakan.
Bermula
dari Amphipolis, baginda menjejakkan kakinya ke Gunung Heamus, lalu mengalahkan
tentera Tracian. Kemudian, baginda ke Sungai Lyginus, mengalahkan tentera
Triballi. Selama tiga hari kemudia, baginda dan bala tenteranya berjalan menuju
ke Sungai Danube, dan menyeberanginya pada waktu malam, lalu bertempur dengan
tentera Getea.
Akhir
sekali, baginda menuju ke barat apabila mengetahui yang Raja Cleitus dari
Illyria, dan Raja Glaukias dari Taulanti, telah berpaling tadah dan
memberontak. Maka dilanggarnya kedua negeri tersebut, dan larilah raja – raja
itu menyelamatkan diri. Dengan kemenangan ini, kedudukannya sempadan disebelah
utara telah kukuh. Tetapi, sekali lagi Thebes dan Athen cuba untuk memberontak.
Setibanya baginda ke sana, semua menyerah buat kali terakhir, kecuali Thebes.
Maka amuklah Raja Iskandar dan bala tenteranya di Thebes. Habis semua dibakar,
dihancurkan. Keadaan di Thebes mengerikan. Mereka seperti singa yang dahagakan
darah. Dengan itu, maka hancurlah negeri Thebes.
Comments
Post a Comment