BAB 4 : MERISIK KEKUATAN RAJA DARA DENGAN HELAH
“GROOOOOOMMM!!!”
Bunyi
guruh yang amat kuat yang datang entah dari mana mengejutkan Raja Iskandar dari
mengimbau kenangan beliau ketika berperang dengan Raja Dara.
“Heh,
Sungai Danube. Perkara yang sama yang aku lakukan. Waktu malam yang sama,
tetapi kali ini, dengan ribut monsun yang sedang mengganas. Tidak sia – sia aku
melanggar puak Gatea. Pengalaman itu yang membuatkan aku terfikir untuk
menyeberangi sungai Hydasphes untuk menyerang bala tentera Raja Porus,” bisik
hati Raja Iskandar.
Bajunya
basah kuyup. Kadang – kadang baginda meratakan air yang membasahi rambutnya
yang panjang itu.
Suasana
ketika itu masih lagi seperti kelam kabut, tetapi tidak di hati Raja Iskandar.
Beliau amat tenang sekali. Sesekali, dilihatnya pasukan tentera keduanya yang
berkhemah di posisi tengah, yang beliau tugaskan untuk mengelirukan tentera
Raja Porus. Dibandingkannya pula dengan tentera Raja Porus yang berada
diseberang pasukannya.
“Oh,
masih tidak bergerak, perancanganku membuahkan hasil. Mereka telah tertipu
dengan helahku,” bisik hati Raja Iskandar.
Beliau
tersenyum sinis apabila teringatkan bagaimana beliau mempermainkan Raja Dara di
kem milik tentera Parsi.
Ketika
itu, ke dua-dua bala tentera telah bersemuka di Sungai Pinarus. Lokasi sungai
ini berdekatan dengan bandar Issus, di selatan Anatolia. 2 batu dari teluk
Issus. Ia dikelilingi oleh gunung ganang. Di lokasi seperti ini, ia tidak
memberikan sebarang kelebihan kepada Raja Dara yang mempunyai askar yang ramai.
Jika berperang secara berdepan sekalipun, dengan kawasan peperangan yang agak
terhad, hanya sebahagian sahaja yang dapat diturunkan oleh baginda untuk
berperang.
“Engkau
memang bijak wahai Raja Iskandar. Ia bukan kebetulan kita bertembung di sini.
Dengan keadaan geografi seperti ini, kamu telah menyedari lebih awal bahawa aku
tidak akan mampu menurunkan bala tenteraku sepenuhnya. Di hadapan sungai, di
sekitar dikelilingi gunung,” bisik hati Raja Dara.
Di
seberang sungai Pinarus, kelihatan Raja Iskandar yang sedang tersenyum
menyaksikan bala tentera Raja Dara yang tersepit dikelilingi gunung.
“Hai
Raja Dara, engkau telah jatuh ke dalam perangkap ku. Nah sekarang, tunjukkan
kepadaku, bagaimana engkau mahu menurunkan semua bala tenteramu itu? Hahaha…”
bisik hati Raja Iskandar sambil ketawa.
Seperti
biasa sebelum peperangan, salah satu pihak akan menghantar utusan untuk
bersemuka dengan Jeneral atau Raja pihak lawan di kem.
Waktu
ketika itu ialah waktu malam, agak gelap kerana bulan tidak kelihatan untuk
menyinari malam itu. Raja Iskandar ketika itu, telah bersetuju untuk menghantar
wakil utusannya ke kem Raja Dara. Ditenungnya dari jauh kem tersebut sambil
berfikir, siapa yang patut dihantarnya. Beliau tidak boleh menghantar
calang-calang orang untuk berhadapan dengan Raja Dara, lagi-lagi ketika
peperangan ini.
“Raja
Dara itu boleh tahan juga liciknya. Jika tidak benar – benar bijak, utusan itu
akan ditipu, dan tidak mendapat maklumat selengkapnya. Tanpa maklumat yang
lengkap, peperangan ini akan jadi sia – sia. Bala tenteraku akan kalah dan
musnah!” bisik hati Raja Iskandar.
Beliau
kemudian masuk ke dalam khemah miliknya dan memanggil para panglimanya serta
penasihatnya, untuk mendapatkan pandangan masing - masing.
Setelah
semua masuk, Raja Iskandar memulakan bicaranya. “Adakah kamu semua tahu, apa
tujuan beta memanggil kamu semua?”
“Ampun
tuanku, menurut patik, jika dalam keadaan ini, pasti ada perkara penting ingin
tuanku sampaikan. Jika benar, adakah ia berkaitan dengan pemilihan utusan untuk
di hantar untuk menghadap Raja Dara di kem nya?” jawab salah seorang yang
hadir.
“Ya,
benar. Adakah dikalangan askar kita yang bijaksana yang boleh dijadikan sebagai
seorang utusan? Beliau mesti mampu memperdayakan Raja Dara, jika tidak, sama
ada beliau akan mati, atau dia yang akan diperdaya oleh Raja Dara nanti,” tanya
Raja Iskandar.
“Ampun
tuanku, menurut pandangan patik, tiada siapa yang lebih bijak dan selicik itu
di kalangan askar kita. Kecuali tuanku sendiri,” ujar seorang panglima.
“Betul!”
hadirin yang lain bersetuju.
Raja
Iskandar termagu sebentar mendengarkan kata – kata para hadirin. Baginda
berfikir sejenak dan membuat keputusan,
“Mmmm...
Jika begitu kata kamu semua, beta telah pun membuat keputusan. Bagi menjayakan
misi ini, beta memilih diri beta sendiri untuk berhadapan dengan Raja Dara di
kemnya,”
Suasana
di khemah Raja Iskandar tiba-tiba menjadi riuh sebentar mendengarkan keputusan
Raja Iskandar itu. Masing-masing seperti tidak percaya dengan keputusan
tersebut. Manakan tidak, jika sesuatu terjadi ketika pertemuan itu, siapa yang
akan mengetuai bala tentera ini.
Tiba-tiba,
salah seorang dari hadirin bersuara,
“Ampun
tuanku. Mengapa tuanku menetapkan sedemikian. Jika terjadi apa-apa pada tuanku,
siapa yang akan mengetuai bala tentera ini untuk berhadapan dengan bala tentera
Raja Dara? Kami amat menyayangi tuanku dan amat memerlukan tuanku untuk
memimpin kami. Biarlah salah seorang dari kami pergi, jika terjadi apa-apa,
sekurang-kurangnya, tuanku masih ada untuk mengepalai serangan ini,” soal
beliau kepada Raja Iskandar.
Mendengarkan
soalan tersebut, Raja Iskandar tersenyum. Beliau sudah menyangka yang soalan
seperti ini akan diajukan. Beliau tahu yang para panglimanya sangat menyayangi
beliau. Beliau menarik nafas panjang dan menghembuskannya kembali.
“Begini,
beta sudah menyangka yang kamu semua tidak akan bersetuju dengan keputusan
beta. Beta tahu yang kamu semua amat memerlukan beta, dan bukan kamu semua
tidak layak untuk menggalas tugas ini, tetapi biarlah beta pergi sendiri
menghadap Raja Dara, dan berseorangan” jawab Raja Iskandar.
“Ampun
tuanku, apa maksud tuanku berkata demikian?” sampuk salah seorang panglimanya.
“Beta
tidak bermaksud apa-apa. Sudah beta katakana tadi, jika tidak mahu diperkotak
katikkan oleh Raja Dara, utusan tersebut mestilah licik. Nah, kamu katakana
yang beta lebih bijak dan licik dari baginda, biarlah beta yang pergi. Lagipun,
beta juga mahu mengenal sendiri lawan beta, siapa beliau, bagai mana
perwatakkan beliau. Perwatakan beliau melambangkan kepimpinan beliau dan cara
beliau berperang. Dengan ini, mudahlah beta untuk mengatur serangan nanti,”
jawab Raja Iskandar.
“Wahai
para hadirin yang gagah perkasa dan bijaksana, keputusan beta adalah muktamad.
Sebentar lagi beta akan bertolak ke khemah Raja Dara. Doakan beta berjaya,” titah
Raja iskandar.
“Jika
sedemikian titah tuanku, rasanya tidak perlulah tuanku pergi bersendirian.
Izinkan salah seorang dari kami mengiringi tuanku. Jika terjadi apa-apa,
bolehlah kami mempertahankan tuanku,” cadang salah seorang panglimanya.
Mendengarkan
cadangan itu, Raja Iskandar tiba-tiba diam sebentar dan mengerutkan dahinya,
kemudian beliau bersuara,
“Usahlah
kamu ikut. Jika kamu ikut, ia hanya akan membebankan beta. Jika kamu semua
lihat di luar, suasana amatlah gelap. Sesuai sekiranya beta ingin menyamar
sebagai utusan, kerana dalam suasana ini, rupa beta akan menjadi samar-samar.
Tambahan lagi, Raja Dara tidak mengenal akan beta kerana beliau tidak pernah
berjumpa dengan beta. Jika terjadi apa-apa, mudahlah beta untuk melepaskan diri
di dalam suasana begini. Jika salah seorang dari kamu ikut, perkara melepaskan
diri akan menjadi sedikit sukar!” terang Raja Iskandar dengan tegas.
Mendengarkan
penerangan dan ketegasan Raja Iskandar, mereka akur dengan keputusan itu.
Masing-masing kemudian bersurai setelah diarahkan Raja Iskandar. Kemudia,
beliau menanggalkan pakaian yang melambangkan beliau sebagai raja, dan
menggantikan pakaiannya dengan yang lebih sederhana, seperti seorang utusan.
Beliau
kemudia keluar dari khemah dan memandang ke arah kem Raja Dara dengan senyuman,
lalu menutup kepalanya dengan serkup jubahnya. Beliau berjalan ke arah kem Raja
Dara seorang diri. Baginda menggunakan jalan yang gelap gelita, supaya tidak
disedari oleh pihak musuh. Sekali sekala, kakinya terlanggar batu dan baginda
hampir nak tersungkur. Maklumlah, jalannya gelap. Hanya samar – samar sahaja
permukaan tanah jalan. Andai ular lalu, sudah tentu dipatuknya kaki baginda. Setelah
lama berjalan, maka beginda terlihat sinar disebalik batu – batu besar.
“Ha,
sampai pun akhirnya. Tiada siapa yang perasan akan kehadiranku ini,” bisik hati
baginda.
Setibanya
beliau ke kem tersebut, beliau tercari-cari, yang mana satu khemah milik Raja
Dara. Khemah seorang raja mana mungkin sama dengan perajurit lain, mestilah
sedikit megah, melambangkan status bagindasebagai seorang raja.
Beliau
berjalan dari satu khemah, ke khemah yang lain. Terlihat akan baginda,
perajurit-perajurit Raja Dara, ada yang sedang berbual di hadapan unggun api
sambil makan dan minum. Ada yang sedang mengasah pedang, bagi membuat
persediaan, dan tidak kurang juga ada yang sedang tidur, mungkin keletihan
kerana berkawad ke sini siang tadi.
Ketika
sedang mencari khemah Raja Dara, Raja Iskandar sempat mengira bilangan
perajurit milik Raja Dara yang turut serta di dalam peperangan itu.
“Berdasarkan
bilangan khemah, berkemungkinan, bilangan perajurit milik Raja Dara, tidak
kurang dari 600,000 orang. 2 kali ganda dari bilangan perajurit milikku,” bisik
Raja Iskandar di dalam hati.
Tiba-tiba,
beliau terlihat sebuah khemah yang agak lain sedikit dari khemah yang lain. Di
hadapannya, berdiri dua orang pengawal yang mengawal khemah tersebut. Beliau
dengan pantas mendekati khemah tersebut.
Setibanya
di khemah tersebut, beliau memperkenalkan dirinya sebagai seorang utusan dari
Raja Iskandar kepada pengawal tersebut, lalu meminta izin untuk memasuki khemah
bagi menghadap Raja Dara. Setelah berbincang seketika dengan rakannya, pengawal
itu masuk sebentar ke dalam khemah.
“Tuanku,
ada seorang utusan dari Raja Iskandar, meminta izin ingin menghadap tuanku,”
pinta pengawal tersebut.
“Oh,
jika begitu, izinkan beliau masuk,” ringkas jawab Raja Dara.
Pengawal
itu tadi keluar dan berjumpa dengan Raja Iskandar, lalu menjemput beliau masuk
menghadap Raja Dara.
“Wahai
utusan Raja Iskandar, silakan masuk. Berhati – hati, jangan sampai kamu
diperbodohkan oleh rajaku itu, hahaha,” ejek pengawal tersebut.
Baginda
hanya tersenyum, lantas masuk ke dalam khemah tersebut. Kelihatan beberapa
orang sedang duduk bersama Raja Dara. Berdasarkan pakaian mereka, mungkin
mereka panglima yang berkhidmat dengan Raja Dara. Beliau merenung satu persatu
panglima tersebut. Perkara ini mendatangkan ketidak senangan di kalangan
mereka.
“Siapakah
namamu wahai pemuda?” tanya Raja Dara.
Raja
Iskandar segera memalingkan mukanya ke arah Raja Dara. Dia menundukkan sedikit
kepalanya sebagai tanda hormat dan tersenyum.
“Ampun
tuanku. Patik hanyalah seorang pesuruh biasa sahaja tuanku. Tugas patik cuma
membawa pesan sahaja. Tidak layak untuk diberi nama atau gelaran,” helah Raja
Iskandar sambil tersenyum.
Mendengarkan
kata-kata Raja Iskandar, bibir Raja Dara mengukirkan senyuman. Beliau dapat
merasakan yang orang dihadapannya bukan orang biasa. Tambahan dengan auranya,
gaya percakapannya seperti seorang bangsawan dan bahasa badannya yang tidak
kekok, beliau dapat mengagak yang dia bukan calang-calang orang. Lantas Raja
Dara mempersilakan Raja Iskandar duduk di kerusi hadapannya.
“Pengawal
beta memberi khabar, yang kamu adakah utusan Raja Iskandar, benarkah
sedemikian?” tanya Raja Dara.
Raja
Iskandar mendiamkan diri. Beliau hanya merenung tajam ke arah Raja Dara.
Beberapa kali Raja Dara bertanyakan soalan yang sama, tetapi tiada balasan dari
Raja Iskandar.
“Barangkali,
kamu ingin menguji kesabaran beta. Jika begitu adanya, kamu tidak akan berjaya
wahai orang muda,” ujar Raja Dara.
Sungguhpun
benar seperti dikata oleh Raja Dara, Raja Iskandar masih tenang, dan kadang
kala sedikit tersenyum.
“Tidak
mengapalah jika kamu tidak mahu membuka mulut. Beta tidak mahu membuang masa,”
kata Raja Dara dalam nada yang sedikit marah.
“Sampaikanlah
kata-kata beta ini kepada Raja Iskandar. Jika Raja Iskandar datang ke mari
dengan hajat untuk berperang dengan beta, silalah, beta sudi berperang dengan
beliau, jika menang, ambillah takhta kerajaan beta. Jika Raja Iskandar datang
kemari dengan hajat hanya untuk menunjuk-nunjuk kekuatannya, ketahuilah, beta
mempunyai 600,000 bala tentera, dengan keistimewaan kereta kuda berperisai yang
tidak terkalah di medan perang,” titah Raja Dara.
“Melihatkan
suasana di kem kamu, beta yakin, yang bala tentera Raja Iskandar hanyalah
separuh dari jumlah bala tentera milik beta,” ucap Raja Dara, sambil
menunjukkan wajah yang mengejek.
Wajah
Raja Iskandar sedikit berubah mendengarkan kata-kata Raja Dara, mungkin kerana
terkesan dengan kata-kata tersebut. Tetapi, Raja Iskandar tetap mengawal diri
beliau dari melakukan tindakan-tindakan yang boleh menyebabkan tipu helah serta
penyamarannya terbongkar. Raja Iskandar kembali tersenyum dan menunjukkan
tanda-tanda yang beliau ingin berbicara.
“Patik
hadir kemari membawa perutusan dari Raja Iskandar buat tuanku. Perdengarkanlah
utusan ini,” kata Raja Iskandar memulakan bicara.
Raja
Dara yang tadi mula hilang sabar, tiba – tiba terkejut apabila Raja Iskandar
memulakan bicaranya.
“Teruskan,”
jawab Raja Dara.
Raja
Iskandar menarik nafas panjang dan memulakan bicaranya. Dengan karisma yang
bersinar-sinar, baginda dengan lantang dan yakin bersuara,
“Ampun
tuanku. Datangnya utusan dari Raja Iskandar dengan berbunyi begini; Dengar sini
wahai Raja Parsi. Sesungguhnya, beta datang ke sini bukanlah hanya semata-mata
bertujuan untuk melanggar dan menawan kerajaan ini sahaja. Tetapi beta hadir ke
sini adalah untuk mempelajari sejarah, adat, serta undang-undang kerajaan Parsi
melalui penelitian sendiri. Tujuan sebenar beta adalah untuk mengembara ke
serata dunia. Berikanlah beta laluan serta kebenaran untuk tujuan ini, tiada
apa yang beta pinta. Tetapi, jika mana Raja Parsi tidak membenarkan tujuan ini,
dan berkeras mahukan peperangan, maka tiada apa yang bakal kamu dapat, kecuali
peperangan dan kehancuran, dan beta tidak akan sesekali bertolak ansur lagi
dengan kamu,” ucap Raja Iskandar menyampaikan titah, dengan lagak seorang utusan.
Mendengarkan
kata-kata tersebut. Wajah Raja Dara tiba-tiba berubah menjadi serius, dan
seperti sedikit terkejut. Beliau begitu kagum dengan kata-kata serta intonasi
penyampaian tersebut. Sudah sahlah, yang duduk dihadapan beliau ini, bukan
calang-calang orang.
“Tidak
pernah aku berjumpa dengan orang seperti ini. Jika begini personaliti seorang
utusan, tambahan dengan titah yang disampaikan, memang nyata, Raja Iskandar
bukan orang sebarangan. Beliau mungkin seteru yang hebat,” bisik Raja Dara di
dalam hati.
“Sekali
lagi beta tanya, siapakah nama kamu. Apakah pangkat kamu di dalam bala tentera
Raja Iskandar. Beta merasakan yang kamu bukan orang sebarangan. Dari lirik mata
kamu yang begitu tajam, seolah-olah tiada apa yang kamu takutkan, malah seperti
mencabar siapa-siapa yang bertentang mata dengan kamu,” pujuk Raja Dara kepada
Raja Iskandar.
“Ampun
tuanku, sudah patik katakan, yang patik ini cumalah pesuruh biasa Raja
Iskandar,” Raja Iskandar memberikan helah.
“Sungguh
beta tidak percaya, jika kamu mengatakan yang kamu hanyalah utusan biasa,
kata-kata kamu amat meyakinkan, dan seperti lagak seorang bangsawan, adakah
kamu Raja Iskandar?” tanya Raja Dara kebingungan.
Mendengarkan
kata-kata Raja Dara yang menunjukkan seperti helahnya hampir terbongkar, dengan
pantas Raja Iskandar menafikannya.
“Tuanku,
patik bukanlah seperti yang tuanku rasakan. Raja Iskandar memiliki kerajaan
yang besar. Dari berates ribu pahlawan yang gagah perkasa, sehinggalah hamba
yang merendah diri ini, mereka berdiri teguh dibelakangnya. Adalah tidak wajar
jika hendak membandingkan patik yang hina ini dengan Raja Iskandar yang mulia
itu,” tegas Raja Iskandar, meyakinkan Raja Dara bahawa dia hanyalah utusan
biasa.
Kagum
dengan kata-katanya, Raja Dara tidak mampu untuk menahan untuk tersenyum lalu
menyuruh pelayannya menghidangkan hidangan yang enak-enak kepada Raja Iskandar
dan Raja Dara sendiri menghidangkan air minuman di dalam goblet emas (cawan
berbentuk piala) tanda hormat dan kekagumannya kepada beliau.
“Silakan
minum, ini sebagai tanda kekaguman beta kepada kamu,” jemput Raja Dara.
Sambil
mengangguk, Raja Iskandar minum minuman itu sehingga habis, lalu menunjukkan
cawannya yang sudah kosong itu. Pelayan meminta untuk diserahkan cawan itu
kepadanya. Tetapi, Raja Iskandar enggan menyerahkan cawan tersebut kepada
pelayan itu. Raja Dara terkejut dengan tindakan beliau.
“Wahai
utusan yang mulia, kenapakah kamu enggan menyerahkan kembali cawan tersebut?”
tanya Raja Dara.
Raja
Iskandar tersenyum lalu memulakan helahnya yang berikut.
“Ampun
tuanku. Jika mana berpandukan adat dan kebiasaan orang-orang Yunani, jika mana
goblet emas diserahkan kepada utusan, ia akan secara automatik menjadi milik
utusan tersebut, tuanku,” jawab Raja Iskandar dengan penuh helah.
Kagum
dengan penjelasan ini, Raja Dara mengarahkan supaya pelayan menghidangkan
minuman di dalam goblet emas yang lain. Jumlah goblet keseluruhannya adalah
sebanyak 4 biji, dan Raja Iskandar berjaya menghabiskan kesemuanya.
Suasana
meriah di dalam jamuan malam itu. Mereka yang menghadiri jamuan itu dihidangkan
dengan bermacam-macam hidangan dan bermacam-macam bentuk hiburan. Raja Iskandar
menikmati apa yang dihidangkan dan dipersembahkan dengan hati yang gembira.
Tetapi, ini tidak bermakna yang beliau menjadi alpa dan lalai di dalam suasana
ini, malah beliau menjadi semakin berwaspada ketika itu.
Tidak
semena-mena, pintu khemah terselak, lalu masuklah seorang pegawai yang Raja
Iskandar amat kenali. Pegawai itulah yang menjadi utusan Raja Dara tempoh hari.
Pegawai itu sedikit terkejut, kerana dia mengenali Raja Iskandar yang menyamar
sebagai seorang utusan. Dengan penuh berhati-hati, pegawai itu mendekati Raja
Dara dan membisikkan sesuatu di telinga beliau.
“Ampun
tuanku, yang duduk di hadapan tuanku, bukanlah seorang yang calang-calang.
Jangan tuanku terkejut dengan perkhabaran ini. Bahawasanya, yang duduk di
hadapan tuanku itu bukanlah seorang utusan, tetapi itulah seteru tuanku, Raja
Iskandar,”
Terkejut
dengan bisikan itu, dengan pantas Raja Dara menoleh ke arah Raja Iskandar.
Wajahnya merah dan berkerut. Beliau terkejut bercampur marah setelah mengetahui
yang dihadapan beliau itu adalah Raja Iskandar. Beliau merasakan yang dirinya
telah diperdaya dan dipermainkan oleh Raja Iskandar.
Belum
sempat Raja Dara membuka mulut, dengan pantas Raja Iskandar berdiri dan
mencapai 4 biji goblet emas itu, lalu menyorokkannya di dalam jubahnya, dan berlari
ke arah pintu khemah. Baginda berjaya keluar melarikan diri di celah-celah
kegelapan malam yang pekat itu.
“Tangkap
orang itu! Bawa dia ke sini hidup-hidup!” titah Raja Dara dengan lantang.
Semua
pegawai yang hadir malam itu bergegas mengejar Raja Iskandar, tetapi, di dalam
kepekatan malam itu, Raja Iskandar telahpun menghilangkan diri, lalu
menghampakan semua yang mengejarnya tadi.
“Beta
berasa tertipu dan berasa dipermainkan dengan kelicikan helah Raja Iskandar.
Tidak sangka, yang baginda panjang akal, dan berjaya memperdayakan beta
hidup-hidup, malah di dalam kawasan kem beta, dan di dalam khemah beta sendiri.
Benarlah, Raja Iskandar tidak boleh dipandang enteng akan kebijaksanaannya.
Beliau merupakan seteru yang tidak boleh dipermainkan. Mungkin beta telah
bertemu buku dengan ruas,” keluh Raja Dara kepada penasihatnya.
Setibanya
Raja Iskandar di khemah baginda sendiri, dengan pantas beliau menitahkan
penasihatnya, Aristotle dan para panglimanya datang mengahadap beliau. Setelah
semuanya tiba, beliau meletakkan ke empat-empat goblet emas itu di atas meja.
Terkejut
melihatkan goblet emas itu, Aristotle bersuara,
“Ampun
tuanku, di mana tuanku memperoleh cawan tersebut?”
“Jangan
kamu terkejut wahai Aristotle. Inilah hasil helahku di khemah Raja Dara. Beta
berjaya memperdayakan Raja Dara, di dalam khemah beliau sendiri, malah
dihadapan beliau sendiri,” jelas Raja Iskandar.
“Dengar
sini semua, bersiap sedialah kamu semua untuk berperang pada hari esok, kerana
beta sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan Raja Dara dan bala tenteranya.
Beta telah pun merancang strategi untuk berhadapan dengan mereka. Buatlah
persediaan. Rehatlah secukupnya, kerana beta percaya, yang kamu akan
memerlukannya esok,” titah Raja Iskandar.
Semua
yang hadir bersorak keriangan, tanda yakin dengan kepimpinan Raja Iskandar.
Teriakan mereka memecah kebuntuan malam, malah kedengaran sehingga ke khemah
Raja Dara, membuatkan Raja Dara tidak senang duduk, kerana gusar memikirkan dan
menantikan hari esok.
Comments
Post a Comment