BAB 5 : MENTOR DAN MEMMON, PANGLIMA AGUNG PARSI DARI YUNANI DAN PEMBERONTAKAN AGUNG
Diwaktu
ketika dinihari, Raja Dara duduk termenung melihat rembulan yang ketika itu
agak suram, dilindungi awan mendung.
“Adakah
hari esok, hari akan hujan?” fikirnya sejenak.
“Andai
aku boleh menilik adakah hari esok akan hujan, alangkah lebih bagus aku
menilik, adakah aku akan menang pada hari esok,” fikirnya lagi.
Raja
Dara kelihatan agak runsing memikirkan peperangan yang akan berlaku esok. Apa
perlu dia lakukan? Kegemilangan Empayar Parsi mesti dipertahankan. Mana mungkin
beliau mahu melihat kerajaannya diinjak-injak oleh Raja Iskandar. Tetapi,
bagaimana?
Dalam
kerisauan itu, beliau dikejutkan oleh satu suara dari belakang, menyapa beliau.
“Ampun
tuanku, sekiranya patik tidak salah, nampaknya seperti tuanku seperti gusar
memikirkan sesuatu? Adakah tuanku gusarkan tentang kami yang gagal menghalang
Raja Iskandar dari masuk ke perkhemahan kita?,” sapa beliau.
Tersedar
dari lamunan beliau, Raja Dara menoleh ke belakang untuk melihat, siapa yang
menyapa beliau.
“Oh,
Jeneral. Beta ingatkan siapa tadi yang berani-berani menegur beta,” kata Raja
Dara.
“mmmmm…
bukan itu yang beta risaukan,” tambah Raja Dara.
“Atau tuanku murka kerana kami gagal
menangkap?” teka Jeneral itu lagi.
“Bukan
juga,” jelas Raja Dara.
“Habis
tu, apa yang tuanku gusarkan? Jika boleh, izinkan patik untuk mendengarnya,
jika tuanku sudi untuk berkongsi dengan patik. Barangkali, patik boleh
mencadangkan sesuatu jalan penyelesaian untuk perkara tersebut,” pujuk Jeneral
itu lagi.
“Kamu
masih ingat dengan Memnon?” Tanya Raja Dara.
“Maksud
tuanku, Jeneral Memnon?” tanya Jeneral itu lagi.
“Ya,
Jeneral Memnon. Alangkah baiknya jika beliau masih hidup. Beta yakin, beliau
akan memberikan tentangan yang hebat kepada Raja Iskandar, seterusnya
mengucar-kacirkan beliau. Pasti, Jeneral Memnon akan memeningkan kepala Raja
Iskandar,” Jelas Raja Dara.
Kisah
Memnon dari Rhodes ini agak pelik bunyinya apabila dihikayatkan. Rhodes, iaitu
tempat lahirnya Memnon, merupakan sebahagian dari Yunani. Tetapi, beliau
menjadi orang kepercayaan Raja Dara, dan diberikan pangkat Panglima Agung
angkatan tentera Parsi, malah merupakan antara pencabar terhebat dalam
peperangan pertama antara empayar Parsi dan Raja Iskandar.
“Wahai
adindaku Memnon, sudikah engkau mengikuti aku untuk menyertai pemberontakan
Artabazus menentang kekuasaan Raja Darab di Hellespontine Phrygia, iaitu
sebahagian dari wilayah Parsi?” tanya Mentor kepada adiknya, Memnon.
“Ha?
Biar benar ucapan kakanda ini? Sudah hilang akalkah si Artabazus itu? Kan dia diberikan
kuasa sebagai pemerintah kawasan itu? Kenapa mesti dia memberontak? Dan kakanda
pula, kenapa mesti menyertai pemberontakan itu? Tidak cukupkah Parsi memberi
sebahagian tanah di wilayahnya, iaitu Troad kepada kakanda?” Memnon
mempersoalkan tindakan abangnya yang mahu memberontak.
“Seperti
yang engkau ketahui, ini bukan soal tanah, tetapi soal hubungan. Artabazus dan
kita bukan orang lain, dia adalah bapa mertuaku sendiri, bapa kepada Barsine,
isteriku,” jawab Mentor.
“Lagi,
kamu sudah lupakah, yang kakanda kepada Artabazus, Ariobarzanes ditangkap dan
dibunuh oleh Raja Bahman, ayahanda Raja Darab kerana memberontak semasa
pemberontakan besar – besaran sebahagian wilayah empayar Parsi? Mungkin ini
adalah rancangan untuk membalas dendam, dan ini masa yang sesuai kerana Raja
Dara baru sahaja menaiki takhta,” teka Mentor bagi menjawab pertanyaan adiknya.
“Kena
ingat lagi, kita adalah askar upahan yang tidak bernegara. Jika diarahkan
berperang, maka berperanglah kita,” tambah Mentor lagi.
“Jika
itu keputusan kakanda, maka, akan ku turuti jualah kemana engkau pergi,” Memnon
bersetuju.
Maka,
keesokkan harinya, bertolaklah mereka dan para askar upahannya ke Hellespontine
Phrygia. Di sana, mereka bertemu dengan Artabazus dikediamannya.
“Akhirnya,
sampai juga kamu semua. Ayahanda ingatkan, kamu semua tidak mahu menuriti
perjuangan ayahanda,” sambut Artabazus.
“Anakanda
dan adinda anakanda, Memnon, serta segala askar dibawah anakanda, sedia
berkhidmat dengan ayahanda,” jelas Mentor kepada ayah mertuanya.
“Bagus!
Dengar sini semua. Perjuangan kita bukan hanya untuk menentang dan membebaskan
Hellespontine Phrygia dari empayar Parsi, tetapi juga menentang penguasa
wilayah lain yang menyokong kepimpinan Raja Darab,” jelas Artabazus kepada
semua yang hadir.
“Ayahanda,
anakanda rasa, dengan kekuatan yang kita ada, belum tentu kita akan berjaya
dalam perjuangan ini. Sudahlah Parsi itu besar, tambah lagi penguasa wilayah
lain. Mustahil ayahanda,” soal Mentor.
“Jangan
kamu risau, ayahanda telahpun mendapatkan bantuan dari Athen. Panglimanya,
Cheres, akan datang membantu kita nanti bersama – sama askar upahannya nanti,”
jelas Artabazus dengan yakinnya.
Setelah
persiapan dilakukan tidak lama kemudian, pada suatu hari, Artabazus dikejutkan
dengan kehadiran seseorang yang beliau kenali.
“Rasanya,
aku seperti mengenali dirimu ini. Melihatkan perisai dan zirahmu, kamu orang
Thebes bukan? Panglima Pammenes bukan?” soal Artabazus sambil terkejut.
“Benar
katamu wahai Artabazus. Aku adalah Pammenes. Aku dihantar oleh pemerintah
Thebes untuk berjuang bersamamu,”
“Bagus.
Bagus. Bagus….” ucap Artabazus sambil memeluk Pammenes.
“Aku
hadir bersama dengan 5000 orang askar untuk membantu,” ujar Pammanes
memberitahu jumlah askar yang mengikutinya.
“Jumlah
yang bagus. Tambah dengan askar Mentor dan Memnon, dan juga Cheres, kita sudah
benar – benar kuat, Raja Darab tidak akan memperoleh kemenangan, baginda akan
tunduk dengan pemintaan kita nanti,” ujar Artabazus kegembiraan.
Maka,
tibalah hari yang ditunggu – tunggu. Tentera Raja Darab telah tiba untuk
mematahkan pemberontakan. Peperangan pun berlaku. Suasana medan peperangan
sangatlah bingit. Teriakan para pahlawan di kedua – dua belah pihak sangat
mengerikan seperti bunyi guruh yang membelah bumi. Pedang bertemu pedang. Anak
panah menghujani setiap penjuru medan perang seperti hujan ribut. Debu tebal
yang berterbangan menutupi ruang angkasa. Sinar mentari tidak dapat
menembusinya, menjadikan suasana sedikit gelap. Darah dari pahlawan yang gugur
membasahi bumi.
Setelah
lama berperang, maka keputusan berpihak kepada Artabazus. Mereka memenangi
perperangan tersebut. Tidak lama kemudian, sekali lagi bala tentera Raja Darab
tiba untuk mematahkan pemberontakan tersebut. Peperangan yang dasyat berulang.
Akhirnya, sekali lagi kemenangan berpihak kepada Artabazus. Kemenangan disambut
dengan keraian yang sangat meriah.
Tetapi,
ibarat kata orang – orang tua, langit tak selalu cerah. Akhirnya, atas arahan
Raja Darab, pemberontakan mereka berjaya dipatahkan Autophradates dan askarnya.
Di
dalam pergelutan untuk melepaskan diri itu,
“Ayahanda!
Anakanda tak boleh meninggalkan ayahanda di sini. Mari kita berundur terlebih
dahulu, kita kumpulkan kembali kekuatan dan buat perancangan baru!” jerit
Mentor kepada bapa mertuanya.
“Usah
risaukan ayahanda. Bawa isterimu, Barsine, serta adinda mu, Memnon, berundur
dari sini. Ayahanda akan bertahan sementara kamu semua berundur.
“Tapi
ayahanda….” ucap Mentor yang ragu – ragu.
“Ini
adalah arahan! Tiada tapi – tapi. Pergi dari sini!” gertak Artabazus.
Tanpa
melengahkan masa, mereka semua dengan segera beredar dari situ, meninggalkan
Artabazus yang bertahan di hadapan. Dari kejauhan, kelihatan Artabazus
menghayun – hayunkan pedangnya bagi menetak musuh yang mencabarnya. Sekali
sekala, beliau menahan tetakan pedang musuh dengan perisainya. Akhirnya, beliau
berjaya dijatuhkan oleh Autophradates yang tiba – tiba meluru k earah beliau
dengan pantas. Pedang Autophradates yang bersinar diacukan keleher, membuatkan
beliau menyerah kalah. Kemudian, Artabazus dibangunkan dan dibawa pergi dari
situ sebagai tawanan. Barsine menangis teresak – esak dan cuba untuk berlari ke
arah ayahnya, tetapi dihalang oleh suaminya, Mentor. Mereka berlalu dari situ
dengan perasaan yang sangat kecewa.
“Setinggi
– tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” Autophradates berkata
kepada Artabazus.
“Engkau
memang pengkhianat bangsa! Tuih!” jerit Artabazus sambil meludah ke arah
Autophradates.
“Aku
hanya menjalankan tugasku sebagai seorang Jeneral kepada Raja Darab, aku bukan
pengkhianat!” tegas Autophradates.
“Darah
yang mengalir di dalam tubuh badanmu itu merupakan darah orang Yunani. Tidak
malukah engkau kepada nenek moyangmu nanti? Apa yang kamu ingin katakan jika
berjumpa dengan mereka di alam barzakh nanti?” ugut Artabazus.
“Aku….”
kelihatan Autophradates sedikit tersentak dengan kata – kata Artabazus.
“Aku
dengan bangganya menangkap dan mencabut nyawa bangsaku yang berusaha untuk
membebaskan diri dari penjajah Parsi? Aku dengan sepuas hati menghirup darah
bangsaku sendiri. Aku bangga berkhidmat dengan Raja Darab, si raja Parsi itu?
Berani kamu katakan sedemikian di hadapan nenek moyang mu?” gertak Artabazus
lagi.
“Aku
tegaskan, aku hanya menjalankan tanggung jawab aku!” herdik Autophradates
kepada Artabazus, lalu menghentak tengkuknya dengan hulu pedang. Artabazus terjelepuk
jatuh ke tanah lalu pengsan.
Malam
itu, suasana agak tenang. Bulan bersinar dengan gemilangnya. Bintang – bintang
bertaburan. Askar – askar semua telah tidur, mungkin akibat keletihan, cuma dua
tiga orang sahaja yang masih bangun untuk berkawal di sekitar kem.
Autophradates
membelek belek pedangnya yang tajam itu. Beliau seolah – olah mengira sesuatu.
Kemudian, beliau termagu seperti ayam berak kapur. Tidak lama selepas itu,
beliau menghela nafas panjang, bangun, capai botol yang berisi air, lalu berlalu
ke suatu khemah. Ada dua orang menjaga pintu khemah itu, dan beberapa lagi
berlegar – legar di luar. Ketat sungguh kawalan khemah tersebut. Setelah
melihat Autophradates, pengawal yang mengawal pintu khemah mempersilakannya
masuk. Beliau bergegas masuk, dan mencampakkan botol berisi air itu kepada
orang yang terikat di tiang, di tengah khemah.
“Minum
air ni orang tua bodoh!” gertak Autophradates.
Orang
tersebut tidak lain dan tidak bukan, Artabazus. Beliau kelihatan tidak terurus.
Mukanya kotor dan hitam, penuh dengan debu tanah. Bajunya berkumal, koyak, dan
masih ada kesan darah.
“Bagaimana
aku mahu minum? Tanganku masih terikat di tiang ini,” Artabazus memerli
Autophradates.
Autophradates
kemudian menghampiri Artabazus, lalu membuka ikatan yang mengikatnya. Artabazus
dengan pantas mengambil botol air tersebut dan minum.
“Kenapa
baik benar hatimu melepaskan aku dan memberiku air? Tidak takutkah aku
melarikan diri?” ujar Artabazus.
“Aku
yakin, dengan kawalan di sekitar ini, dan tubuhmu yang tidak bermaya, mana
mungkin engkau akan melarikan diri,” jawab Autophradates.
“Habis
itu, apa yang engkau mahukan dariku?” tanya Artabazus.
“Aku
terkesan dengan kata – kata yang kamu lemparkan semasa aku menangkapmu tempoh
hari. Aku tidak mahu nenek moyangku berasa terhina dengan diriku ini. Pedangku
telah banyak membunuh bangsaku sendiri. Kata – katamu benar wahai orang tua,”
jawab Autophradates sambil menitiskan air mata.
“Tujuan
aku kemari, untuk melepaskan engkau. Sekarang, ambil pedang ini, dan pergi
engkau dari sini. Tidak jauh dari sini, ada hutan, selepas engkau keluar dari
khemah ini, berlarilah engkau ke sana. Dalam suasana yang gelap, belum tentu
orang – orangku akan melarikan diri,” cadang Autophradates.
“Engkau
jangan jadi bodoh. Raja Darab akan menghukum kamu nanti. Kamu akan mati. Oleh
itu, ikutlah aku lari dari sini, kita sama – sama berjuang menentang Raja
Darab,” tawar Artabazus.
Setelah
berfikir panjang, Autophradates bersetuju dan keluar dari situ. Oleh kerana
terkejut dengan Autophradates yang menyerang pengawal pintu khemah, pengawal
yang lain terpaku seperti patung. Dengan pantas, Autophradates dan Artabazus melarikan diri ke arah hutan yang
berdekatan dengan khemah tadi.
Setelah
beberapa hari berjalan, maka tibalah mereka berdua di suatu kawasan
perkhemahan. Melihatkan cara orang – orang di situ berpakaian, mereka adalah
askar yunani. Di celah celah askar tersebut, kelihatan Barsine yang sedang
membawa pakaian yang baru dibasuh di sungai yang berdekatan.
“Barsine!
Barsine! Anakandaku, Barsine!” jerit Artabazus.
Barsine
terkejut kerana beliau sangat mengenali suara itu. Manakan tidak, suara itulah
yang menemainya sejak dari dia mula – mula lahir ke dunia ini, sehinggalah
dewasa. Barsine menoleh ke arah suara itu, dan menitiskan air matanya. Bakul
pakaian yang dibawanya terlepas ke tanah, dan beliau terus lari mendakap
ayahnya.
Kemudian,
Mentor keluar dari khemahnya untuk melihat apa yang berlaku diikuti oleh
Memnon. Mereka bergegas mendapatkan Artabazus dan memeriksa kalau kalau ada
kecederaan parah di tubuh badan Artabazus. Memnon menghunuskan pedangnya
apabila beliau terlihat Autophradates di belakang Artabazus, namun Artabazus
menghalangnya dari berbuat demikian, lantas menceritakan apa yang berlaku dan
bagaimana Autophradates membantunya melarikan diri. Mereka bersorak keriangan
dan malam itu diadakan keraian bagi meyambut Artabazus yang berjaya pulang.
Pagi
itu, mereka semua meneruskan perjalanan ke Pella, ibu kota Macedonia bagi
mendapatkan pelindungan. Sejurus tiba di
Pella, mereka bergegas ke istana raja bagi menemui Raja Failakus dan serjana
terkenal, Aristotle. Atas nasihat Aristotle, Raja Failakus bersetuju untuk
mereka tinggal dan mendapatkan perlindungan di Pella. Kebetulan, Failakus
sendiri telah menubuhkan Liga Corinth dan dilantik menjadi Pemerintah Agung.
Liga ini terdiri dari negeri – negeri Yunani yang bergabung untuk menyerang
empayar Parsi. Oleh itu, mereka merupakan asset penting bagi Failakus.
Tidak
lama kemudian, apabila keadaan kembali reda dari pemberontakan besar besaran wilayah
Parsi, Mentor pulang ke empayar Parsi dan berjaya memujuk Raja Darab untuk
memberikan keampunan, dan berjanji akan berkhidmat dengan taat setia. Walaupun
Raja Darab berasa sedikit ragu – ragu dengan Mentor, tapi diterimanya juga,
tetapi dengan syarat bagi membuktikan kesetiaannya, beliau mestilah berjaya
menawan kembali kerajaan Mesir yang diperintah oleh Firaun Nectanebo II. Mesir
ketika itu telah berjaya merdeka selama 60 tahun. Maka dikumpullah segala bala
tentera Parsi, dan dilanggarlah Mesir. Dalam misi ini, Mentor yang
berpengalaman mengetuai askarnya dalam beberapa peperangan, telah berjaya
menjatuhkan Firaun Nectabo II, dan merampas Mesir dan dijadikannya sebagai
sebahagian dari empayar Parsi.
“Kamu
memang handal wahai Mentor. Patutlah beta dan bala tentera beta tidak berjaya
mematahkan pemberontakan kamu dahulu,” puji Raja Darab kepada Mentor.
“Ampun
tuanku. Tiada apa yang hebat pada patik, tuanku. Patik hanya setia menjalankan
perintah tuanku,” jelas Mentor.
“Apakah
yang kamu mahukan sebagai tanda penghargaan dari beta?” tawar Raja Darab.
Mentor
berfikir sejenak. Mukanya berkerut, dan akhirnya tersenyum.
“Tiada
apa yang patik mahukan. Kalau ada pun, mungkin agak sukar untuk tuanku
perkenankan,” ucap Mentor kepada Raja Darab.
“Tidak
mengapa, katakan. Beta akan cuba perkenankan sebaik baiknya,” titah Raja Darab.
“Begini
tuanku. Patik rindukan saudara – saudara patik tuanku. Jika tidak keberatan
kepada tuanku, patik ingin memohon tuanku mengampunkan ayahanda mertua patik,
Artabazus, isteri patik, Barsine, serta adinda patik, Menmon. Patik rasa,
mereka akan menjadi aset tuanku yang terbaik suatu hari nanti apabila
diperlukan,” pinta Mentor kepada Raja Darab.
“Baiklah,
jika itu yang kamu mahukan, beta sudi mengampunkan mereka semua,” titah Raja
Darab.
Dengan
titah yang diberikan, maka pulanglah mereka semua ke Parsi. Telahan Mentor
ternyata benar. Dengan pulangnya mereka semua, maka terbongkarlah segala
maklumat sulit mengenai perancangan Raja Failakus beserta Liga Corinth untuk
melanggar empayar Parsi. Raja Darab tanpa membuang masa, segera mempersiapkan
bala tentera untuk menghadapi Liga Corinth yang diketuai oleh Raja Failakus.
Tidak
lama selepas peristiwa itu, Mentor pun menghembuskan nafasnya yang terakhir,
dan tempatnya diganti oleh adindanya, Memnon, yang mewarisi sebahagian dari
tanah di Troad. Tetapi malangnya, beliau tidak dapat mewarisi jawatan abangnya
selaku Penglima Agung. Raja Darab, mahupun, anaknya Raja Arses dan Raja Dara,
berani memberikan jawatan tersebut kepada beliau, membuatkannya sedikit
terkilan. Ini kerana, beliau sebelum ini telah memberontak dan kesetiaannya
masih diragui.
4
tahun kemudian, bermulalah kempen Raja Failakus dan Liga Corinth untuk
melanggar empayar Parsi di bawah penguasaan Raja Dara. Pada ketika itu, Raja
Dara baru sahaja menaiki takhta, menggantikan kakandanya, Raja Arses yang
memerintah selama 2 tahun. Pada ketika itu, bala tentera Raja Failakus diketuai
oleh Jeneral Parmenion, satu – satunya orang kepercayaan baginda.
Raja
Dara menyediakan angakatan laut yang besar untuk menghadapi serangan dari
Yunani. Tidak cukup dengan itu, baginda juga menyediakan 5000 orang askar
upahan, dan semua ini diketuai oleh Memnon.
“Ini
merupakan tugasku yang pertama. Jika aku menang, aku akan berjaya menawan hati
Raja Dara,” bisik hari Memnon.
Mereka
kemudiannya berarak menuju ke Cyzicus, sebuah bandar di wilayah Msia, barat
laut Asia Minor (Anatolia, Turki ketika ini). Memnon berjaya membuktikan
kekuatan dan kepintarannya, dan berjaya menawan bandar dan mendapat banyak
harta rampasan perang. Tetapi, kempen ini tidak berakhir begitu sahaja, Jeneral
Pamenion dengan pantas menawan bandar Grynium, salah sebuah bandar yang di
wilayah Aeolis, Asia Minor, dan menjual semua penduduknya sebagai hamba abdi.
Selepas
itu, Jeneral Parmenion bergerak menuju ke bandar Pitane di wilayah yang sama
dan mengepungnya. Semasa mengepung bandar itu, sesuatu yang tidak diduga berlaku. Seorang askar peninjau
tergesa – gesa menghadap Jeneral Pamenion.
“Jeneral,
hamba ada berita tergempar untuk disampaikan ni,” kata askar tersebut tercungap
– cungap.
“Apa
dia, katakan kepadaku cepat,” Jeneral Pamenion kelihatan sedikit gementar
melihatkan perilaku askar peninjau tersebut.
“Dihujung
sana, hamba terlihat segerombolan askar yang besar sedang menghampiri kita.
Dari cara berpakaian, mereka seperti askar Parsi,” lapor askar tersebut.
“Itu
sudah pasti si Memnon dan askarnya, tak guna! Kerahkan askar kita semua untuk
menghentikan kepungan, perintahkan semua berundur,” arah Jeneral Parmenion.
Maka
berundurlah askar Parmenion. Ini kerana, bilangan askarnya yang sedikit dan
belum mendapat askar bantuan, membuatkan mereka sukar untuk berperang secara
berhadapan dengan Memnon. Kemudian, mereka menuju ke Troad. Di sini, mereka
dibantu oleh Calas dan askarnya untuk menghadapi askar Memnon yang lebih besar.
Tetapi, ia tidak berjaya, dan mereka terpaksa berundur ke Rhoeteium.
Hakikatnya, kegagalan ini semua sebenarnya berpunca dari kemangkatan Raja
Failakus yang dibunuh, dan digantikan oleh anaknya, Raja Iskandar. Ketika itu,
Raja Iskandar tidak mampu untuk membantu Parmenion menghadapai bala tentera
empayar Parsi kerana sibuk dengan kempen mematahkan pemberontakan di wilayah
utara Macedonia.
Setahun
kemudian, selepas berjaya menundukkan pemberontakan di wilayah utara Macedonia,
Raja Iskandar memulakan kempennya untuk menundukkan empayar Parsi.
“Kali
ini, kita bukan lagi menghadapi Parmenion, tetapi kita akan menghadapi Raja
Iskandar yang lebih besar jumlahnya,” kata seorang menteri di balai
penghadapan.
“Jeneral Memnon, kamu pernah berhadapan dengan
tentera Yunani, bagitahu beta, jika kamu akan berhadapan dengan Raja Iskandar,
apa yang kamu akan lakukan?” tanya Raja Dara.
“Ampun
tuanku. Pada telahan patik, patik melihat yang Raja Dara tidak membawa bekalan
yang mencukupi. Oleh itu, semasa mereka dalam perjalanan ke sini, lebih baik
kiranya kita serang ibukota Macedonia melalui laut, kita hancurkan dan bakar
semua punca bekalannya. Semua jenis tanaman seperti barli, gandum, dan lain –
lain, binatang ternak, semua kita bakar dan hancurkan. Ini akan memaksa untuk
Raja Iskandar untuk pulang kembali ke ibukotanya,” cadang Jeneral Memnon.
“Baik
sungguh perancangan kamu wahai Memnon. Baiklah kita ikut cadangan Memnon,”
titah Raja Dara.
“Tunggu
dulu tuanku, patik ada cadangan yang lebih baik. Apa kata kita berkubu di
tebing sungai Granicus. Jika Raja Iskandar ingin membebaskan kota – kota Yunani
seperti Ephesus dan Miletus di selatan, kita boleh serang hendap mereka dari
belakang. Jika tidak, jika mereka bergerak kea rah timur, patik rasa kedudukan
kita ini merupakan satu kelebihan. Kita boleh bertahan dengan asakan mereka,
tuanku,” cadang seorang panglima yang lain.
“Ha,
ini bagus. Dua dalam satu. Baiklah, Jeneral Memnon, kamu ikut cadangan ini.
Bawa sekali 10,000 askar berkuda, dan 5000 infantri,” titah Raja Dara.
Walaupun
dia sedikit kecewa, tetapi diikut jualah titah perintah Raja Dara untuk
berperang dengan Raja Iskandar secara berhadapan di sungai Granicus. Setelah
Raja Iskandar bersama 32,000 infantri dan 5,100 askar berkuda berjaya
menyeberangi bandar Hellespont, baginda terus menuju ke utara untuk berhadapan
dengan Jeneral Memnon dan bala tenteranya.
Apabila
Raja Iskandar dan bala tenteranya tiba di medan perang, waktu ketika itu sudah
petang. Kelihatan matahari hampir melabuhkan tirainya. Warna merah menyelubungi
angkasa akibat biasan cahaya matahari senja.
“Ampun
tuanku, hari sudahpun senja. Patik rasa, eloklah kita berehat mala mini, dan
menyeberangi sungai Granicus pada subuh esok,” kata Jeneral Parmenion.
“Itu
tidak bagus. Mereka akan bersedia untuk menghadapi kita. Beta arahkan untuk
menyerang mereka sekarang juga!” titah Raja Iskandar.
“Askar
– askarku semua, bentuk formasi. Phalanx, kamu duduk di tengah. Askar berkuda,
duduk di kiri dan kanan. Beta dan Companion akan berada di sayap kanan! Ini
pertempuran demi membebaskan Yunani dari tangan penjajah Parsi! Aku akan
mengetuimu! Nenek moyang kamu semua akan berbangga dengan kamu! Mari, libas
mereka dengan pedang pedang kita!” jerit Raja Iskandar memberikan arahan, dan
disambut dengan teriakan peperangan yang sangat menggerunkan.
“Tidak
ku sangka, yang Raja Iskandar akan menyerang hari ini juga. Panglima, kamu
lihat kedudukan Raja Iskandar di sebelah sayap kanan? Aku pasti yang serangan
akan tertumpu dari sana, kerahkan semua askar supaya kea rah sana,” perintah
Jeneral Memnon.
Pertempuran
bermula. Ptolemy yang mengetuai askar berkuda dan infantri ringan, berpura –
pura untuk menyerang sisi kanan tentera Parsi.
“Perkukuhkan
kedudukan sebelah kanan, mereka ingin mula menyerang dari sisi itu,” arah
Jeneral Memnon.
Maka
berpusulah tentera Parsi ke kanan untuk menguatkan kedudukan mereka di sana.
Mereka berjaya menghalang kemaraan pasukan Ptolemy.
“Helahku
berjaya, kamu sudah tertipu wahai Memnon,” bisik Raja Iskandar dalam hatinya.
“Serang!”
titah Raja Iskandar kepada Companionnya.
Dengan
formasi klasik baji, Raja Iskandar dan para Companion menyerang di tengah –
tengah pasukan tentera Parsi. Hasilnya, walaupun Jeneral Memnon mengarahkan
supaya para askar diraja berkuda untuk mengatasi serangan Raja Iskandar, ramai
yang telah terbunuh di tangan baginda dan para Companion.
“Ini
peluang aku, mati kau Raja Iskandar!” jerit seorang askar diraja Parsi,
Rhoisakes.
Hayunan
kapak Rhoisakes telah mengenai kepala Raja Iskandar, membuatkannya menjadi
pening dan separa sedar. Keadan itu dilihat oleh Spithridates, juga seorang
askar diraja. Dengan pantas, beliau menyerang Raja Iskandar dari belakang.
“Tuanku,
belakang tuanku!” jerit Cleitus the Black.
Dalam
penglihatan Raja Iskandar yang samar – samar, kelihatan Cleitus mempertahankan
beginda sehingga terputus lengannya. Walau bagaimanapun, Spithridates berjaya
dibunuh. Baginda kembali sedar dan kembali mengasak tentera lawan.
Dalam
pada itu, kelihatan ruang yang ditinggalkan oleh tentera Parsi di bahagian
tengah. Raja Iskandar dengan segera mengarahkan infantrinya menyerang infantri
Parsi di bahagian belakang yang nampak gayanya seperti tidak dilengkapi dengan
peralatan yang cukup.
“Phalanx,
serang tentera upahan Yunani milik Parsi!” Raja Iskandar mengeluarkan arahan.
Akibatnya,
pada hari itu, tentera Parsi yang diketuai Jeneral Memnon kalah teruk, dan
mereka terpaksa berundur. Jeneral Memnon kembali ke Parsi dengan kecewa dan
marah.
“Sudah
patik katakan, yang ini merupakan perancangan yang bodoh! 1,000 askar berkuda
dan 3000 infantri kita telah mati. 9,000 askar upahan milik patik dibunuh, dan
8,000 menjadi hamba dan dihantar ke Macedonia!” jerit Jeneral Memnon di balai
penghadapan.
Semua
yang hadir terdiam, termasuklah Raja Dara sendiri. Muka Jeneral Memnon merah
padam menahan marah. Matanya tajam memandang seorang demi seorang hadirin di
dalam balai penghadapan. Seperti mahu dimakannya mereka semua.
“Andai
kata kita menyerang ibukota Macedonia dari laut, kita sudah memperoleh
kemenangan! Ikut sangat kata panglima bodoh itu! Nasib baik aku masih hidup!”
tempelak Jeneral Memnon sambil menundingkan jarinya kepada panglima itu.
“Sudahlah
wahai Jeneral Memnon. Beta akui yang ini merupakan kesilapan beta. Maafkan beta
atas khilaf ini. Beta izinkan, pergilah kamu kumpul segala bala tentera dan
angkatan laut, belayarlah kamu ke laut Aegean,” titah Raja Dara.
Jeneral
Memnon berlalu dari situ dan keluar dari balai penghadapan dengan perasaan
marah yang meluap – luap, sambil mulutnya berkumat kamit seperti mencaci
sesuatu.
Di
laut Aegean, segala galanya telah terlambat. Raja Iskandar telahpun menawan
Miletus tiga hari yang lalu. Kekecewaan Jeneral Memnon kembali berulang.
“Segalanya
telah terlambat, cetusnya. Cuma tinggal pengakalan laut Halicarnassus milik
Parsi yang belum ditawan oleh Raja Iskandar,” cetus hati Jeneral Memnon.
Maka,
dipertahankan jualah dengan sepenuh tenaga, sepenuh hati, supaya ia tidak jatuh
ke tangan Raja Iskandar. Akhirnya, setelah sekian lama bertahan, Jeneral Memnon
telah berjaya keluar dari bandar pengkalan itu dengan selamat, walaupun ia
ditawan musuh.
“Halicarnassus
ini telah memakan banyak masa dan tenaga, beta perlukan masa untuk mendapatkan
bekalan dan tambahan askar,” bisik hati Raja Iskandar.
Masa
yang diperlukan itu dimanfaatkan oleh Jeneral Memnon untuk menguatkuasakan
perancangannya selama ni. Serang Hellespont, putuskan sumber bekalan Raja
Iskandar, hancurkan mereka. Dia sudahpun mendapatkan bantuan Spartan melalui
pemerintahnya, Raja Agis III. Kapal perang Phoenicia, Cypriot, Mesir, sudah pun
disediakan, hanya tinggal masa untuk menyerang Hellespont. Raja Iskandar akan
kalah. Baginda terpaksa kembali ke Macedonia jika ini berlaku, dan Parsi akan
selamat.
“Ampun
tuanku. Patik ada membawa perkhabaran untuk tuanku,” hadap seorang askar kepada
Raja Iskandar.
“Gembira
benar nampaknya kamu. Berita gembirakah itu?” soal Raja Iskandar.
“Ya
tuanku. Perkhabarannya adalah, Jeneral Memnon telah meninggal dunia ketika
hendak menawan Mytilene, tuanku,” sampai askar tersebut.
“Betul? Syukur kepada
tuhan. Jeneral Memnon memeningkan kepala beta. Beliau seorang seteru yang
sangat hebat. Jika beliau masih hidup, ekspedisi beta untuk ke negara terbitnya
matahari, akan musnah,” ucap Raja Iskandar dengan perasaan yang lega.
Comments
Post a Comment