NOVEL PERANG SUNGAI HYDHASPHES

PENDAHULUAN
Adapun hikayatnya, yang ditulis di dalam kitab-kitab lama purbakala, oleh para penglipur lara, mahupun para pencatat sejarah, akan pengembaraan Raja Iskandar yang begitu kelam identitinya, dek akibat perselisihan pendapat para ilmuan yang cerdik pandai, menimbulkan segala macam misteri.
Ada yang mengatakan, dialah Zulkarnain yang disebutkan Allah SWT di dalam surah Al-Kahfi, iaitu Pemilik Dua Tanduk maksud namanya. Yang mengembara sehingga ke negara matahari terbit, yang juga membina tembok penghalang antara kaum Ya’juj Ma’juj. Adapula yang menidakkan kerana Raja Iskandar, anak Raja Failakus, yang lahirnya dari negara Macedonia, Rum seperti yang ditulis di dalam hikayat melayu juga adanya mahupun hikayat Parsi, identitinya tidak melihatkan yang dia menerima Tauhid Allah SWT, dek akibat hikayatnya yang ditulis oleh para penglipur lara negara barat, begitu gelap sekali penceritaannya. Ada seperti yang dongengan, ada yang ditulis menurut hawa nafsu. Ini semua akibat suasana kehidupan semasa yang hidupnya orang ketika itu, penuh dengan hawa nafsu semata-mata. Apapun kiranya, hikayat ini ditulis berlandaskan penceritaan semua para ilmuan, pencatat sejarah, dan juga sang penglipur lara, tidak kira dari Barat mahupun Timur, bagi menjadi pedoman, kepada para pembaca jua kiranya.
Sang Penglipur Lara Kerdil,
19 Ramadhan 1438 Hijrah












BAB 1: BERMULANYA SEBUAH HIKAYAT EPIK
Di dalam kegelapan malam yang pekat, dilihatnya langit yang sebentar tadi diterangi cahaya rembulan yang gemilang, kini, semakin kehilangan cahayanya apabila awan hitam mula menutupi sang rembulan. Bukit bukau yang tadi kelihatan gah akibat disinari cahaya rembulan, kini menjadi suram. Angin yang sepoi-sepoi bahasa, kini mula meluncur laju. Pokok-pokok ru yang tumbuh meliar disekitar sungai Hydasphes yang sebentar tadi melambai-lambai dengan tenang, kini meliuk-liuk ganas. Angin yang menerpa kuat tadi membuatkan daun-daun serta rumput berterbangan.
Susana yang tenang dan damai tadi, bertukar menjadi kelam kabut dalam sekelip mata. Kadang kala, suasana dibingitkan dengan dentuman petir dan kilat yang sabung menyabung. Kelihatan, segelintir askar duduk di sekitar unggun api, yang tadi rancak berbual-bual dengan rakan seperjuangannya yang lain, menyelimutkan diri dengan kain mentalnya akibat kesejukan. Perbualan mereka terhenti kerana terjahan angin yang kuat tadi. Suasana perkemahan tadi yang penuh dengan gelak ketawa, kini menjadi hingar bingar kerana ada khemah yang tercabut pasaknya dan hampir diterbangkan angin yang ganas. Ada yang berusaha membetulkan khemahnya, dan ada pula masuk ke dalam khemah bagi mendapatkan perlindungan.
“Pegang khemah ni kuat-kuat! Jangan kamu lepaskan, atau kamu semua akan tidur beralaskan rumput, beratapkan langit!” jerit seorang askar yang agak berumur, mungkin dia antara ketua unit yang dilantik oleh raja, untuk mengepalai unitnya.
“Tuan, pasak khemah dihadapan telah tercabut! Jika dibiarkan, khemah ini akan terbang mengenai unggun api!” jerit salah seorang askar yang bersusaha keras memegang khemahnya daripada terbang ditiup angin.
“Kau yang di sana, usah tercegat sahaja, pergi padamkan api-api unggun tu, arahkan juga supaya yang lain dipadam, bagi mengelakkan apinya membakar khemah-khemah di sini!” jerit ketuanya memberikan arahan.
“Baik tuan!” jerit askar yang dari tadi tergamam akibat perubahan cuaca yang sekelip mata itu.
“Engkau pegang khemah ini kuat-kuat, aku nak betulkan kembali pasak khemah yang tercabut tadi!” jerit ketua tadi kepada askar yang ternampak pasak khemah dihadapannya tercabut.
Beliau kemudian berlari mendapatkan peralatan bagi membetulkan kembali pasak khemah yang tercabut itu. Kelihatan askar yang tergamam tadi memberikan arahan bersungguh-sungguh supaya memadamkan unggun-unggun api di sekitar perkhemahan tersebut.
Setelah ribut pendek yang menerpa tadi reda, kelihatan kawasan perkhemahan tadi menjadi sunyi sepi. Api yang marak yang menemani para askar, kini hanya tinggal bara api sahaja. Hanya tinggal beberapa orang askar yang masih setia mengawal kawasan perkhemahan. Melihatkan rakan seperjuangan yang telah lena diulit mimpi, askar yang berkawal tadi ada yang menguap menahan mata yang mengantuk. Tetapi demi tanggungjawab menjaga keselamatan, ditahan juga matanya dari terpejam.
“Engkau rasa, adakah tindakan raja kita untuk berperang dengan bangsa ini betul, atau ia satu kesilapan besar?” kata seorang pengawal yang tadi matanya berkelip-kelip menahan matanya yang mengantuk. Pertanyaan ini mungkin bagi mengelakkan dia dari tertidur.
“Engkau ni, kalau di dengar oleh ketua kita, habis kita di hukumnya. Sudah berapa lama engkau mengikuti peperangan dengan raja kita? Adakah semua yang dirancangnya sia-sia? Walhal Parsi yang gah itu juga berjaya ditundukkan, apatah lagi bangsa ini. Sudahlah, jangan dibangkitkan isu ini lagi!” herdik kawannya. Askar yang bertanya tadi terus terdiam memikirkan kata-kata kawannya tadi.
“Hah, apa yang kamu bualkan ni?” tiba-tiba ada suara datang dari belakang pengawal itu tadi, membuatkan mereka menjadi terkejut dan pucat.
“Habislah aku, aku sepatutnya menoleh kiri dan kanan dahulu sebelum bertanya soalan itu tadi,” bisik askar tadi.
Perlahan-lahan dia menolehkan kepalanya kebelakang untuk melihat siapakah gerangan yang menyapa mereka.
“Oh, tuan Aristotle,” askar tadi menarik nafas hela kerana orang yang menyapa mereka bukanlah ketua mereka.
Aristotle merupakan sarjana dan ahli falsafah yang unggul ketika zaman itu, malah menjadi guru kepada rajanya.
“Wahai tuan Aristotle yang bijaksana, kami hanya berbual kosong, bagi mengelakkan dari kami tertidur,” ujar askar tadi.
“Usah kamu menipu. Aku tahu benar yang kamu sedang gusar mengenai kempen peperangan dengan bangsa Hindi kali ini bukan? Malah kamu meragui raja kamu, betul?” tanya Aristotle. Askar tadi terpaku dengan pertanyaan itu tadi. Mereka hanya mendiamkan diri.
“Ketahuilah bahawa raja kamu itu bukan sebarang raja, beliau anak kepada raja Failakus, raja sekalian Macedonia. Beliau telah dilatih untuk menjadi pemimpin. Kepimpinannya terbukti apabila beliau berjaya menundukkan negara-negara sekitarnya. Malah Parsi sendiri tunduk kepadanya,” terang Aristotle kepada askar tadi. Askar itu mengangguk faham.
Tiba-tiba, pandangannya teralih kepada satu tempat yang lain. Beliau mengamati tempat itu, seolah-oleh sedang memerhatikan sesuatu yang mencurigakan. Beliau kemudian tersenyum, seperti puas. Pada pandangan Aristotle, jauh dari perkhemahan para askar, kelihatan satu susuk tubuh yang kekar, yang mengenakan pakaian yang berbeza dengan para askar yang lain. Pakaiannya menunjukkan yang beliau bukan dari sebarangan orang. Ia pakaian para bangsawan dan raja-raja ketika itu. Kain mentalnya yang merah menyala menampakkan lagi tanda kegagahannya. Terlihat kain mantel itu sekejap berterbangan ganas akibat tiupan angin, sekejap menyelimuti badan tuan sipemakainya.
Sungguhpun suasana yang terjadi tadi menimbulkan sedikit kekecohan, tetapi, semenjak dari tadi, siempunya diri, Raja Iskandar, anak Raja Failakus, pemerintah sekalian Mecedonia, hanya diam seribu bahasa, tidak mengucapkan walaupun sepatah perkataan. Malah berdiri gagah ibarat sang gajah, walaupun diterpa angin kuat. Beliau hanya berdiam diri dan merenung tajam ke arah tebing hilir sungai Hydasphes. Di tengah-tengah sungai itu, dipisahkan oleh sebuah pulau kecil yang semulajadi. Dihikayatkan bahawa, sungai Hydasphes ini yang kini namanya digelar orang sungai Jhelum, yang mana ia mengalir dari sungai Indus, terletaknya di wilayah Punjab, Pakistan. Sungai yang berkepanjangan 450 batu ini, pada musim panas, airnya sangat tenang dan agak cetek, tetapi tidak pula ketika musim ribut monsun. Ia menjadi sebaliknya. Deras dan menggerunkan.
Riak muka Raja Iskandar sekejap tenang, sekejap berkerut, dan kadang-kadang seperti di dalam dilema. Beliau seolah-olah memikirkan sesuatu yang agak kritikal. Mungkin beliau sedang merancang sesuatu seperti biasa yang beliau lakukan ketika di dalam peperangan.
Kini, sudah dua bulan Raja Iskandar menjalankan helah untuk mengelirukan Raja Porus, seorang raja besar, pemerintah kerajaan Pauravas,  yang enggan tunduk kepada beliau. Kerajaan Pauravas terbentang dari Sungai Hydaspes, sehingga ke sungai Acesines. Seluruh India, merasakan yang hanya beliaulah yang mampu menandingi Raja Iskandar, dan atas nasihat Chanakya, seorang guru, ahli ekonomi dan falsafah, juga juri, adalah seorang yang bercita-cita untuk menghapuskan penjajah yang menjajah India. Chanakya ini merupakan penasihat kepada Raja Kida Hindi sebelum ini. Beliau melarikan diri selepas beliau tidak berpuas hati dengan Raja Kida Hindi yang menerima Raja Iskandar dan menjadikan beliau sahabat.
Atas nasihat Chanakya, Raja Porus mengarahkan bala tenteranya yang berjumlah 5 kali ganda dari jumlah  bala tentera Raja Iskandar beserta 200 ekor gajah untuk menanti kehadiran mereka beserta bala tenteranya, di tebing tengah-tengah sungai Hydaspes. Baginda merasakan begitu yakin, baginda boleh berjaya di dalam peperangan ini. Masakan tidak, bala tentera Raja Iskandar perlu menyeberangi sungai Hydaspes yang mengganas dalam musim ribut monsun. Tambahan lagi, dengan berbekalkan jumlah bala tenteranya yang lebih ramai dari pihak musuh, sudah tentu mereka akan menang .
Air agak dalam ketika itu, malah ia mengalir deras. Ada suatu ketika, kayu pokok ru yang tumbuh meliar, hanyut di dalam arus deras. Ini menyukarkan lagi keadaan, memberikan halangan kepada Raja Iskandar untuk menyeberangi sungai tersebut. Bila mana bala tentera Raja Iskandar berjaya menyeberangi sungai itu, apa yang Raja Dara perlu lakukan, hanyalah menyerang tentera musuhnya itu yang dalam kecelaruan dan kepenatan dan kejayaan berada di dalam genggaman tangan. Bagindatersenyum sinis.
“Engkau mahu melanggar kerajaan aku? Kalau dengan Raja Kida Hindi yang pengecut itu bolehlah engkau mempermainkannya. Tetapi bukan dengan aku! Hahaha!” bisik hatinya lalu ketawa.
“Ampun tuanku, apa yang tuanku ketawakan?” Chanakya tiba-tiba muncul.
“Oh, kamu rupanya wahai Chanakya yang bijaksana. Beta fikirkan siapa tadi. Jika orang lain, sudah lama beta jatuh hukum. Berani-berani sahaja mengganggu beta ketika ini,” ujar Raja Porus.
“Ampunkan patik sekali lagi tuanku. Patik tidak bermaksud untuk mengganggu tuanku. Cuma patik….”
“Cuma apa?” herdik Raja Porus.
“Tidak tuanku, cuma, apakah tuanku sudah bersedia untuk menghadapi Raja Iskandar?” tanya Chanakya untuk mendapatkan kepastian.
“Jika kamu lihat dihadapan kamu ini, atas nasihat kamu, adakah kamu nampak beta tidak bersedia? Soalan apakah itu? Bukankah ini semua apa yang kamu mahukan? Kamu rasakan hanya beta yang mampu menandingi beliau bukan?” tanya Raja Porus.
Chanakya mendiamkan diri, lalu tersenyum. Maka benarlah telahannya, hanya Raja Porus yang mampu utuk mengalahkan Raja Iskandar dan mengusirnya keluar dari India. Tetapi, apa yang beliau gagal fahami, bahawasanya, Raja Iskandar bukan seorang yang boleh dipandang enteng. Peperangan demi peperangan telah beliau lalui, dan beliau tidak pernah terkalah. Kerajaan Parsi yang berdiri megah dan gagah yang dipimpin oleh Raja Dara pun telah hancur dilanggarnya. Beliaulah raja Parsi sekarang, menggantikan Raja Dara yang telah dibunuh oleh dua panglima perangnya yang mengkhianatinya.
Ketika Chanakya mengundurkan diri dan berjalan pulang ke khemahnya, beliau teringat akan kisahnya semasa menjadi penasihat kepada Raja Kida Hindi. Beliau yang wajahnya tadi tersenyum, bertukar menjadi masam mencuka. Beliau teringat akan tindakan Raja Kida Hindi yang pengecut, membiarkan Raja Iskandar menduduki wilayah Takhshasila.  Berita tentang kekuatan Raja Iskandar dan tunduknya Raja Dara dari Parsi, telah sedia maklum oleh Raja Kida Hindi, pemerintah Takhshasila. Sebuah demi sebuah kerajaan tumbang dalam pengembaraannya untuk ke negara terbitnya matahari. Di dalam peta perjalanan itu, salah sebuah wilayah yang bakal dilalui adalah Takhshasila.
“Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun,” tiba-tiba seorang askar berlari masuk ke balai penghadapan dengan tergesa-gesa.
Suasana balai penghadapan yang ketika itu sedang sibuk dengan mesyuarat para menteri, tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Kelihatan askar tadi tercungap-cungap akibat kepenatan. Mungkin dia ingin menyampaikan berita tergempar secepat mungkin.
“Mana adab dan disiplin kamu wahai askar? Berani – berani sahaja kamu merempuh masuk ke dalam balai ini sesuka hati?” tempelak seorang menteri.
“Sabar wahai menteri. Pada pandangan beta, seperti penting benar askar ini datang menghadap. Seperti dia ingin menyampaikan sesuatu berita yang teramat mustahak,” kata Raja Kida Hindi kepada menterinya, sambil menunjukkan isyarat tangan, tanda tidak mengapa.
“Bangun wahai askar. Katakan kepada beta, gerangan apakah kamu datang menghadap beta dengan cara tergesa-gesa ini?” titah raja.
“Ampun tuanku. Adapun patik datang menghadap tuanku dibalai penghadapan ini, kerana patik ingin menyampaikan satu berita tergempar, tuanku. Pentingnya berita ini, sama penting dengan keselamatan negara Takhshasila tercinta ini,” ujar askar tersebut.
“Sambung,” titah raja.
“Ampun tuanku. Sudah kita ketahui bahawa, segala kerajaan Parsi pimpinan Raja Dara dan sekitarnya, dan juga berdekatan dengan negara kita ini telah tumbang dilanggar Raja Iskandar. Ketahuilah tuanku, bahawasanya, Raja Iskandar dan bala tenteranya telah menghampiri negara kita, dan akan tiba pada bila-bila masa sahaja,” sampai askar tersebut.
Mendengarkan berita itu, balai penghadapan menjadi gempar. Ada yang bergaduh, ada yang tertunduk mendengarkan berita itu. Ada pula yang menyepi kerana terkejut.
Setelah mendengar kata-kata askar tersebut, walaupun sedikit terkejut, Raja Kida Hindi kelihatan tenang sahaja. Melihatkan perkara ini, menterinya bertanya kepada baginda, “Ampun tuanku, kita sudah diberitakan bahawa Raja Iskandar bakal melanggar negara ini. Kenapa tuanku masih kelihatan tenang?”
Mendengarkan pertanyaan itu, Raja Kida Hindi tersenyum.
“Beginilah, sudah beta tahu, Raja Iskandar akan datang melanggar negara ini. Telah lama beta fikirkan, apakah yang beta patut lakukan. Negara ini bukanlah besar, bala tenteranya tidak setanding bala tentera Raja Iskandar dari Mecedonia itu. Beta telah fikirkan, dan apabila baginda sampai, biarlah beta menguruskannya sendiri,” ujar sang raja. Semua tunduk dan akur.
Selang beberapa hari, maka sampailah Raja Iskandar dan bala tenteranya di Takhshasila. Baginda tidak terus tergopoh gapah menyerang negeri itu, tetapi dengan bangganya baginda melaung memberikan pilihan kepada segala rakyat Takhshasila,
“Wahai rakyat dan Raja Takhshasila. Ketahuilah, bahawasanya, beta adalah Raja Iskandar, anak kepada Raja Failakus, yang datang dari Macedonia. Ketahuilah juga bahawa, kerajaan agung Parsi telah beta tumbangkan, sama juga dengan Mesir. betalah Raja Parsi dan Firaun Mesir sekarang,” jerit Raja Iskandar, lalu disahut dengan jeritan peperangan bala tenteranya.
Suasana menjadi bingar dan menggerunkan akibat pekikan Raja Iskandar serta bala tenteranya.
“Bukalah jalan untuk beta, supaya beta dapat masuk kedalam kota-kota kamu. Berilah kami tempat untuk berlindung, berilah kami segala keperluan, bukalah sekolah-sekolahmu untuk beta dan bala tentera beta. Izinkan kami belajar adat susilamu, ilmu-ilmumu. Jadikanlah kami sebahagian dari keluargamu. Jika kamu enggan, akan kami langgar negeri ini. Maka ketahuilah, bala tentera beta akan melanggar negeri ini tanpa belas kasihan, sama seperti kami melanggar Parsi dan sekitarnya,” tambah Raja Iskandar.
Selang beberapa minit, maka muncullah Raja Kida Hindi, pemerintah kerajaan Takhshasila. Semua yang ada di situ, terdiam melihat kehadiran baginda.
“Wahai Raja Iskandar yang Agung, pemerintah kerajaan Mecedonia, Parsi dan Mesir. Beta adalah Raja Kida Hindi, pemerintah kerajaan Takhshasila. Ketahuilah kamu bahawa, beta telah membuat keputusan, untuk bersetuju dengan kehendakmu. Masuklah dengan aman. Berlindunglah di dalam kerajaan beta. Belajarlah apa yang kamu mahu. Jadilah sebahagian dari keluarga kami. Ketahuilah kamu bahawa, beta tidak mahukan peperangan, kerana peperangan hanyalah membawa kepada kehancuran sahaja akhirnya,” kata Raja Kida Hindi.
Mendengarkan titah Raja Kida Hindi, maka bersorak rianglah bala tentera Raja Iskandar lalu berjalanlah mereka semua masuk ke kerajaan Takhshasila tanpa sebarang halangan, dan baginda disambut secara besar besaran dengan segala macam jenis permainan, bunyi bunyian, serta keraian yang besar.
Raja Kida Hindi juga telah membuat persetujuan untuk menyerah kalah dan memberikan tapak kem kepada Raja Iskandar. Di dalam keraian itu, berkata Raja Kida Hindi kepada Raja Iskandar,
“Hai Raja Iskandar, taraf kita tidaklah jauh berbeza. Engkau raja, beta pun raja. Persahabatan kita ibarat adik beradik, cuma engaku lahir di barat, dan beta lahir di timur. Ketahuilah, yang berada bersamaku, ada tiga benda kesayangan. Puteriku yang cantik jelita, ahli nujum yang bijaksana, serta cawan kesayangan berbentuk piala. Ambillah kamu salah satu, sebagai tanda persahabatan ini,” tawar Raja Kida Hindi
Mendengarkan tawaran itu. Raja Iskandar berfikir sejenak. Yang mana satukah pilihan hatinya. Puterikah? Ahli nujumkah? Atau cawankah?
“Baiklah, jikalau itu yang engkau tawarkan, ketahuilah kamu wahai Raja Kida Hindi, beta mahukan ketiga-tiganya. Semoga dengan tiga benda ini, persahabatan kita terjalin lebih erat dan bertahan selamanya,” ujar Raja Iskandar.
Tersentak dengan kata-kata Raja Iskandar, Raja Kida Hindi berfikir sejenak. Kemudian baginda membuka mulut untuk bersuara,
“Baiklah, beta terima,” ujar Raja Kida Hindi yang agak keberatan.
Maka, berlangsunglah pesta perkahwinan antara Raja Iskandar, dan anak Raja Kida Hindi, iaitu Puteri Syahrul Bariah. Puteri itu memiliki rupa yang begitu cantik, ibarat bidadari syurga, sinaran rupanya, menusuk di kalbu, kepintarannya, tidak dapat ditandingi oleh mana-mana cendikiawan. Dari jalur keturunan ini, kata cendikiawan melayu, maka lahirlah keturunan raja-raja melayu sekarang ini.
Penasihatnya yang bijaksana, iaitu ahli nujum negara yang berkemahiran merawat pelbagai jenis penyakit, serta cawan kesayangan berbentuk piala, juga telah menjadi hak milik kepada Raja Iskandar. Malah, diajarnya pula, ilmu-ilmu agama dengan memberikan tempat yang khas dan istimewa di sekolah yang ketika itu dipelopori oleh Chanakya. Ini menimbulkan ketidak puasan hati Chanakya.
Chanakya berasa berang dengan tindakan Raja Kinda Hindi itu, lalu pergi menghadap beliau dibalai penghadapan.
“Tuanku, ampunkan patik kerana apa yang patik bakal katakan ini akan mendatangkan murka kepada tuanku,” sembah Chanakya.
“Katakanlah apa yang kamu ingin katakan, beta sudi mendengarnya. Beta berjanji, tidak akan murka. Mungkin apa yang kamu ingin katakan, adalah mustahak benar bunyinya,” titah Raja Kida Hindi.
“Ampunkan patik tuanku. Apakah gerangannya, tuanku membenarkan, si penjajah itu, Raja Iskandar, menimba ilmu di tempat patik. Sudahlah pula itu, dikahwinkan pula anak tuanku, Puteri Syahrul Bariah kepada si penjajah itu. Tidak cukup lagi, diserahkan penasihat terbaik tuanku dan ahli nujum tuanku kepada si penjajah tersebut? Dia hanyalah seorang bangsa asing, yang ingin menjarah serta menghancurkan kerajaan India dan sejarahnya yang sudah hidup beribu tahun! Tidakkah tuanku sedar perkara ini? Tindakan tuanku tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kerajaan, malah mengundang malu kepada Raja Porus serta raja-raja lain! ” gertak Chanakya.
Lalu bertitahlah Raja Kida Hindi, “ Wahai Chanakya yang bijaksana, ilmumu tidak terperi tinggi nilainya. Setiap lafazmu tidak lain hanyalah ilmu semata-mata, tidak tersia-sia. Kamu mempelopori pusat pengajian yang terkenal di bumi India ini. Tetapi, dengan apa yang kamu ada, tidak cukup untuk memahami situasi yang beta lalui sekarang. Bagi beta, rakyat dan kerajaan inilah segalanya. Tiada rakyat, tiada kerajaan, tiadalah beta duduk di sini. Ketahuilah kamu wahai Chanakya yang bijaksana, peperangan itu tidaklah mendatangkan apa-apa faedah selain kehancuran kerajaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat beta. Pada kemudian harinya, maka menderitalah rakyat beta. Semakin hari, semakin mundurlah kerajaan beta, sehingga satu hari, maka hilanglah julah kerajaan ini.”
“Tetapi tuanku….” sampuk Chanakya, cuba untuk memotong percakapan rajanya.
Tanpa mempedulikan sampukan Canakya, Raja Kida Hindi menyambung percakapannya.
 “Tidakkah kamu ketahui wahai Chanakya yang bijaksana, kerajaan Parsi yang gah itu pun berjaya ditumbangkan oleh Raja Iskandar, kerajaan-kerajaan sekelilingnya juga tunduk kepadanya. Barang siapa yang ingkar, makanya, dilanggar oleh beliau adanya. Ketahuilah kamu wahai Chanakya, beliau tidak pernah tertewas walau sekalipun di dalam peperangannya. Nah, pada firasat kamu, sebagai sebuah kerajaan seperti ini, mampukah beta menewaskan beliau?”
Terkesan dengan kata-kata Raja Kida Hindi, Chanakya dengan tegasnya menyatakan, “Ampun tuanku, jikalau pada firasat tuanku sedemikian adanya, maka tiada apa yang patik ingin persembahkan kepada tuanku. Izinkan patik untuk keluar dari kerajaan ini, bagi mencari sesiapa yang mampu mengalahkan Raja Iskandar, walaupun sehingga ke hujung dunia sekalipun.”
Maka dengan berat hati, diizinkan dan dilepaskan oleh Raja Kida Hindi, Chanakya yang bijaksana itu. Maka berjalanlah Chanakya keluar dari balai pengahadapan, dan seterusnya keluar dari kerajaan Takhshasila. Matlamatnya hanya satu, mencari sesiapa yang mampu untuk mengalahkan serta mengusir Raja Iskandar dari bumi India ini. Tetapi, di dalam benak fikirannya, siapa yang ada bala tentera yang sebegitu besar yang mampu untuk mengalahkan Raja Iskandar. Secara tiba-tiba, teringat akan beliau, Raja Porus, yang tidak sehaluan dengan Raja Kida Hindi. Baginda mempunyai kerajaan yang besar serta bala tentera yang ramai. Segala raja tunduk kepada baginda. Chanakya merasakan yang beliaulah yang layak untuk mengusir Raja Iskandar. Ya, Raja Porus.
Berbalik kepada Raja Iskandar, di dalam bening malam itu, angin ribut yang mengganas ketika tadi, kini disusuri oleh hujan yang renyai-renyai. Muka Raja Iskandar yang sebentar tadi tenang, berkerut kembali. Diperhatikannya, air sungai sudah mula mengganas. Mungkin hujan lebat telah turun di hilir sungai Hydaspes. Beliau kini menjadi tidak keruan apabila hujan lebat sudah mulai turun. Lebatnya tidak terkata, seperti empangan yang tinggi yang baru pecah. Tidak hanya dengan itu, halilintar mula menyambar ke sana dan kemari, disusuri oleh guruh berdentum membelah bumi.
Tiba-tiba, bibir Raja Iskandar mula mengukirkan senyuman. Dirasakan, yang masanya telah tiba. Baginda melihat tentera kedua yang Raja Porus tempatkan di tengah-tengah berhapadan laluan kawad askar baginda, sejak dua bulan lalu, masih tidak berganjak dari tempatnya. Mereka seolah-oleh tidak perasan kehadiran Raja Iskandar serta sebahagian askarnya sedang berada di hilir sungai Hydaspes. Mereka merasakan yang kumpulan kedua tentera Raja Iskandar masih tidak berganjak dari posisinya, iaitu diseberang sungai Hydaspes, bertentangan dengan mereka. Mereka dan Raja Porus tidak mengetahui bahawa itu adalah helah Raja Iskandar, supaya mereka merasakan yang tentera kedua itu adalah tentera yang dipimpin oleh Raja Iskandar, hanya menunggu musim ribut monsun reda dan sungai surut sedikit, baru mereka menyeberangi sungai tersebut dan bertempur.
Helah Raja Iskandar begitu licik, selama dua bulan itu, baginda berkawad dari hujung ke hingga hujung sungai Hydasphes, seolah-olah memeriksa mana tahu, ada bahagian yang cetek yang boleh dilintasi. Beliau kemudian membahagikan tentera beliau sebenarnya kepada tiga bahagian. Bahagian pertama, yang duduk berehat di kem utama, berhadapan kem Raja Porus, yang kedua berehat di tengah, dan beliau memimpin yang bakinya kearah hilir sungai secara rahsia.
“Wahai bala tenteraku sekalian, demi Tuhan, masanya telah tiba. Inilah saat dan ketikanya, yang beta nanti-nantikan. Ketahuilah oleh kamu sekalian, Tuhan telah menyebelahi kita. Dia telah menyorokkan kita di dalam suasana ini, seperti mana yang kamu lihat, bala tentera Raja Porus sehingga kini tidak menyedari akan kehadiran kita di sini. Ketahuilah kamu juga, beta amat menyayangi kamu sekalian. Seperti yang kamu semua lihat, beta tidak pernah meninggalkan kamu semua, malah bersama-sama kamu semua ketika susah dan senang. Sepanjang perjuangan ini, di mana kamu semua berada, di situ juga beta berada. Jika tangan kamu semua dikotori darah kerana menyembelih musuh-musuh kita, beitu juga tangan ini! Di mana kakimu menjejak, di situ jugalah kaki ini menjejak! Oleh itu, marilah kita bersama-sama, menghancurkan musuh ini! Supaya satu hari nanti, nama kita akan terpahat di dada setiap manusia di atas muka bumi ini! Ingatlah, kita bukan keturunan pengecut! Datok moyang kita dahulu adalah bangsa pahlawan! Bangsa yang menggegarkan bumi ini! Janganlah kita membawa malu kepada datuk moyang kita, dengan berundur dari medan perang ini! Ayuh! Kita seberang sungai ini! Bertempur dengan musuh kita! Beta akan mengepalai kamu semua! Ayuh kalian semua!” titah Raja Iskandar. Titah Raja Iskandar disahut dengan laungan perang oleh para askar yang mengikutinya.






BAB 2: TRAGEDI PERKAHWINAN DAN UFTI KERAJAAN PARSI
Di dalam suasana ribut monsun, semua askar akan berasa ragu-ragu jika melihatkan arus sungai Hydasphes yang deras, memukul batu-batu tanpa rasa belas kasihan, apatah lagi seorang manusia. Mesti hanyut dan lemas begitu sahaja. Itu masih dikatakn bernasib baik, jikalau dilanggar pokok ru yang tumbang akibat tebing yang dikikis hujan lebat dan pokok yang ditiup angin yang sedang mengganas membadai bumi, mahu berkecai tubuh badan dibuatnya.
“Aku tak boleh teruskan misi ini. Kali ini ia betul-betul akan membunuh aku,” bisik hati kecil seorang askar. Mukanya pucat.
“Kamu, kenapa muka kamu seperti kehilangan banyak darah? Belum lagi berperang, Raja Porus sudah menghisap kering darah kamu?” tegur Raja Iskandar sambil menepuk bahu askar tadi.
“Ampun tuanku. Maafkan patik. Tetapi, patik berasa ragu-ragu untuk menyeberangi sungai ini. Lihatlah keadaannya. Seperti singa yang kelaparan,” jelas askar tersebut.
Mendengarkan kata-kata askar tersebut, Raja Iskandar dengan bijaknya memberikan kembali keyakinan kepada askar tersebut.
“Wahai askarku yang gagah berani. Yang mana nenek moyangmu seorang pahlawan yang gagah perkasa, yang sentiasa dahagakan darah musuhnya. Apabila nenek moyangmu terjun ke medan perang, tidak terperi ganasnya, tidak kira besar atau kecil musuh dan senjata, diterkam dan dihirup darah dan dimamahnya tubuh musuh itu, ibarat seekor singa yang garang,”
Tambahnya lagi, “Andai, sekiranya kamu hanyut ditelan arus deras ini, nescaya engkau bukan orang pertama yang akan hanyut, tetapi betalah yang akan hanyut ditelan terlebih dahulu, kerana beta adalah kepala kepada angkatan perang ini. Betalah orang pertama yang akan turun, dan betalah yang akan menjadi orang pertama yang akan menyelamatkan kamu jika kamu hanyut,”
Askar tadi terdiam. Nampak sedikit yang mukanya sedikit demi sedikit menerima darah yang tadi kering kerana ketakutan.
“Tidakkah kamu malu, sekiranya beta tertewas di dalam pertarungan ini, semua rakan – rakan mu mati disembelih bala tentera Raja Porus, mayatnya digantung, dibakar, malah kepalanya dijadikan trofi, kamu hanya berada ditebing melihat ini semua terjadi, hanya kerana kamu tewas hanya dengan musuh kerdilmu ini, Sungai Hydasphes. Kamu akan dituduh pengecut, pengkhianat. Kamu akan dihina selama – lamanya. Makam nenek moyangmu akan dibongkar. Seluruh keturunanmu akan dilabel pengkhianat, kamu mahu semua itu. Kamu mahu katakan yang kamu seorang pengecut di hadapan nenek moyangmu di alam barzakh nanti? Itu yang kamu mahu?” soal Raja Iskandar bagi menaikkan semangat dan moral askar itu.
“Tidak, patik tidak akan sesekali berkata sedemikian! Ayuh tuanku, apa tuanku tunggu lagi? Mari kita sembelih seorang demi seorang askar Raja Porus tak guna itu! Pedulikan arus sungai ini!” jerit askar tadi.
Mukanya kini merah padam. Matanya merah menyala. Giginya diketap rapat. Kedengaran bunyi nafasnya yang turun naik akibat perasaan marahnya yang meluap – luap. Diketatkan segala zirahnya. Digenggam erat segala senjata dan perisainya. Beliau yang sebentar tadi seperti ayam berak kapur, kini telah betukar menjadi sang singa yang sedang kelaparan.
Halilintar menyambar ke sana ke mari. Guruh berdentum seolah-olah ingin membaham segala isi bumi. Sekali sekala, deruan air sungai mencetuskan ombak besar apabila berlanggar dengan batu – batu di tengah sungai tersebut. Sangat mengerikan suasana ketika itu. Jika dilihatkan, dengan air sungai separas dada, adalah agak mustahil untuk meredah dan sampai keseberang tebing sana, dan sudah tentu, pada fikiran Raja Porus juga, adalah mustahil Raja Iskandar akan menyeberangi sungai pada ketika itu.
“Ia satu kerja gila,” bisik hati Raja Porus apabila terfikir akan kebarangkalian untuk Raja Iskandar menyeberangi Sungai Hydasphes pada masa ini. Beliau melelapkan matanya.
“Beta memang gila! Hahaha,” bisik Raja Iskandar, seolah – olah tahu apa yang Raja Porus fikirkan diseberang sana.
Masakan tidaknya, keputusan gilanya untuk memutuskan hubungan diplomatik dan enggan membayar ufti kepada Raja Dara, pemerintah empayar Parsi Agung itu sebelum ini, membawa kepada kehancuran empayar yang megah itu, sebelum ini.
Ketika itu, Raja Iskandar baru sahaja mewarisi kerajaan Macedonia, apabila bapanya, Raja Failakus telah dibunuh oleh ketua kepada Somatophylax miliknya, Pausanias, di dalam sebuah komplot.
“Ampun tuanku, sembah patik harap diampun tuanku,” sembah Pausanias kepada Raja Failakus.
“Ya Pausanias, apakah gerangan kamu menghadap beta? Pagi benar nampaknya, seperti ada perkhabaran penting pada pandangan beta nampaknya,” tanya Raja Failakus.
“Perkhabaran itu tidak, penting itu, benar tuanku. Apakah kiranya, jika patik mengadu akan masalah patik kepada tuanku, tuanku akan memberikan pengadilan yang adil kepada patik?” tanya Pausanias.
“Jelaskan kepada beta, biar beta dengar apa masalah yang menimpa diri kamu itu,” pinta Raja Failakus.
“Begini tuanku. Akibat sedikit perbalahan akibat kesetiaan kepada tuanku, patik telah diperdaya, diserang dan dicederakan oleh Attalus dan pengikutnya, iaitu ayah saudara kepada isteri tuanku, permaisuri Cleopatra. Ketika itu, patik tidak terdaya untuk melawan kerana dimabukkan oleh mereka. Maruah patik dienjak – enjak! Oleh itu, patik meminta untuk tuanku memberikan pengadilan kepada diri patik, dan menghukum Attalus dan pengikutnya dengan hukuman yang setimpal,” rayu Pausanias kepada Raja Failakus sambil menunjukkan kecedaraan yang dialaminya.
Tiba – tiba Raja Failakus diselubungi dilema. Kelihatan Attalus berada dihujung balai penghadapan, tersenyum mengejek. Melihatkan senyuman itu, wajah Pausanias menjadi merah padam. Mahu sahaja beliau menghunus pedang yang dibawanya, lalu menyembelih musuhnya itu.
Melihatkan tindak tanduk Pausanias yang tidak keruan itu, Raja Failakus membuka mulutnya sambil menunjukkan isyarat supaya bersabar.
“Sabar wahai Pausanias yang gagah berani. Agak sukar bagi beta untuk memutuskan pengadilan ini. Beginilah. Beta rasa, bagi menyelesaikan masalah ini, eloklah kiranya beta melantik kamu untuk menjadi sebahagian dari Somatophylax beta. Lupakan permusuhan kamu itu. Setialah kepada beta mulai hari ini,” ujar Raja Failakus.
Attalus merupakan bapa saudara kepada isteri kesayangannya. Menghukum Attalus bermakna, menghukum isterinya juga. Tambahan lagi, Attalus bakal dihantar ke Asia bersama Parmenion, untuk menjadi kepala dan pengukuhan kepada pelan pencerobohannya nanti. Raja Failakus berbelah bahagi ketika ingin memberikan pengadilan kepada Pausanias.
“Apa, adilkah itu tuanku?” bentak Pausanias.
“Sudah, lupakan ini semua. Kamu sudah beta lantik menjadi Somatophylax beta! Pergi kamu balik, tenangkan diri, atau kamu pula yang beta hukum!” herdik Raja Failakus.
Pausanias tidak berpuas hati. Demi mempertahankan kesetiannya kepada Raja Failakus, maruahnya dienjak – enjak oleh Attalus. Malah, Attalus keluar dari balai penghadapan sambil ketawa terbahak – bahak. Mata Pausanias menjadi merah menyala. Darahnya membuak – buak. Dendamnya tidak tertahan rasanya.
“Tak guna kau raja! Engkau dan bapa saudara engkau itu sama sahaja! Kau tunggu!” jerit Pausanias dalam hatinya.
8 tahun kemudian, iaitu pada usia Raja Iskandar 23 tahun, ketika itu, merupakan hari perkahwinan adik perempuan beliau, Cleopatra bersama Iskandar I dari Epirus, di ibu kota Macedonia, Aegea. Pausanias telah bersiap sedia bersama pisau belatinya yang disorokkan di dalam bajunya.
“8 tahun aku menunggu. Inilah harinya. Kau akan mati pada hari ini wahai Raja Failakus!” bisik Pausanias di dalam hatinya.
Dada Pausanias berdebar – debar. Kadang – kadang, kelihatan beliau berjalan mundar mandir bagi menghilangkan perasaan gementarnya. Peluh dingin menyelubungi kepala beliau. Perlahan – lahan Heromenes dan Harrbaeus mendekati Pausanias. Suasana dirasakan amat tegang bagi mereka bertiga, walaupun di luar, pesta keraian sedang berlangsung dengan penuh meriah.
“Pastikan kali ini, Raja Failakus mati ditangan kita, lama benar aku menyimpan dendam kepada baginda!” bisik Heromenes kepada mereka berdua.
“Engkau jangan risau, aku akan tolong engkau. Engkau tikam dia dengan pisau itu, dan aku akan bantu engkau melarikan diri selepas itu”, jelas Harrbaeus memberikan jaminan.
 Dari kejauhan, kelihatan Leonnatus memberikan isyarat bahawa keadaan cantik, dan kawalan longgar, kepada mereka bertiga. Tindak tanduk mereka bertiga rupa – rupanya sedang diperhatikan oleh rakan karib Raja Iskandar, Attalus anak kepada Andromenes. Beliau melaporkan tindak tanduk mencurigakan itu kepada Perdiccas.
“Wahai Perdiccas yang setia, aku melihat bahawa tindak tanduk Heromenes, Harrbaeus, dan Pausanias amat mencurigakan. Mereka berbincang – bincang dan mereka juga kelihatan tidak senang duduk. Sekali sekalai, kelihatan mereka menunjuk – nunjuk sesuatu di dalam baju. Kelihatan seperti senjata ada juga,” lapor Attalus.
“Aku tahu, Pausanias ada simpan dendam dengan Raja Failakus. Mungkin mereka merancang sesuatu, kita terus perhatikan mereka,” cadang Perdiccas.
Kemudian, mereka berdua melihat Leonnatus seperti mengangguk kecil. Mata Heromenes, Harrbaeus, dan Pausanias terarah kepada Leonnatus. Pausanias kelihatan pucat. Heromenes dan Harrbaeus beredar dari situ, tetapi tidak jauh, menanti Pausanias bersama kuda untuk melepaskan diri, di pintu kota Aegea. Raja Failakus mula kelihatan berjalan tanpa dilindungi mendekati balairaya. Setiap detik dan setiap langkah yang diambil oleh Raja Failakus, terasa perlahan sekali oleh Pausanias. Debaran di dadanya tidak tertahan lagi. Tangannya menggigil seperti ketakutan. Walaupun dendam kesumat telah menguasai diri sebelum ini, tetapi, ia tiba – tiba padam, diganti dengan debaran. Pandangannya gelap sebentar. Kemudian, beliau menggagahkan diri untuk terus sedar.
Raja Failakus semakin menghampiri beliau. Kelihatan riak wajah baginda yang sedang tersenyum riang kerana majlis keraian itu. Sekali sekala, baginda melambai kepada kenalannya.
Tiba – tiba Pausanias muncul dan berada betul – betul di hadapannya. Riak wajah baginda yang riang bertukar menjadi terkejut. Tambah lagi kejutan, baginda merasakan bahawa ada sesuatu mengenai perutnya. Seperti satu tusukan. Baginda merasakan bahawa ada cecair panas yang mengalir pada bajunya. Mengalir laju sekali. Baginda mengalihkan pandangannya di bahagian perutnya. Kelihatan pisau belati telah tertusuk pada perutnya. Baginda tiba – tiba berasa pening, mungkin akibat kehilangan banyak darah.
“Pausanias, engkau….” kata – kata terakhir Raja Failakus sebelum baginda rebah dihadapan Pausanias.
Suasana yang tadi riang, tiba – tiba menjadi hening seketika, dan bertukar menjadi kecoh.
“Raja Failakus dibunuh! Lihat, Pausanias melarikan diri, tangannya penuh darah!” jerit seorang rakyat jelata.
“Tangkap Pausanias!” Teriak Raja Iskandar yang menyedari keadaan itu.
Pausanias menjadi takut. Beliau berlari sekuat hati. Beliau cuba untuk meminta pertolongan dari dua orang sahabatnya tadi, supaya dibawa kuda itu kepada beliau untuk melarikan diri. Malah, dua rakannya itu tidak mengendahkannya, dan berlalu dari situ. Beliau kini keseorangan. Dikhianati oleh sahabat komplotnya.   Ketakutannya kini bukan kepalang. Apabila beliau menoleh kebelakang, kelihatan seorang sahabat komplotnya Leonnatus mengacukan lembing kearah beliau. Tiba – tiba beliau merasakan ada sesuatu yang menghalang kakinya. Beliau terlanggar akar pokok, lalu rebah ke tanah, tidak sempat untuk sampai kepada kudanya.
Tanpa berlengah, Leonnatus melontar lembingnya, lalu tepat mengenai belakang Pausanias dan tembus kedada hadapan, melalui jantungnya. Kemudian, dua lagi lembing yang dilontar oleh Attalus dan Perdiccas hinggap ke belakang beliau. Maka, tamatlah riwayat Pausanias ketika itu juga.
Perdiccas mengalihkan pandangannya untuk mencari Heromenes, dan Harrbaeus. Mereka kelihatan tidak jauh dari situ, cuba untuk melarikan diri. Dengan pantas, beliau mengarahkan anak buahnya untuk menangkap mereka berdua. Leonnatus juga ditahan, disyaki terlibat dalam kes pembunuhan itu. Beliau dituduh bersubahat dan membunuh Pausanias untuk menghapuskan bukti. Tetapi, kerana kurangnya saksi dan bukti, beliau hanya dihukum turun pangkat. Malang bagi Heromenes dan Harrbaeus, mereka dijatuhkan hukuman bunuh, kerana ada saksi yang melihat perbualan mereka bertiga, sebelum pembunuhan.
Ketika itu majlis pengebumian Raja Failakus, hujan renyai – renyai. Suasana agak hening dan pilu. Kelihatan Permaisuri Olympias dan puterinya, Cleopatra, menangis teresak - esak. Manakala Raja Iskandar, merenung sayu ke arah jasad kaku ayahandanya. Apalah nasib ayahandanya itu. Dibunuh oleh orang kepercayaannya. Somatophylax, merupakan orang kanan dan kepercayaan seorang raja. Mereka juga merupakan unit khas yang mengawal raja, dan juga pegawai tinggi seperti jeneral atau pegawai pemerintah. Tambahan lagi, mereka bukan orang sebarangan. Pada kebiasaannya, tujuh atau lapan orang kesatria ini, merupakan dari darah keturunan kerabat di raja.
Selesai majlis pengebumian Raja Failakus, Raja Iskandar dilantik untuk menjadi Raja Macedonia menggantikan ayahandanya. Ketika itu, kerajaan Macedonia di bawah naungan empayar  Parsi. Empayar Parsi ketika itu dipimpin oleh Raja Dara, anak kepada Raja Darab. Bagai manakah seorang pemuda yang baru seusia itu, mahu memimpin kerajaan Macedonia. Peperangan dan pemberontakan di negara jiran, memburukkan lagi keadaan.
Di dalam taman larangan istana, kelihatan Raja Iskandar duduk termenung. Taman larangan itu cukup indah sekali. Dihiasi oleh pelbagai jenis bunga. Latar belakang gunung ganang mengasyikkan lagi suasana. Burung – burung berkicauan. Menari nari riang di angkasa. Ada beberapa ekor burung yang hinggap di dahan pepohonan untuk berehat dan menyanyi riang. Tupai – tupai memasuki sarangnya membawa bekalan makanan untuk disimpan bagi musim sejuk.
Baginda terkenangkan peristiwa semasa ayahandanya berada di pangkuannya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dengan tangan yang penuh berlumuran darah, ayahandanya menurunkan mahkota yang berada di atas kepalanya, lalu menyarungkannya ke atas kepala anakandanya, Raja Iskandar.
“Wahai anakandaku yang baik hati, yang pintar dan gagah perkasa, kamu adalah dengan ini, ayahanda lantik menggantikan ayahanda sebagai Raja Macedonia dan sekalian hamba rakyatnya,” kata Raja Failakus tersekat – sekat, menahan kesakitan.
“Ayahanda, cukup, simpan tenagamu, ayahanda masih boleh diselamatkan lagi, cukup….” Sambut Raja Iskandar sambil menagis teresak – esak, memangku ayahandanya.
Dikejauhan, kelihatan Aristotle memerhatikan kejadian yang berlaku. Beliau terkejut, apabila Raja Failakus melambaikan tangannya ke arah beliau, seolah – olah memanggil supaya mendekatinya.
“Ampun tuanku, kurangkan bergerak. Bantuan dari ahli perubatan istana hampir tiba,” ujar Aristotle apabila duduk disebelah baginda.
“Wahai Aristotle yang bijaksana, murid kepada sarjana agung Plato, kamu mulai hari ini, beta lantik menjadi penasihat kepada anakandaku, Raja Iskandar. Nasihatilah beliau akan hal – hal yang berkaitan pentadbiran negara, jangan dibiarkan beliau apabila melakukan kesalahan. Jadikanlah negara Macedonia ini disegani seluruh dunia,” lantik Raja Failakus kepada Aristotle.
Baginda meraung sedikit menahan kesakita. Permaisuri Olympias dan puterinya, Cleopatra, sudah menangis teresak – esak sambil memeluk Raja Iskandar. Para hadirin yang berada di sekitar juga tidak kurang sebaknya. Susana sangat memilukan pada ketika itu.
“Anakandaku Raja Iskandar, janganlah sesekali kamu rasakan dirimu bijak, carilah nasihat dari para bijak pandai. Kita hanyalah tanah, dan dari tanahlah kita dicipta. Kita tidak berdaya dalam kehidupan ini,” nasihat terakhir Raja Failakus.
Baginda kemudian menarik nafas panjang dan sangat dalam. Mukanya berubah dari merah ke pucat. Raja Failakus telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 46 tahun kata para sarjana.
“Wahai anakanda, kamu kelihatan murung di sini keseorangan, boleh ibunda menemani anakanda?” tegur Permaisuri Olympias.
Raja Iskandar terkejut dan tersedar dari lamunan, mempersilakan ibundanya untuk duduk disebelahnya.
“Bonda, kerajaan ini telah dibentuk sudah sekian lamanya. Generasi ke generasi. Raja ke raja, silih berganti. Perselisihan faham dalam politik dan pertelagahan sering berlaku, sehinggakan ayahanda mati dibunuh baru – baru ini,” Raja Iskandar memulakan cerita.
“Anakanda khuatir, jika ini terus berlaku, nescaya kerajaan ini tidak akan kekal lama, mungkin anakanda juga akan menjadi mangsa suatu hari nanti,” sambung Raja Iskandar.
“Jangan risau, bonda percaya, dengan segala ilmu yang kamu pelajari, nescaya, kamu boleh mengubah suasana politik Macedonia, dan menjadikannya gah suatu hari nanti,” pujuk permaisuri.
“Betul, patik setuju. Ampun tuanku, jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran. Patik akan membantu menasihati tuanku dalam hal – hal yang tuanku kurang pasti” sampuk Aristotle yang baru sampai.
Raja Iskandar tersenyum lebar, penuh keyakinan. Beliau berjanji akan menjadikan Macedonia satu empayar yang agung di mata dunia suatu hari nanti.
Di suatu tempat yang lain, di ibu kota empayar Parsi, Persepolis,  mendengarkan bahawa Raja Failakus telah mangkat kerana dibunuh, dan tempatnya diganti oleh Raja Iskandar, maka Raja Dara mengarahkan seorang utusannya untuk meminta ufti seperti biasa. Maklumlah, ketika itu kerajaan Macedonia bernaung di bawah empayar Parsi. Sudah menjadi kebiasaan Macedonia membayar ufti setiap tahun. Tetapi kali ini, ufti dikutip bagi menunjukkan kekuasaaan Raja Dara ke atas Raja Iskandar.
Raja Dara bertitah kepada utusannya, “Wahai utusan beta yang setia, pergilah kamu menghadap Raja Iskandar, beritahu kepada beliau, sudah tiba masanya yang kerajaan Macedonia perlu membayar ufti seperti biasa,”
“ Raja Iskandar perlu tahu, yang Macedonia masih dibawah naungan kerajaan beta, Parsi, seperti mana perjanjian mendiang Raja Failakus serta mendiang ayahanda beta, Raja Darab, kerana kalahnya beliau ditangan ayahanda beta,” tambah beliau lagi.
“Ampunkan patik tuanku, bukankah itu satu tindakan yang biadap, meminta ufti ketika negara itu sedang berkabung? Mungkin ia akan menimbulkan sedikit ketegangan antara kita dan Raja Iskandar?” tanya seorang menterinya.
“Pedulikan itu semua, sekaranglah waktunya untuk meminta ufti. Tunjukkan kepada beliau bahawa kita berkuasa! Percaya cakap beta, beliau akan tunduk kerana tekanan disekeliling. Kemudian, kita akan jadikan beliau boneka!” jelas Raja Dara.
“Baiklah tuanku, titah perintah tuanku akan patik junjung,” jawab si utusan menerima titah Raja Dara.
Maka, mengembaralah utusan tersebut membawa titah Raja Dara dari Parsi ke Macedonia. Setelah tibanya utusan tersebut ke Macedonia, dia meminta kebenaran kepada pegawai istana untuk menghadap Raja Iskandar, bagi menyampaikan titah Raja Darab ke atas Raja Iskandar. Perkara itu telah dibawa ke pengetahuan Raja Iskandar, dan beliau menitahkan supaya utusan tersebut datang menghadap dibalai penghadapan.
“Izinkan beliau menghadap beta. Barangkali, beliau membawa sesuatu yang penting dari Raja Dara,” titah Raja Iskandar kepada pegawai istana.
Lalu disampaikan titah Raja Iskandar kepada utusan tersebut untuk datang menghadap Raja Iskandar. Utusan tersebut dengan pantas datang menghadap Raja Iskandar dibalai penghadapan, diiringi oleh pegawai istana. Setelah diizinkan untuk menyampaikan titah Raja Dara, maka berkatalah utusan tersebut kepada Raja Iskandar,
“Ampunkan patik tuanku. Sesungguhnya,kehadiran patik sebagai seorang utusan kepada Raja Dara, kehadirannya datang menghadap tuanku, bertugas membawa titah dari Raja Dara untuk tuanku, izinkan patik meneruskan percakapan patik untuk menyampaikan titah Raja Dara buat tuanku,”
“Beta izinkan. Sampaikanlah titah Raja Dara tersebut,” jawab Raja Iskandar.
“Menjunjung perintah tuanku. Diharap titah ini tidak mendatangkan murka ke atas tuanku. Ketahuilah ke atas tuanku, bahawa kerajaan Macedonia masih di bawah naungan kerajaan Parsi, seperti mana perjanjian yang telah dimeterai oleh mendiang ayahanda tuanku, Raja Failakus, dengan mendiang ayahanda Raja Dara, Raja Darab. Ketahuilah juga wahai tuanku, yang perjanjian ini termeterai oleh kerana kekalahan ayahanda tuanku, ke atas Raja Darab,” kata utusan menyampaikan tutah Raja Dara.
“Oleh yang sedemikian, sepertimana biasa yang dilakukan oleh kerajaan naungan dan kerajaan yang menaungi, kerajaan naugan perlu membayar sejumlah wang ufti kepada kerajaan yang menaungi. Makanya, seperti mana biasa Raja Failakus membayar wang ufti kepada Raja Darab, seperti itulah jualah titah Raja Dara ke atas tuanku untuk membayar wang ufti seperti mana biasa,” sambung utusan tersebut.
Mendengar kata-kata dari utusan tersebut, secara tiba-tiba, riak wajah Raja Iskandar berubah. Dari tersenyum, tiba-tiba dahinya berkerut dan menunjukkan tanda yang beliau sedang murka. Beliau bangun dari takhta lalu berkata,
“Jika ini titah Raja Dara, ini sudah keterlaluan. Beliau sungguh biadap! Ketika kami berkabung, berani berani sahaja kamu meminta ufti dari kami!” herdik Raja Iskandar.
Suasana balai pengahadapan menjadi kecoh. Ada yang menempelak utusan tersebut kerana kebiadaban Raja Dara yang meminta ufti. Mereka semua bersependapat dengan Raja Iskandar.
“Ketahuilah kamu wahai utusan, kamu dan raja kamu tidak akan mendapat walau satu sen milik Macedonia sekalipun. Zaman pemerintahan telah berubah!” kata Raja Iskandar dengan nada yang sangat marah.
Baginda membaling surat dari Raja Dara yang isi kandungannya meminta untuk membayar ufti dengan kadar yang segera. Surat itu kena tepat di kepala utusan tersebut.
Sambungnya lagi, “Jika mana dulu, ayahanda beta tunduk dan mengakui penguasaan dan kehebatan kerajaan Parsi dan rajanya, Raja Darab, ketahuilah kamu, apabila beta menaiki takhta, beta tidak akan sesekali tunduk dan mengakui penguasaan dan kehebatan kerajaan Parsi!”
Si utusan terkejut dengan titah yang disampaikan oleh Raja Iskandar. Riak wajahnya tiba-tiba berubah ketakutan.
“Mulai hari ini, beta tidak akan memberikan walaupun satu sen wang ufti kepada kerajaan Parsi! Macedonia mulai saat ini bukan lagi kerajaan naungan Parsi! Malah, mulai hari ini, beta titahkan supaya kerajaan Parsi, dibawah Raja Dara, membayar wang ufti kepada beta! Giliran kerajaan Parsi mengakui kekuasaan Macedonia!” tambah Raja Iskandar.
Dengan titah ini, utusan Raja Dara bukan sahaja ketakutan, malah kebingungan. Dia tidak menyangka, kerjanya yang disangkakan mudah, menjadi sedemikian rumit. Dia yang kebingungan, tersentak dengan titah Raja Iskandar yang pengahabisan.
“Sampaikan juga kepada Raja Dara, jika beliau gagal membayar ufti kepada beta, beta akan datang melanggar bumi Parsi. Tidak, beta akan melanggar semua kerajaan-kerajaan yang ada di atas muka bumi ini! Akan beta genggam semua kerajaan-kerajaan ini! Maka, bersedialah kamu untuk berperang!” titah Raja Iskandar.
Maka, dengan rasa kecewa dan ketakutan,berlalulah utusan tersebut dari balai penghadapan, membawa titah Raja Iskandar kepada Raja Dara. Berjalanlah dia pulang dari Macedonia ke Parsi, dengan tangan kosong dan membawa khabar peperangan tersebut.







BAB 3: SEJARAH KOTA PERSEPOLIS DAN BIBIT – BIBIT PEPERANGAN
Di dalam keheningan malam, Raja Dara duduk di balkoni istananya keseorangan. Dari balkoni ini, beliau dapat melihat hampir keseluruhan sekitar kota Persepolis, ibu negera Parsi. Ketika ini, beliau telah mewarisi takhta kerajaan Parsi selama dua tahun, selepas kemangkatan bapanya, Raja Darab.
Melihat keindahan sekitar  kota Persepolis di waktu malam, keindahannya tidak terkata. Dengan kota yang berukuran 1,345,500 kaki persegi dan dinaikkan ketinggiannya sebanyak 17 kaki, ia mengandungi 5 buah istana. 3 istana penginapan raja-raja, 1 istana kecil, dan 1 istana utama yang mempunyai 100 buah tiang, dan  besar istana ini ialah 40,000 kaki persegi, apabila disinari sang rembulan yang gemilang, kelihatan segala ukiran yang indah – indah. Tambahan lagi, kekreatifan dan kemahiran  tukang batu dan tukang ukir kota terserlah apabila bukan sahaja istana ini didirikan dari batu, malah bukit di belakangnya juga ditarah dan diukir menjadi sebahagian dari kota ini. Sangat gah dan menakjubkan kota ini.
Sejarah kota ini bermula apabila  ini anak kepada Raja Tahumer, Raja Jamshid raja ke empat dari dinasti Pishdadian, iaitu dinasti pertama empayar Parsi menginginkan sebuah kota untuk pemerintahannya. Maka dibinalah Tukht-e-Jamsheed atau dalam bahasa melayunya Takhta Jamshid. Maka bersemayamlah baginda selama 700 tahun lamanya menurut hikayat lama.
Kini, kota itu sudah menjadi sangat megah, terkenal diserata dunia.  Disekitarnya, lampu-lampu rumah berkelipan seperti kelip-kelip pada waktu malam. Ada juga kelihatan segelintir rakyat sedang menjalankan urus niaga. Ada juga segelintir yang sedang bersuka ria. Tidak kurang juga yang menjalankan ibadah mereka. Walaupun ketika itu waktu malam, tetapi, suasana Persepolis tidak ditelan dek kegelapan malam.
Di atas balkoni, Raja Dara merenung jauh ke hadapan. Beliau termenung keseorangan. Kadang kala tersenyum, kadang kala merangut, kadang kala hanya diam seperti patung. Melihatkan keadaan itu, penasihat beliau lantas menegurnya,
“Ampun tuanku, ampunkan patik jika mengganggu tuanku sedang berfikir. Apakah gerangannya tuanku duduk berseorangan di sini? Dan pula, seketika patik melihat tuanku tersenyum, kemudian merangut, kadangkala diam seperti patung. Adakah sesuatu yang berat sedang tuanku fikirkan?”
Raja Dara lantas tersentak dengan teguran penasihatnya. Beliau tersedar dari lamunannya. Setelah mengibas-ngibaskan jubahnya sedikit, beliau memanggil penasihat tersebut untuk mendekatinya.
“Wahai penasihatku yang bijaksana, beta termenung memikirkan masa depan kerajaan Parsi ini. Hari demi hari, kerajaan ini ditadbir dengan baik sekali oleh bapa dan datuk moyang beta. Dari sebuah kerajaan kecil, kepada sebuah empayar yang terbentang luas. Ia bermula dari hasil titik peluh moyang beta, Raja Cyrus yang bertungkus lumus menyatukan kerajaan ini dengan menawan empayar-empayar sekelilingnya bermula dari empayar Media, kemudia Lydia, dan seterusnya. Lalu lahirlah empayar Acheamenid ini,” jelas Raja Dara.
 “Menurut hikayat lama pula, Parsi ini bukan dibina sehari dua. Ia bermula dari Raja Kayumer lagi, iaitu Raja Pertama sekalian alam ini,” penasihatnya memulakan cerita.
“Kisah legenda permulaan bumi Parsi ini?” tanya Raja Dara.
“Ya, benar. Raja Kayumer itu duduk bersemayam di dalam sebuah gunung. Dari beliaulah tatacara berpakaian diperkenalkan. Baginda dan sekalian hamba rakyatnya mengenakan kulit harimau sebagai pakaian. Sejurus baginda memerintah, segala manusia dan haiwan hadir memperhambakan diri dan menerimanya sebagai pemerintah. Kegemilangannya ibarat matahari yang menyinari bumi,” sambung penasihatnya lagi.
“Kemudian, bermulalah cerita seperti dongengan, apabila Ahriman yang jahat, berasa iri hati kepada kekuasaan Raja Kayumer. Beliau bersekongkol dengan anaknya Deev, yang gagah perkasa, untuk menjatuhkan Raja Kayumer. Maka dikumpulkan segala bala tentera untuk melanggar dan menghancurkan Raja Kayumer dan anaknya Sayamuk buat selama – lamanya,” sampuk Raja Dara.
“Betul, tuanku bijak,” puji penasihat kepada Raja Dara.
“Kemudian, malaikat yang menjaga alam ini, mengetahui niat jahat Ahriman dan anaknya, menyamar sebagai pari – pari, untuk memberikan amaran kepada Raja Kayumer. Tanpa berlengah lagi, baginda mengarahkan anaknya, Sayamuk, untuk mengetuai bala tentera baginda untuk berhadapan dengan bala tentera Deev. Sayamuk sudah sedia maklum akan kekuatan Deev ini. Tetapi beliau tidak berputus asa. Maka diasaknya bala tentera Deev sepenuh kekuatannya. Sungguhpun begitu, malangnya, kekuatan Sayamuk tidak setanding dengan kekuatan Deev. Sayamuk akhirnya tewas, dan mati ditangan Deev,” sambung penasihatnya lagi.
“Maka, berita kematian anakandanya sampai kepengetahuan Raja Kayumer. Sedihnya bukan kepalang. Baginda menjerit dan menangis teresak – esak. Selama setahun baginda berkabung kesedihan, tidak terkecuali juga bala tenteranya. Tidak cukup dengan itu, segala jenis haiwan juga turut sama berkabung. Kesedihan menyelubungi sekalian alam. Malaikat yang memberikan amaran mengenai niat jahat Ahriman tadi, cuba memujuk Raja Kayumer supaya tidak lagi bersedih. Beginda perlu bangun dan membalas dendam ke atas Ahriman dan Deev. Tidak guna jika berkabung dan bersedih sahaja,” penasihatnya menyambung cerita.
Kelihatan Raja Dara sedikit terhibur. Melihatkan perkara ini, penasihat terus menyambung hikayat tadi.
“Maka baginda pun bersetuju untuk bangkit dan membalas dendam. Maka diarahnya anak Sayamuk, Husheng, iaitu cucunya sendiri, untuk mengumpulkan bala tentera bagi membalas dendam atas kematian Sayamuk. Bala tentera kali ini maha dasyat kekuatannya. Ia bukan hanya terdiri dari hamba rakyat sahaja, tetapi juga terdiri dari segala macam jenis haiwan yang ganas – ganas seperti harimau, serigala, singa dan lain – lain. Baginda juga turut serta dalam bala tentera itu. Tetapi, disebabkan oleh usianya yang sudah lanjut, baginda duduk dibarisan paling belakang sekali” penasihatnya berhenti seketika bagi menarik nafas, sebelum menyambung cerita.
“Bala tentera itu semakin menghampiri Deev dan bala tenteranya. Laungan dan ngauman dari bala tentera Raja Kayumer yang diketuai Husheng kali ini sangat mengerikan. Deev yang gagah perkasa itu menggigil ketakutan. Kali ini, mereka datang dengan dendam kesumat. Kematian Sayamuk harus dibela! Deev harus mati! Maka berperanglah dua bala tentera itu. Bala tentera Deev diasak dengan teruk sekali. Deev sudah tidak mampu untuk menahan amukan mereka. Kali ini, Deev akhirnya tewas. Ya, tewas ditangan Husheng. Mereka bersorak keriangan atas kemenangan ini. Melihatkan kematian Sayamuk telah terbela, Raja Kayumer yang sudah lanjut usianya itu mangkat, lalu Husheng menaiki takhta, menggantikan Raja Kayumer,” penasihat Raja Dara itu menghentikan ceritanya, dan melihat sama ada baginda masih berminat untuk mendengar sambungannya, atau tidak.
“Sambung cerita itu wahai penasihatku. Hiburkan beta,” titah Raja Dara kepada penasihatnya.
“Ampun tuanku. Raja Husheng kemudian memerintah Parsi selama 40 tahun. Sepanjang pemerintahannya, hamba rakyat hidup aman damai, dan terbela nasib mereka. Baginda juga memperkenalkan cara menyalakan api dari batu. Disamping itu juga, diajarkan juga bagaimana untuk menyelusuri sungai, memanfaatkannya untuk menjadikan tanah subur, dan menuai hasilnya. Baginda juga membahagi – bahagikan haiwan kepada beberapa jenis, dan menamakannya. Tetapi, setiap nyawa pasti akan berakhir juga adanya. Apabila baginda mangkat, takhta baginda digantikan oleh anaknya, Tahumer,”
“Raja Tahumer tidak kurang hebatnya juga. Baginda memperkenalkan cara untuk memintal benang dan mengaitnya untuk dijadikan kain dan pakaian. Baginda memerintah dengan baik dan gagah sekali. Ini sekali lagi menimbulkan kecemburuan Deev. Deev sekali lagi cuba untuk menghancurkan kerajaan ini, tetapi tidak berjaya. Deev dihalau, tetapi, atas sedikit ikhsan, Raja Tahumer menawarkan keampunan jika Deev mengajarkan dia sesuatu. Maka, Deev bersetuju, dan mengajarkan baginda cara untuk menulis. Selepas 30 tahun memegang tampuk pemerintahan, maka, baginda mangkat dan takhta itu diserahkan kepada anaknya, Jamshid. Maka terbinalah Tukht-e-Jamsheed, atau kota Persepolis yang tuanku duduk sekarang ini,” penasihatnya menamatkan cerita.
Raja Dara yang sebentar tadi mendengar hikayat yang diceritakan oleh penasihatnya, mengubah pandangannya ke arah kota Persepolis. Lalu ditenungnya kembali jauh kehadapan. Setelah mengambil nafas panjang dan menghelanya kembali, Raja Dara berkata,
“Wahai penasihatku yang bijaksana, ketahuilah kamu, ayahanda beta telah memerintah dengan begitu cemerlang sekali. Apabila kerajaan ini diserang oleh kerajaan Arab yang diketuai oleh Shaib dan 100,000 orang tenteranya, ayahanda beta berjaya mengatasinya, tiga hari tiga malam ayahanda beta berperang dengan mereka,”
“Pada pagi yang keempat, ayahanda beta berjaya menamatkan perang tersebut dengan membunuh Shaib. Segala kuda-kuda perang yang begitu baik sekali milik tentera Arab, berjaya dirampas dengan banyak sekali. Harta rampasan perang tidak ternilai banyaknya, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara,” sambung Raja Dara.
Tambahnya lagi, “Semasa pemerintahan ayahanda beta juga, segala keadilan berjaya ditegakkan. Segala permasalahan rakyat diselesaikannya. Hubungan baik antara raja dan rakyatnya diutamakan. Sekalian rakyat begitu senang dan sayang akan Raja Darab selama pemerintahannya yang hampir 34 tahun.”
Beliau kemudian terdiam dan termenung panjang melihat kota Persepolis. Beliau secara tiba-tiba menundukkan wajahnya. Riak wajahnya kelihatan seperti di dalam kesedihan. Melihatkan rajanya yang sedang kesedihan, si penasihat bergegas menghampiri Raja Dara dan memegang kedua-dua belah bahunya, seolah-olah faham akan perasaan beliau.
“Jikalau begitu kata tuanku, maka fahamlah patik apa yang tuanku fikirkan. Usahlah risau tuanku. Pada usia tuanku yang begitu muda, 22 tahun (hikayat lain menyatakan 43 tahun), tuanku sudah mewarisi sebuah kerajaan yang begitu gah dan masyur sekali di atas muka bumi ini. Bagi patik dan sekalian rakyat, kami tidak pandang pada usia tuanku. Apa yang kami lihat, adalah darah Raja Darab yang mengalir di dalam badan tuanku. Patik yakin tuanku, yang tuanku akan memerintah kerajaan ini dengan baik sekali, seperti mana ayahanda tuanku” pujuk penasihat.
Mendengarkan kata-kata penasihatnya, Raja Dara menitiskan air matanya kerana terharu dengan kata-katanya, lantas memeluk penasihatnya. Beliau kini mendapat semangat yang baru, dan berazam untuk memerintah kerajaan Parsi dengan baik sekali, seperti mana ayahanda beliau. Beliau kemudian melepaskan pelukannya dan tersenyum, lalu berlalu dari balkoni tersebut.
Pada waktu pagi yang indah keesokkan harinya, burung-burung berkicauan, bernyanyi-nyanyi dengan suara yang merdu, sinaran mentari yang tidak terlalu panas, dan tidak pula sejuk, terlihat segala rakyat meneruskan aktiviti sehariannya seperti biasa. Yang mana menternak, mereka membawa haiwan ternakan ke padang ragut. Yang bertani, mereka sibuk bercucuk tanam, mengairi tanaman, dan menabur baja bagi menyihatkan lagi tanaman. Yang mana berniaga, mereka menguruskan perniagaan mereka dengan amanah sekali, segala urus niaga dijalankan dengan penuh teliti, supaya kedua-dua belah pihak berpuas hati. Suri rumah pula sibuk mengemas rumah dan menyediakan santapan untuk makan tengah hari.
Tetapi, berlainan pula di balai penghadapan istana Raja Dara. Suasana yang tadi hening, tiba-tiba bertukar menjadi riuh dan kecoh seketika. Suasana tersebut berlaku apabila utusan Raja Dara yang bertugas membawa titah, telah kembali dari tugasnya, dan datang mengadap dibalai penghadapan sekembali dari tugasnya. Dengan pantas, Raja Dara bertanya kepada utusan tersebut,
“Wahai utusan, khabarkan kepada beta, apa perkhabaran dari kerajaan Macedonia. Tidak sabar beta ingin mendengarnya. Katakan kepada beta,”
Utusan tersebut berdiam seribu bahasa. Tidak berkata walau sepatah perkataan pun. Dia hanya bertunduk dan kelihatan seperti ketakutan.
“Wahai utusan, apa yang kamu diamkan? Kamu seperti ketakutan beta lihat. Ayuh, katakan kepada beta, usah takut. Baikkah, burukkah perkhabarannya,” pujuk Raja Dara, melihatkan utusannya yang dilihatnya sedang ketakutan.
Mendengarkan pujukan Raja Dara, lantas utusan itu mengongakkan wajahnya menghadap Raja Dara. Dia menghela nafas panjang. Terlihat peluh dingin menitis dari dahinya.
“Ayuh, katakan. Usah takut,” paksa Raja Dara.
“Ampunkan patik tuanku. Adalah menjadi tugasan patik membawa titah tuanku menghadap Raja Iskandar di Macedonia,” Utusan tersebut memulakan bicara.
“Sesungguhnya tuanku, patik telah berjaya sampai ke Macedonia dan menghadap Raja Iskandar untuk menyampaikan titah tuanku, tetapi ...,” sambung utusan tersebut, tetapi terberhenti seketika.
Utusan tersebut menundukkan wajahnya kembali. Peluh dingin mula membasahi dahi utusan tersebut.
“Tetapi apa? Melihatkan perlakuanmu, sepertinya ada berita buruk yang kamu bawa dari Macedonia,” teka Raja Iskandar.
Utusan tersebut mendongakkan wajahnya kembali menghadap Raja Dara.
“Tuanku, sesungguhnya, zaman telah berubah. Seperti yang kita sedia maklum, Raja Failakus telahpun mangkat, dan diganti oleh anaknya, Raja Iskandar. Jika mana ketika zaman pemerintahan Raja Failakus, kerajaan Macedonia dan seluruh Yunani tunduk kepada kita, membayar ufti kepada kita setiap tahun, kini, ia telah berubah sejak Raja Iskandar mengambil alih tempat ayahandanya,” kata utusan memulakan ceritanya.
 “Teruskan perkhabaranmu wahai utusanku,” kata Raja Dara terkejut sedikit.
Wajah utusan tersebut mulai berkerut, menandakan yang dia ingin menceritakan khabar buruk yang dia ingin sampaikan.
“Ampunkan patik tuanku. Perkhabaran ini menyebabkan tuanku murka, kerana ini bukan perkhabaran yang tuanku inginkan. Tuanku, patik membawa balik titah balas dari Raja Iskandar menghadap tuanku. Ketahuilah tuanku, bahawasanya, Raja Iskandar enggan membayar wang ufti seperti mana yang tuanku titahkan. Beliau dan seluruh Yunani enggan tunduk kepada tuanku lagi. Ketahuilah tuanku, seluruh kerajaan sekitar Macedonia telah beliau langgar, dan kini menjadi jajahan takluk beliau. Jumlah bala tenteranya tidak terperi ramainya. Maka oleh itu, beliau enggan mengakui kekuasaan kerajaan Parsi ke atas Yunani,” sambung utusan tersebut.
“Tuanku, bukan itu sahaja. Ia tidak berakhir hanya dengan keengganan Raja iskandar membayar ufti, dan enggan mengakui kekuasaan tuanku, beliau mengistiharkan perang ke atas kerajaan Parsi, tuanku. Beliau berjanji, akan melanggar seluruh kerajaan di atas muka bumi ini. Beliau akan mengembara bersama-sama bala tenteranya ke arah matahari hidup tuanku,” kata utusan tersebut menyambung perkhabarannya.
“Menurut penglihatan patik, tuanku, Raja Iskandar telah pun mengumpulkan bala tenteranya dan bersedia untuk melanggar kerajaan ini, tuanku. Mereka telahpun bergerak dan menuju ke mari. Ampunkan patik tuanku, itu sahaja perkhabaran dari patik ini,” kata utusan tersebut mengakhiri perkhabarannya.
Mendengarkan perkhabaran dari utusan tersebut. Raja Dara tersentak dan terdiam seketika. Wajahnya berkerut memikirkan sesuatu. Suasana di balai penghadapan yang tadi terdiam seketika mendengar perkhabaran dari utusan tersebut, bertukar menjadi huru hara. Para menteri tidak senang duduk, bercakap-cakap dan berbincang sesama mereka. Ada yang tinggi suaranya, ada yang berbisik sesama sendiri. Tidak kurang juga, ada yang bertekak sesama mereka.
“Diam semua!” herdik Raja Dara, membuatkan suasana di balai penghadapan menjadi hening seketika. Para menteri duduk kembali. Keadaan menjadi terkawal seketika.
“Wahai penasihatku yang bijaksana, khabarkan kepada beta, adakah bala tentera kita sudah bersedia untuk menghadapi bala tentera Raja Iskandar, dan adakah peilihan lain untuk beta?” tanya Raja Dara kepada penasihatnya.
“Ampunkan patik tuanku. Menurut perkiraan patik, tuanku, kita belum bersedia untuk menghadapi serangan bala tentera Raja Iskandar, kerana perkara ini terjadi secara mengejut. Menurut perkiraan patik lagi, kita juga tiada pilihan lain, kecuali berperang dengan mereka, kerana mereka sudahpun mara ke sini, tuanku. Nampaknya, Raja Iskandar nekad mahu berperang dengan kita, memandangkan reputasi kerajaan Parsi ini, menyerah kalah sebelum berperang bukan pilihan kita, tuanku. Tetapi, terpulanglah kepada bicara tuanku, bagaimana hendaknya,” jawab penasihat Raja Dara.
Mendengarkan perkiraan dari penasihatnya, Raja Dara terdiam kembali, tetapi kali ini beliau sudah bersedia untuk membuat keputusan.
“Dengarlah para menteri dan para pegawai dan rakyat yang berada di sini, ketahuilah kamu semua, atas desakan Raja Iskandar dan bala tentera Yunaninya, telah sampai masanya untuk kita berperang dengan mereka, jika itu yang mereka mahukan,” titah Raja Dara.
“Kita tidak akan sesekali berundur, kerana, jika mana kita berundur, kita akan memalukan datuk moyang kita, Raja Cyrus, yang telah berkali-kali berjaya mengatasi serangan kerajaan luar, dan mereka juga telah berjaya menawan kerajaan di sekitar Parsi, menjadikan Parsi sebuah empayar yang besar. Oleh itu, janganlah kita sesekali tunduk kepada sesiapa yang ingin menyerang kerajaan kita ini. Ayuh, kita sama-sama menyahut cabaran Raja Iskandar serta bala tenteranya!” kata Raja Dara mengakhiri titahnya.
Keadaan di balai pengahadapan menjadi bingit dengan sorakan para menteri, pegawai dan rakyat yang berada di sana. Mereka masing-masing melaungkan kata-kata sokongan mereka kepada Raja Dara. Raja Dara tersenyum dan semangatnya berkobar-kobar ingin berperang untuk mengatasi ancaman Raja Iskandar serta bala tenteranya.
“Mengikut perkiraan aku, rasanya utusan Raja Dara itu telah sampai ke Persepolis hari ini, mesti Raja Dara dan para menterinya sedang menjerit ketakutan akibat hasrat aku untuk melanggar empayar Parsi,” bisik hati Raja Iskandar di dalam hatinya.
Beliau sedang duduk di tepi tingkap, di dalam bilik peraduannya. Tiba – tiba, seorang pengawal istana mengetuk pintu dan bergegas masuk ke dalam bilik peraduan.
“Ampun tuanku, ampunkan patik kerana ketidak sopanan patik masuk tanpa izin tuanku. Ini kerana, ada perkara yang sangat mustahak untuk patik sampaikan kepada tuanku,” sembah pengawal tersebut.
“Ha, silakan, katakana wahai pengawalku,” izin Raja Iskandar.
“Tuanku, sebentar tadi, patik telah diberitakan bahawa ada pemberontakan di wilayah kekuasaan tuanku berlaku,” pengawal tersebut menyampaikan berita.
“Di wilayah mana? Katakan di mana?” desak Raja Iskandar.
“Thebes, Athen, Thessaly, dan puak Tracian di wilayah utara Macedonia. Berita kematian ayahanda tuanku, Raja Failakus, telah tersebar, dan mereka mula memberontak kerana tidak mahu lagi bernaung di bawah wilayah tuanku,” jelas pengawal tersebut.
“Baiklah, sampaikan arahan beta kepada panglima. Beta mahukan 3000 askar berkuda. Beta akan mengepalai sendiri angkatan ini, dan hancurkan pemberontakan tersebut,” titah Raja Iskandar.
Maka bertolaklah Raja Iskandar bersama 3000 askar berkudanya untuk menghancurkan pemberontakan di wilayah itu keesokkan harinya.
Dari kejauhan, kelihatan dua gunung yang berdiri gagah yang diselimuti awan tebal, iaitu Gunung Olympus dan Gunung Ossa yang memisahkan kerajaan Macedonia dan Thessaly. Menurut mitos Yunani, di gunung inilah bersemayam dewa – dewa mereka seperti Zeus dan lain – lain.
“Ampun tuanku, cuba tuanku lihat di laluan tengah – tengah antara dua gunung itu. Kelihatan seperti ada orang sedang berehat. Dari telitian patik, mereka bukan orang sebarangan,” lapor seorang askarnya kepada Raja Iskandar.
“Kamu benar. Beta lihat, menurut cara pakaian dan zirah mereka, mereka adalah askar pemberontak Thessaly. Mereka kelihatan bersedia dan nekad untuk menyerang kita,” jawab Raja Iskandar.
“Apa yang perlu kita lakukan tuanku?” tanya askar itu lagi.
“mmm… Jika kita teruskan sahaja, kita akan berdepan dengan mereka. Satu pertarungan yang dasyat akan berlaku. Beta tidak mahu mensia – siakan askar berkuda beta hanya untuk menghapuskan mereka,” jawab Raja Iskandar.
Sambil menarik nafas, Raja Iskandar menyambung lagi,
“Cuba kamu lihat, ketinggian Gunung Olympus adalah menghampiri 10,000 kaki. Jika kita lihat pada Gunung Ossa, ketinggianya cuma 6,500 kaki sahaja. Jika kita daki Gunung Ossa, kita boleh muncul di belakang askar Thessaly pada hari esok. Beta yakin, mereka akan terkejut dan tidak akan bersedia. Jika mereka melawan, nescaya, hancurlah semua askar mereka, dan askar kita pula akan selamat,” saran Raja Iskandar.
Maka, Raja Iskandar dan para askar berkudanya mengelak dari bertembung dengan askar Thessaly dengan mendaki Gunung Ossa, tanpa askar tersebut ketahui, sepanjang malam.
Panglima Thessaly terjaga dari tidurnya, apabila beliau merasakan ada haba panas dan cahaya yang terang menyapa ke muka beliau. Perlahan – lahan beliau membuka matanya. Kadang – kadang beliau menutupkan kembali matanya kerana silau. Setelah beliau berjaya membuka matanya, alangkah terkejut beliau apabila mata pedang sudah berada di hadapan matanya.
“Hai sang pemberontak, puas kamu tidur malam tadi? Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku benam mata pedang ini di kerongkong kamu!” gertak Raja Iskandar.
“Hah, Raja Iskandar. Ampun tuanku. Kasihanilah patik tuanku. Jangan bunuh patik. Patik menyerah kalah. Ambillah apa sahaja yang tuanku mahukan, tetapi ampunkanlah patik dan pengikut – pengikut patik. Patik akui, yang patik mengikutkan hati sangat. Patik janji, patik akan setia dengan tuanku dan Macedonia,” rayu panglima dari Thessaly itu.
“Jika demikian, beta terima kamu menyerah kalah. Beta mahu askar berkuda kamu bergabung dengan askar  berkuda beta, untuk menghapuskan pemberontak yang lain,” titah Raja Iskandar.
Maka, panglima itu menerima titah Raja Iskandar, dan bergabunglah mereka dengan tentera baginda, dan meneruskan perjalanan ke arah selatan, iaitu Peloponnese. Di sempanjang perjalanan kempen itu, baginda berhenti di Thermopylea, sebelum meneruskan perjalannya ke Corinth.
Di Athen, para pahlawan yang terkenal dengan keperwiraan mereka, sedang kelam kabut apabila mengetahui yang bala tentera Raja Iskandar sedang menghampiri mereka.
“Panglima, kedatangan Raja Iskandar ini bukan main – main. Kelihatan begitu ramai askar berkuda yang dibawanya. Kelihatan juga askar berkuda dari Thessaly. Berkemungkinan, pemberontakan dari Thessaly telah berjaya dipatahkan!” sampai seorang askar kepada panglimanya.
“Aku tahu. Askar tersebut menyerah kalah apabila Raja Iskandar dan bala tenteranya muncul dari belakang pada waktu pagi. Taktik Raja Iskandar sangat licik. Lebih baik kita menyerah kalah sahaja, dari berperang dengan baginda,” saran Panglima Athen.
Maka, apabila Raja Iskandar tiba di Athen, tidak banyak halangan yang berlaku, dan Athen menyerah kalah. Pemberontakan dapat dipatahkan, dan rakyat Athen diampunkan.
Inilah dia permulaan bagi kempen peperangan antara Kerajaan Achaemenid, Parsi. Sebelum baginda memasuki wilayah Asia, baginda ingin mengukuhkan dulu kedudukannya di sempadan utara. Pada musim bunga tahun berikutnya, baginda menjalankan lagi kempen untuk menghapuskan pemberontakan.
Bermula dari Amphipolis, baginda menjejakkan kakinya ke Gunung Heamus, lalu mengalahkan tentera Tracian. Kemudian, baginda ke Sungai Lyginus, mengalahkan tentera Triballi. Selama tiga hari kemudia, baginda dan bala tenteranya berjalan menuju ke Sungai Danube, dan menyeberanginya pada waktu malam, lalu bertempur dengan tentera Getea.
Akhir sekali, baginda menuju ke barat apabila mengetahui yang Raja Cleitus dari Illyria, dan Raja Glaukias dari Taulanti, telah berpaling tadah dan memberontak. Maka dilanggarnya kedua negeri tersebut, dan larilah raja – raja itu menyelamatkan diri. Dengan kemenangan ini, kedudukannya sempadan disebelah utara telah kukuh. Tetapi, sekali lagi Thebes dan Athen cuba untuk memberontak. Setibanya baginda ke sana, semua menyerah buat kali terakhir, kecuali Thebes. Maka amuklah Raja Iskandar dan bala tenteranya di Thebes. Habis semua dibakar, dihancurkan. Keadaan di Thebes mengerikan. Mereka seperti singa yang dahagakan darah. Dengan itu, maka hancurlah negeri Thebes.
BAB 4 : MERISIK KEKUATAN RAJA DARA DENGAN HELAH
“GROOOOOOMMM!!!”
Bunyi guruh yang amat kuat yang datang entah dari mana mengejutkan Raja Iskandar dari mengimbau kenangan beliau ketika berperang dengan Raja Dara.
“Heh, Sungai Danube. Perkara yang sama yang aku lakukan. Waktu malam yang sama, tetapi kali ini, dengan ribut monsun yang sedang mengganas. Tidak sia – sia aku melanggar puak Gatea. Pengalaman itu yang membuatkan aku terfikir untuk menyeberangi sungai Hydasphes untuk menyerang bala tentera Raja Porus,” bisik hati Raja Iskandar.
Bajunya basah kuyup. Kadang – kadang baginda meratakan air yang membasahi rambutnya yang panjang itu.
Suasana ketika itu masih lagi seperti kelam kabut, tetapi tidak di hati Raja Iskandar. Beliau amat tenang sekali. Sesekali, dilihatnya pasukan tentera keduanya yang berkhemah di posisi tengah, yang beliau tugaskan untuk mengelirukan tentera Raja Porus. Dibandingkannya pula dengan tentera Raja Porus yang berada diseberang pasukannya.
“Oh, masih tidak bergerak, perancanganku membuahkan hasil. Mereka telah tertipu dengan helahku,” bisik hati Raja Iskandar.
Beliau tersenyum sinis apabila teringatkan bagaimana beliau mempermainkan Raja Dara di kem milik tentera Parsi.
Ketika itu, ke dua-dua bala tentera telah bersemuka di Sungai Pinarus. Lokasi sungai ini berdekatan dengan bandar Issus, di selatan Anatolia. 2 batu dari teluk Issus. Ia dikelilingi oleh gunung ganang. Di lokasi seperti ini, ia tidak memberikan sebarang kelebihan kepada Raja Dara yang mempunyai askar yang ramai. Jika berperang secara berdepan sekalipun, dengan kawasan peperangan yang agak terhad, hanya sebahagian sahaja yang dapat diturunkan oleh baginda untuk berperang.
“Engkau memang bijak wahai Raja Iskandar. Ia bukan kebetulan kita bertembung di sini. Dengan keadaan geografi seperti ini, kamu telah menyedari lebih awal bahawa aku tidak akan mampu menurunkan bala tenteraku sepenuhnya. Di hadapan sungai, di sekitar dikelilingi gunung,” bisik hati Raja Dara.
Di seberang sungai Pinarus, kelihatan Raja Iskandar yang sedang tersenyum menyaksikan bala tentera Raja Dara yang tersepit dikelilingi gunung.
“Hai Raja Dara, engkau telah jatuh ke dalam perangkap ku. Nah sekarang, tunjukkan kepadaku, bagaimana engkau mahu menurunkan semua bala tenteramu itu? Hahaha…” bisik hati Raja Iskandar sambil ketawa.
Seperti biasa sebelum peperangan, salah satu pihak akan menghantar utusan untuk bersemuka dengan Jeneral atau Raja pihak lawan di kem.
Waktu ketika itu ialah waktu malam, agak gelap kerana bulan tidak kelihatan untuk menyinari malam itu. Raja Iskandar ketika itu, telah bersetuju untuk menghantar wakil utusannya ke kem Raja Dara. Ditenungnya dari jauh kem tersebut sambil berfikir, siapa yang patut dihantarnya. Beliau tidak boleh menghantar calang-calang orang untuk berhadapan dengan Raja Dara, lagi-lagi ketika peperangan ini.
“Raja Dara itu boleh tahan juga liciknya. Jika tidak benar – benar bijak, utusan itu akan ditipu, dan tidak mendapat maklumat selengkapnya. Tanpa maklumat yang lengkap, peperangan ini akan jadi sia – sia. Bala tenteraku akan kalah dan musnah!” bisik hati Raja Iskandar.
Beliau kemudian masuk ke dalam khemah miliknya dan memanggil para panglimanya serta penasihatnya, untuk mendapatkan pandangan masing - masing.
Setelah semua masuk, Raja Iskandar memulakan bicaranya. “Adakah kamu semua tahu, apa tujuan beta memanggil kamu semua?”
“Ampun tuanku, menurut patik, jika dalam keadaan ini, pasti ada perkara penting ingin tuanku sampaikan. Jika benar, adakah ia berkaitan dengan pemilihan utusan untuk di hantar untuk menghadap Raja Dara di kem nya?” jawab salah seorang yang hadir.
“Ya, benar. Adakah dikalangan askar kita yang bijaksana yang boleh dijadikan sebagai seorang utusan? Beliau mesti mampu memperdayakan Raja Dara, jika tidak, sama ada beliau akan mati, atau dia yang akan diperdaya oleh Raja Dara nanti,” tanya Raja Iskandar.
“Ampun tuanku, menurut pandangan patik, tiada siapa yang lebih bijak dan selicik itu di kalangan askar kita. Kecuali tuanku sendiri,” ujar seorang panglima.
“Betul!” hadirin yang lain bersetuju.
Raja Iskandar termagu sebentar mendengarkan kata – kata para hadirin. Baginda berfikir sejenak dan membuat keputusan,
“Mmmm... Jika begitu kata kamu semua, beta telah pun membuat keputusan. Bagi menjayakan misi ini, beta memilih diri beta sendiri untuk berhadapan dengan Raja Dara di kemnya,”
Suasana di khemah Raja Iskandar tiba-tiba menjadi riuh sebentar mendengarkan keputusan Raja Iskandar itu. Masing-masing seperti tidak percaya dengan keputusan tersebut. Manakan tidak, jika sesuatu terjadi ketika pertemuan itu, siapa yang akan mengetuai bala tentera ini.
Tiba-tiba, salah seorang dari hadirin bersuara,
“Ampun tuanku. Mengapa tuanku menetapkan sedemikian. Jika terjadi apa-apa pada tuanku, siapa yang akan mengetuai bala tentera ini untuk berhadapan dengan bala tentera Raja Dara? Kami amat menyayangi tuanku dan amat memerlukan tuanku untuk memimpin kami. Biarlah salah seorang dari kami pergi, jika terjadi apa-apa, sekurang-kurangnya, tuanku masih ada untuk mengepalai serangan ini,” soal beliau kepada Raja Iskandar.
Mendengarkan soalan tersebut, Raja Iskandar tersenyum. Beliau sudah menyangka yang soalan seperti ini akan diajukan. Beliau tahu yang para panglimanya sangat menyayangi beliau. Beliau menarik nafas panjang dan menghembuskannya kembali.
“Begini, beta sudah menyangka yang kamu semua tidak akan bersetuju dengan keputusan beta. Beta tahu yang kamu semua amat memerlukan beta, dan bukan kamu semua tidak layak untuk menggalas tugas ini, tetapi biarlah beta pergi sendiri menghadap Raja Dara, dan berseorangan” jawab Raja Iskandar.
“Ampun tuanku, apa maksud tuanku berkata demikian?” sampuk salah seorang panglimanya.
“Beta tidak bermaksud apa-apa. Sudah beta katakana tadi, jika tidak mahu diperkotak katikkan oleh Raja Dara, utusan tersebut mestilah licik. Nah, kamu katakana yang beta lebih bijak dan licik dari baginda, biarlah beta yang pergi. Lagipun, beta juga mahu mengenal sendiri lawan beta, siapa beliau, bagai mana perwatakkan beliau. Perwatakan beliau melambangkan kepimpinan beliau dan cara beliau berperang. Dengan ini, mudahlah beta untuk mengatur serangan nanti,” jawab Raja Iskandar.
“Wahai para hadirin yang gagah perkasa dan bijaksana, keputusan beta adalah muktamad. Sebentar lagi beta akan bertolak ke khemah Raja Dara. Doakan beta berjaya,” titah Raja iskandar.
“Jika sedemikian titah tuanku, rasanya tidak perlulah tuanku pergi bersendirian. Izinkan salah seorang dari kami mengiringi tuanku. Jika terjadi apa-apa, bolehlah kami mempertahankan tuanku,” cadang salah seorang panglimanya.
Mendengarkan cadangan itu, Raja Iskandar tiba-tiba diam sebentar dan mengerutkan dahinya, kemudian beliau bersuara,
“Usahlah kamu ikut. Jika kamu ikut, ia hanya akan membebankan beta. Jika kamu semua lihat di luar, suasana amatlah gelap. Sesuai sekiranya beta ingin menyamar sebagai utusan, kerana dalam suasana ini, rupa beta akan menjadi samar-samar. Tambahan lagi, Raja Dara tidak mengenal akan beta kerana beliau tidak pernah berjumpa dengan beta. Jika terjadi apa-apa, mudahlah beta untuk melepaskan diri di dalam suasana begini. Jika salah seorang dari kamu ikut, perkara melepaskan diri akan menjadi sedikit sukar!” terang Raja Iskandar dengan tegas.
Mendengarkan penerangan dan ketegasan Raja Iskandar, mereka akur dengan keputusan itu. Masing-masing kemudian bersurai setelah diarahkan Raja Iskandar. Kemudia, beliau menanggalkan pakaian yang melambangkan beliau sebagai raja, dan menggantikan pakaiannya dengan yang lebih sederhana, seperti seorang utusan.
Beliau kemudia keluar dari khemah dan memandang ke arah kem Raja Dara dengan senyuman, lalu menutup kepalanya dengan serkup jubahnya. Beliau berjalan ke arah kem Raja Dara seorang diri. Baginda menggunakan jalan yang gelap gelita, supaya tidak disedari oleh pihak musuh. Sekali sekala, kakinya terlanggar batu dan baginda hampir nak tersungkur. Maklumlah, jalannya gelap. Hanya samar – samar sahaja permukaan tanah jalan. Andai ular lalu, sudah tentu dipatuknya kaki baginda. Setelah lama berjalan, maka beginda terlihat sinar disebalik batu – batu besar.
“Ha, sampai pun akhirnya. Tiada siapa yang perasan akan kehadiranku ini,” bisik hati baginda.
Setibanya beliau ke kem tersebut, beliau tercari-cari, yang mana satu khemah milik Raja Dara. Khemah seorang raja mana mungkin sama dengan perajurit lain, mestilah sedikit megah, melambangkan status bagindasebagai seorang raja.
Beliau berjalan dari satu khemah, ke khemah yang lain. Terlihat akan baginda, perajurit-perajurit Raja Dara, ada yang sedang berbual di hadapan unggun api sambil makan dan minum. Ada yang sedang mengasah pedang, bagi membuat persediaan, dan tidak kurang juga ada yang sedang tidur, mungkin keletihan kerana berkawad ke sini siang tadi.
Ketika sedang mencari khemah Raja Dara, Raja Iskandar sempat mengira bilangan perajurit milik Raja Dara yang turut serta di dalam peperangan itu.
“Berdasarkan bilangan khemah, berkemungkinan, bilangan perajurit milik Raja Dara, tidak kurang dari 600,000 orang. 2 kali ganda dari bilangan perajurit milikku,” bisik Raja Iskandar di dalam hati.
Tiba-tiba, beliau terlihat sebuah khemah yang agak lain sedikit dari khemah yang lain. Di hadapannya, berdiri dua orang pengawal yang mengawal khemah tersebut. Beliau dengan pantas mendekati khemah tersebut.
Setibanya di khemah tersebut, beliau memperkenalkan dirinya sebagai seorang utusan dari Raja Iskandar kepada pengawal tersebut, lalu meminta izin untuk memasuki khemah bagi menghadap Raja Dara. Setelah berbincang seketika dengan rakannya, pengawal itu masuk sebentar ke dalam khemah.
“Tuanku, ada seorang utusan dari Raja Iskandar, meminta izin ingin menghadap tuanku,” pinta pengawal tersebut.
“Oh, jika begitu, izinkan beliau masuk,” ringkas jawab Raja Dara.
Pengawal itu tadi keluar dan berjumpa dengan Raja Iskandar, lalu menjemput beliau masuk menghadap Raja Dara.
“Wahai utusan Raja Iskandar, silakan masuk. Berhati – hati, jangan sampai kamu diperbodohkan oleh rajaku itu, hahaha,” ejek pengawal tersebut.
Baginda hanya tersenyum, lantas masuk ke dalam khemah tersebut. Kelihatan beberapa orang sedang duduk bersama Raja Dara. Berdasarkan pakaian mereka, mungkin mereka panglima yang berkhidmat dengan Raja Dara. Beliau merenung satu persatu panglima tersebut. Perkara ini mendatangkan ketidak senangan di kalangan mereka.
“Siapakah namamu wahai pemuda?” tanya Raja Dara.
Raja Iskandar segera memalingkan mukanya ke arah Raja Dara. Dia menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat dan tersenyum.
“Ampun tuanku. Patik hanyalah seorang pesuruh biasa sahaja tuanku. Tugas patik cuma membawa pesan sahaja. Tidak layak untuk diberi nama atau gelaran,” helah Raja Iskandar sambil tersenyum.
Mendengarkan kata-kata Raja Iskandar, bibir Raja Dara mengukirkan senyuman. Beliau dapat merasakan yang orang dihadapannya bukan orang biasa. Tambahan dengan auranya, gaya percakapannya seperti seorang bangsawan dan bahasa badannya yang tidak kekok, beliau dapat mengagak yang dia bukan calang-calang orang. Lantas Raja Dara mempersilakan Raja Iskandar duduk di kerusi hadapannya.
“Pengawal beta memberi khabar, yang kamu adakah utusan Raja Iskandar, benarkah sedemikian?” tanya Raja Dara.
Raja Iskandar mendiamkan diri. Beliau hanya merenung tajam ke arah Raja Dara. Beberapa kali Raja Dara bertanyakan soalan yang sama, tetapi tiada balasan dari Raja Iskandar.
“Barangkali, kamu ingin menguji kesabaran beta. Jika begitu adanya, kamu tidak akan berjaya wahai orang muda,” ujar Raja Dara.
Sungguhpun benar seperti dikata oleh Raja Dara, Raja Iskandar masih tenang, dan kadang kala sedikit tersenyum.
“Tidak mengapalah jika kamu tidak mahu membuka mulut. Beta tidak mahu membuang masa,” kata Raja Dara dalam nada yang sedikit marah.
“Sampaikanlah kata-kata beta ini kepada Raja Iskandar. Jika Raja Iskandar datang ke mari dengan hajat untuk berperang dengan beta, silalah, beta sudi berperang dengan beliau, jika menang, ambillah takhta kerajaan beta. Jika Raja Iskandar datang kemari dengan hajat hanya untuk menunjuk-nunjuk kekuatannya, ketahuilah, beta mempunyai 600,000 bala tentera, dengan keistimewaan kereta kuda berperisai yang tidak terkalah di medan perang,” titah Raja Dara.
“Melihatkan suasana di kem kamu, beta yakin, yang bala tentera Raja Iskandar hanyalah separuh dari jumlah bala tentera milik beta,” ucap Raja Dara, sambil menunjukkan wajah yang mengejek.
Wajah Raja Iskandar sedikit berubah mendengarkan kata-kata Raja Dara, mungkin kerana terkesan dengan kata-kata tersebut. Tetapi, Raja Iskandar tetap mengawal diri beliau dari melakukan tindakan-tindakan yang boleh menyebabkan tipu helah serta penyamarannya terbongkar. Raja Iskandar kembali tersenyum dan menunjukkan tanda-tanda yang beliau ingin berbicara.
“Patik hadir kemari membawa perutusan dari Raja Iskandar buat tuanku. Perdengarkanlah utusan ini,” kata Raja Iskandar memulakan bicara.
Raja Dara yang tadi mula hilang sabar, tiba – tiba terkejut apabila Raja Iskandar memulakan bicaranya.
“Teruskan,” jawab Raja Dara.
Raja Iskandar menarik nafas panjang dan memulakan bicaranya. Dengan karisma yang bersinar-sinar, baginda dengan lantang dan yakin bersuara,
“Ampun tuanku. Datangnya utusan dari Raja Iskandar dengan berbunyi begini; Dengar sini wahai Raja Parsi. Sesungguhnya, beta datang ke sini bukanlah hanya semata-mata bertujuan untuk melanggar dan menawan kerajaan ini sahaja. Tetapi beta hadir ke sini adalah untuk mempelajari sejarah, adat, serta undang-undang kerajaan Parsi melalui penelitian sendiri. Tujuan sebenar beta adalah untuk mengembara ke serata dunia. Berikanlah beta laluan serta kebenaran untuk tujuan ini, tiada apa yang beta pinta. Tetapi, jika mana Raja Parsi tidak membenarkan tujuan ini, dan berkeras mahukan peperangan, maka tiada apa yang bakal kamu dapat, kecuali peperangan dan kehancuran, dan beta tidak akan sesekali bertolak ansur lagi dengan kamu,” ucap Raja Iskandar menyampaikan titah, dengan lagak seorang utusan.
Mendengarkan kata-kata tersebut. Wajah Raja Dara tiba-tiba berubah menjadi serius, dan seperti sedikit terkejut. Beliau begitu kagum dengan kata-kata serta intonasi penyampaian tersebut. Sudah sahlah, yang duduk dihadapan beliau ini, bukan calang-calang orang.
“Tidak pernah aku berjumpa dengan orang seperti ini. Jika begini personaliti seorang utusan, tambahan dengan titah yang disampaikan, memang nyata, Raja Iskandar bukan orang sebarangan. Beliau mungkin seteru yang hebat,” bisik Raja Dara di dalam hati.
“Sekali lagi beta tanya, siapakah nama kamu. Apakah pangkat kamu di dalam bala tentera Raja Iskandar. Beta merasakan yang kamu bukan orang sebarangan. Dari lirik mata kamu yang begitu tajam, seolah-olah tiada apa yang kamu takutkan, malah seperti mencabar siapa-siapa yang bertentang mata dengan kamu,” pujuk Raja Dara kepada Raja Iskandar.
“Ampun tuanku, sudah patik katakan, yang patik ini cumalah pesuruh biasa Raja Iskandar,” Raja Iskandar memberikan helah.
“Sungguh beta tidak percaya, jika kamu mengatakan yang kamu hanyalah utusan biasa, kata-kata kamu amat meyakinkan, dan seperti lagak seorang bangsawan, adakah kamu Raja Iskandar?” tanya Raja Dara kebingungan.
Mendengarkan kata-kata Raja Dara yang menunjukkan seperti helahnya hampir terbongkar, dengan pantas Raja Iskandar menafikannya.
“Tuanku, patik bukanlah seperti yang tuanku rasakan. Raja Iskandar memiliki kerajaan yang besar. Dari berates ribu pahlawan yang gagah perkasa, sehinggalah hamba yang merendah diri ini, mereka berdiri teguh dibelakangnya. Adalah tidak wajar jika hendak membandingkan patik yang hina ini dengan Raja Iskandar yang mulia itu,” tegas Raja Iskandar, meyakinkan Raja Dara bahawa dia hanyalah utusan biasa.
Kagum dengan kata-katanya, Raja Dara tidak mampu untuk menahan untuk tersenyum lalu menyuruh pelayannya menghidangkan hidangan yang enak-enak kepada Raja Iskandar dan Raja Dara sendiri menghidangkan air minuman di dalam goblet emas (cawan berbentuk piala) tanda hormat dan kekagumannya kepada beliau.
“Silakan minum, ini sebagai tanda kekaguman beta kepada kamu,” jemput Raja Dara.
Sambil mengangguk, Raja Iskandar minum minuman itu sehingga habis, lalu menunjukkan cawannya yang sudah kosong itu. Pelayan meminta untuk diserahkan cawan itu kepadanya. Tetapi, Raja Iskandar enggan menyerahkan cawan tersebut kepada pelayan itu. Raja Dara terkejut dengan tindakan beliau.
“Wahai utusan yang mulia, kenapakah kamu enggan menyerahkan kembali cawan tersebut?” tanya Raja Dara.
Raja Iskandar tersenyum lalu memulakan helahnya yang berikut.
“Ampun tuanku. Jika mana berpandukan adat dan kebiasaan orang-orang Yunani, jika mana goblet emas diserahkan kepada utusan, ia akan secara automatik menjadi milik utusan tersebut, tuanku,” jawab Raja Iskandar dengan penuh helah.
Kagum dengan penjelasan ini, Raja Dara mengarahkan supaya pelayan menghidangkan minuman di dalam goblet emas yang lain. Jumlah goblet keseluruhannya adalah sebanyak 4 biji, dan Raja Iskandar berjaya menghabiskan kesemuanya.
Suasana meriah di dalam jamuan malam itu. Mereka yang menghadiri jamuan itu dihidangkan dengan bermacam-macam hidangan dan bermacam-macam bentuk hiburan. Raja Iskandar menikmati apa yang dihidangkan dan dipersembahkan dengan hati yang gembira. Tetapi, ini tidak bermakna yang beliau menjadi alpa dan lalai di dalam suasana ini, malah beliau menjadi semakin berwaspada ketika itu.
Tidak semena-mena, pintu khemah terselak, lalu masuklah seorang pegawai yang Raja Iskandar amat kenali. Pegawai itulah yang menjadi utusan Raja Dara tempoh hari. Pegawai itu sedikit terkejut, kerana dia mengenali Raja Iskandar yang menyamar sebagai seorang utusan. Dengan penuh berhati-hati, pegawai itu mendekati Raja Dara dan membisikkan sesuatu di telinga beliau.
“Ampun tuanku, yang duduk di hadapan tuanku, bukanlah seorang yang calang-calang. Jangan tuanku terkejut dengan perkhabaran ini. Bahawasanya, yang duduk di hadapan tuanku itu bukanlah seorang utusan, tetapi itulah seteru tuanku, Raja Iskandar,”
Terkejut dengan bisikan itu, dengan pantas Raja Dara menoleh ke arah Raja Iskandar. Wajahnya merah dan berkerut. Beliau terkejut bercampur marah setelah mengetahui yang dihadapan beliau itu adalah Raja Iskandar. Beliau merasakan yang dirinya telah diperdaya dan dipermainkan oleh Raja Iskandar.
Belum sempat Raja Dara membuka mulut, dengan pantas Raja Iskandar berdiri dan mencapai 4 biji goblet emas itu, lalu menyorokkannya di dalam jubahnya, dan berlari ke arah pintu khemah. Baginda berjaya keluar melarikan diri di celah-celah kegelapan malam yang pekat itu.
“Tangkap orang itu! Bawa dia ke sini hidup-hidup!” titah Raja Dara dengan lantang.
Semua pegawai yang hadir malam itu bergegas mengejar Raja Iskandar, tetapi, di dalam kepekatan malam itu, Raja Iskandar telahpun menghilangkan diri, lalu menghampakan semua yang mengejarnya tadi.
“Beta berasa tertipu dan berasa dipermainkan dengan kelicikan helah Raja Iskandar. Tidak sangka, yang baginda panjang akal, dan berjaya memperdayakan beta hidup-hidup, malah di dalam kawasan kem beta, dan di dalam khemah beta sendiri. Benarlah, Raja Iskandar tidak boleh dipandang enteng akan kebijaksanaannya. Beliau merupakan seteru yang tidak boleh dipermainkan. Mungkin beta telah bertemu buku dengan ruas,” keluh Raja Dara kepada penasihatnya.
Setibanya Raja Iskandar di khemah baginda sendiri, dengan pantas beliau menitahkan penasihatnya, Aristotle dan para panglimanya datang mengahadap beliau. Setelah semuanya tiba, beliau meletakkan ke empat-empat goblet emas itu di atas meja.
Terkejut melihatkan goblet emas itu, Aristotle bersuara,
“Ampun tuanku, di mana tuanku memperoleh cawan tersebut?”
“Jangan kamu terkejut wahai Aristotle. Inilah hasil helahku di khemah Raja Dara. Beta berjaya memperdayakan Raja Dara, di dalam khemah beliau sendiri, malah dihadapan beliau sendiri,” jelas Raja Iskandar.
“Dengar sini semua, bersiap sedialah kamu semua untuk berperang pada hari esok, kerana beta sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan Raja Dara dan bala tenteranya. Beta telah pun merancang strategi untuk berhadapan dengan mereka. Buatlah persediaan. Rehatlah secukupnya, kerana beta percaya, yang kamu akan memerlukannya esok,” titah Raja Iskandar.
Semua yang hadir bersorak keriangan, tanda yakin dengan kepimpinan Raja Iskandar. Teriakan mereka memecah kebuntuan malam, malah kedengaran sehingga ke khemah Raja Dara, membuatkan Raja Dara tidak senang duduk, kerana gusar memikirkan dan menantikan hari esok.




BAB 5 : MENTOR DAN MEMMON, PANGLIMA AGUNG PARSI DARI YUNANI DAN PEMBERONTAKAN AGUNG
Diwaktu ketika dinihari, Raja Dara duduk termenung melihat rembulan yang ketika itu agak suram, dilindungi awan mendung.
“Adakah hari esok, hari akan hujan?” fikirnya sejenak.
“Andai aku boleh menilik adakah hari esok akan hujan, alangkah lebih bagus aku menilik, adakah aku akan menang pada hari esok,” fikirnya lagi.
Raja Dara kelihatan agak runsing memikirkan peperangan yang akan berlaku esok. Apa perlu dia lakukan? Kegemilangan Empayar Parsi mesti dipertahankan. Mana mungkin beliau mahu melihat kerajaannya diinjak-injak oleh Raja Iskandar. Tetapi, bagaimana?
Dalam kerisauan itu, beliau dikejutkan oleh satu suara dari belakang, menyapa beliau.
“Ampun tuanku, sekiranya patik tidak salah, nampaknya seperti tuanku seperti gusar memikirkan sesuatu? Adakah tuanku gusarkan tentang kami yang gagal menghalang Raja Iskandar dari masuk ke perkhemahan kita?,” sapa beliau.
Tersedar dari lamunan beliau, Raja Dara menoleh ke belakang untuk melihat, siapa yang menyapa beliau.
“Oh, Jeneral. Beta ingatkan siapa tadi yang berani-berani menegur beta,” kata Raja Dara.
“mmmmm… bukan itu yang beta risaukan,” tambah Raja Dara.
 “Atau tuanku murka kerana kami gagal menangkap?” teka Jeneral itu lagi.
“Bukan juga,” jelas Raja Dara.
“Habis tu, apa yang tuanku gusarkan? Jika boleh, izinkan patik untuk mendengarnya, jika tuanku sudi untuk berkongsi dengan patik. Barangkali, patik boleh mencadangkan sesuatu jalan penyelesaian untuk perkara tersebut,” pujuk Jeneral itu lagi.
“Kamu masih ingat dengan Memnon?” Tanya Raja Dara.
“Maksud tuanku, Jeneral Memnon?” tanya Jeneral itu lagi.
“Ya, Jeneral Memnon. Alangkah baiknya jika beliau masih hidup. Beta yakin, beliau akan memberikan tentangan yang hebat kepada Raja Iskandar, seterusnya mengucar-kacirkan beliau. Pasti, Jeneral Memnon akan memeningkan kepala Raja Iskandar,” Jelas Raja Dara.
Kisah Memnon dari Rhodes ini agak pelik bunyinya apabila dihikayatkan. Rhodes, iaitu tempat lahirnya Memnon, merupakan sebahagian dari Yunani. Tetapi, beliau menjadi orang kepercayaan Raja Dara, dan diberikan pangkat Panglima Agung angkatan tentera Parsi, malah merupakan antara pencabar terhebat dalam peperangan pertama antara empayar Parsi dan Raja Iskandar.
“Wahai adindaku Memnon, sudikah engkau mengikuti aku untuk menyertai pemberontakan Artabazus menentang kekuasaan Raja Darab di Hellespontine Phrygia, iaitu sebahagian dari wilayah Parsi?” tanya Mentor kepada adiknya, Memnon.
“Ha? Biar benar ucapan kakanda ini? Sudah hilang akalkah si Artabazus itu? Kan dia diberikan kuasa sebagai pemerintah kawasan itu? Kenapa mesti dia memberontak? Dan kakanda pula, kenapa mesti menyertai pemberontakan itu? Tidak cukupkah Parsi memberi sebahagian tanah di wilayahnya, iaitu Troad kepada kakanda?” Memnon mempersoalkan tindakan abangnya yang mahu memberontak.
“Seperti yang engkau ketahui, ini bukan soal tanah, tetapi soal hubungan. Artabazus dan kita bukan orang lain, dia adalah bapa mertuaku sendiri, bapa kepada Barsine, isteriku,” jawab Mentor.
“Lagi, kamu sudah lupakah, yang kakanda kepada Artabazus, Ariobarzanes ditangkap dan dibunuh oleh Raja Bahman, ayahanda Raja Darab kerana memberontak semasa pemberontakan besar – besaran sebahagian wilayah empayar Parsi? Mungkin ini adalah rancangan untuk membalas dendam, dan ini masa yang sesuai kerana Raja Dara baru sahaja menaiki takhta,” teka Mentor bagi menjawab pertanyaan adiknya.
“Kena ingat lagi, kita adalah askar upahan yang tidak bernegara. Jika diarahkan berperang, maka berperanglah kita,” tambah Mentor lagi.
“Jika itu keputusan kakanda, maka, akan ku turuti jualah kemana engkau pergi,” Memnon bersetuju.
Maka, keesokkan harinya, bertolaklah mereka dan para askar upahannya ke Hellespontine Phrygia. Di sana, mereka bertemu dengan Artabazus dikediamannya.
“Akhirnya, sampai juga kamu semua. Ayahanda ingatkan, kamu semua tidak mahu menuriti perjuangan ayahanda,” sambut Artabazus.
“Anakanda dan adinda anakanda, Memnon, serta segala askar dibawah anakanda, sedia berkhidmat dengan ayahanda,” jelas Mentor kepada ayah mertuanya.
“Bagus! Dengar sini semua. Perjuangan kita bukan hanya untuk menentang dan membebaskan Hellespontine Phrygia dari empayar Parsi, tetapi juga menentang penguasa wilayah lain yang menyokong kepimpinan Raja Darab,” jelas Artabazus kepada semua yang hadir.
“Ayahanda, anakanda rasa, dengan kekuatan yang kita ada, belum tentu kita akan berjaya dalam perjuangan ini. Sudahlah Parsi itu besar, tambah lagi penguasa wilayah lain. Mustahil ayahanda,” soal Mentor.
“Jangan kamu risau, ayahanda telahpun mendapatkan bantuan dari Athen. Panglimanya, Cheres, akan datang membantu kita nanti bersama – sama askar upahannya nanti,” jelas Artabazus dengan yakinnya.
Setelah persiapan dilakukan tidak lama kemudian, pada suatu hari, Artabazus dikejutkan dengan kehadiran seseorang yang beliau kenali.
“Rasanya, aku seperti mengenali dirimu ini. Melihatkan perisai dan zirahmu, kamu orang Thebes bukan? Panglima Pammenes bukan?” soal Artabazus sambil terkejut.
“Benar katamu wahai Artabazus. Aku adalah Pammenes. Aku dihantar oleh pemerintah Thebes untuk berjuang bersamamu,”
“Bagus. Bagus. Bagus….” ucap Artabazus sambil memeluk Pammenes.
“Aku hadir bersama dengan 5000 orang askar untuk membantu,” ujar Pammanes memberitahu jumlah askar yang mengikutinya.
“Jumlah yang bagus. Tambah dengan askar Mentor dan Memnon, dan juga Cheres, kita sudah benar – benar kuat, Raja Darab tidak akan memperoleh kemenangan, baginda akan tunduk dengan pemintaan kita nanti,” ujar Artabazus kegembiraan.
Maka, tibalah hari yang ditunggu – tunggu. Tentera Raja Darab telah tiba untuk mematahkan pemberontakan. Peperangan pun berlaku. Suasana medan peperangan sangatlah bingit. Teriakan para pahlawan di kedua – dua belah pihak sangat mengerikan seperti bunyi guruh yang membelah bumi. Pedang bertemu pedang. Anak panah menghujani setiap penjuru medan perang seperti hujan ribut. Debu tebal yang berterbangan menutupi ruang angkasa. Sinar mentari tidak dapat menembusinya, menjadikan suasana sedikit gelap. Darah dari pahlawan yang gugur membasahi bumi.
Setelah lama berperang, maka keputusan berpihak kepada Artabazus. Mereka memenangi perperangan tersebut. Tidak lama kemudian, sekali lagi bala tentera Raja Darab tiba untuk mematahkan pemberontakan tersebut. Peperangan yang dasyat berulang. Akhirnya, sekali lagi kemenangan berpihak kepada Artabazus. Kemenangan disambut dengan keraian yang sangat meriah.
Tetapi, ibarat kata orang – orang tua, langit tak selalu cerah. Akhirnya, atas arahan Raja Darab, pemberontakan mereka berjaya dipatahkan Autophradates dan askarnya.
Di dalam pergelutan untuk melepaskan diri itu,
“Ayahanda! Anakanda tak boleh meninggalkan ayahanda di sini. Mari kita berundur terlebih dahulu, kita kumpulkan kembali kekuatan dan buat perancangan baru!” jerit Mentor kepada bapa mertuanya.
“Usah risaukan ayahanda. Bawa isterimu, Barsine, serta adinda mu, Memnon, berundur dari sini. Ayahanda akan bertahan sementara kamu semua berundur.
“Tapi ayahanda….” ucap Mentor yang ragu – ragu.
“Ini adalah arahan! Tiada tapi – tapi. Pergi dari sini!” gertak Artabazus.
Tanpa melengahkan masa, mereka semua dengan segera beredar dari situ, meninggalkan Artabazus yang bertahan di hadapan. Dari kejauhan, kelihatan Artabazus menghayun – hayunkan pedangnya bagi menetak musuh yang mencabarnya. Sekali sekala, beliau menahan tetakan pedang musuh dengan perisainya. Akhirnya, beliau berjaya dijatuhkan oleh Autophradates yang tiba – tiba meluru k earah beliau dengan pantas. Pedang Autophradates yang bersinar diacukan keleher, membuatkan beliau menyerah kalah. Kemudian, Artabazus dibangunkan dan dibawa pergi dari situ sebagai tawanan. Barsine menangis teresak – esak dan cuba untuk berlari ke arah ayahnya, tetapi dihalang oleh suaminya, Mentor. Mereka berlalu dari situ dengan perasaan yang sangat kecewa.
“Setinggi – tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” Autophradates berkata kepada Artabazus.
“Engkau memang pengkhianat bangsa! Tuih!” jerit Artabazus sambil meludah ke arah Autophradates.
“Aku hanya menjalankan tugasku sebagai seorang Jeneral kepada Raja Darab, aku bukan pengkhianat!” tegas Autophradates.
“Darah yang mengalir di dalam tubuh badanmu itu merupakan darah orang Yunani. Tidak malukah engkau kepada nenek moyangmu nanti? Apa yang kamu ingin katakan jika berjumpa dengan mereka di alam barzakh nanti?” ugut Artabazus.
“Aku….” kelihatan Autophradates sedikit tersentak dengan kata – kata Artabazus.
“Aku dengan bangganya menangkap dan mencabut nyawa bangsaku yang berusaha untuk membebaskan diri dari penjajah Parsi? Aku dengan sepuas hati menghirup darah bangsaku sendiri. Aku bangga berkhidmat dengan Raja Darab, si raja Parsi itu? Berani kamu katakan sedemikian di hadapan nenek moyang mu?” gertak Artabazus lagi.
“Aku tegaskan, aku hanya menjalankan tanggung jawab aku!” herdik Autophradates kepada Artabazus, lalu menghentak tengkuknya dengan hulu pedang. Artabazus terjelepuk jatuh ke tanah lalu pengsan.
Malam itu, suasana agak tenang. Bulan bersinar dengan gemilangnya. Bintang – bintang bertaburan. Askar – askar semua telah tidur, mungkin akibat keletihan, cuma dua tiga orang sahaja yang masih bangun untuk berkawal di sekitar kem.
Autophradates membelek belek pedangnya yang tajam itu. Beliau seolah – olah mengira sesuatu. Kemudian, beliau termagu seperti ayam berak kapur. Tidak lama selepas itu, beliau menghela nafas panjang, bangun, capai botol yang berisi air, lalu berlalu ke suatu khemah. Ada dua orang menjaga pintu khemah itu, dan beberapa lagi berlegar – legar di luar. Ketat sungguh kawalan khemah tersebut. Setelah melihat Autophradates, pengawal yang mengawal pintu khemah mempersilakannya masuk. Beliau bergegas masuk, dan mencampakkan botol berisi air itu kepada orang yang terikat di tiang, di tengah khemah.
“Minum air ni orang tua bodoh!” gertak Autophradates.
Orang tersebut tidak lain dan tidak bukan, Artabazus. Beliau kelihatan tidak terurus. Mukanya kotor dan hitam, penuh dengan debu tanah. Bajunya berkumal, koyak, dan masih ada kesan darah.
“Bagaimana aku mahu minum? Tanganku masih terikat di tiang ini,” Artabazus memerli Autophradates.
Autophradates kemudian menghampiri Artabazus, lalu membuka ikatan yang mengikatnya. Artabazus dengan pantas mengambil botol air tersebut dan minum.
“Kenapa baik benar hatimu melepaskan aku dan memberiku air? Tidak takutkah aku melarikan diri?” ujar Artabazus.
“Aku yakin, dengan kawalan di sekitar ini, dan tubuhmu yang tidak bermaya, mana mungkin engkau akan melarikan diri,” jawab Autophradates.
“Habis itu, apa yang engkau mahukan dariku?” tanya Artabazus.
“Aku terkesan dengan kata – kata yang kamu lemparkan semasa aku menangkapmu tempoh hari. Aku tidak mahu nenek moyangku berasa terhina dengan diriku ini. Pedangku telah banyak membunuh bangsaku sendiri. Kata – katamu benar wahai orang tua,” jawab Autophradates sambil menitiskan air mata.
“Tujuan aku kemari, untuk melepaskan engkau. Sekarang, ambil pedang ini, dan pergi engkau dari sini. Tidak jauh dari sini, ada hutan, selepas engkau keluar dari khemah ini, berlarilah engkau ke sana. Dalam suasana yang gelap, belum tentu orang – orangku akan melarikan diri,” cadang Autophradates.
“Engkau jangan jadi bodoh. Raja Darab akan menghukum kamu nanti. Kamu akan mati. Oleh itu, ikutlah aku lari dari sini, kita sama – sama berjuang menentang Raja Darab,” tawar Artabazus.
Setelah berfikir panjang, Autophradates bersetuju dan keluar dari situ. Oleh kerana terkejut dengan Autophradates yang menyerang pengawal pintu khemah, pengawal yang lain terpaku seperti patung. Dengan pantas, Autophradates dan  Artabazus melarikan diri ke arah hutan yang berdekatan dengan khemah tadi.
Setelah beberapa hari berjalan, maka tibalah mereka berdua di suatu kawasan perkhemahan. Melihatkan cara orang – orang di situ berpakaian, mereka adalah askar yunani. Di celah celah askar tersebut, kelihatan Barsine yang sedang membawa pakaian yang baru dibasuh di sungai yang berdekatan.
“Barsine! Barsine! Anakandaku, Barsine!” jerit Artabazus.
Barsine terkejut kerana beliau sangat mengenali suara itu. Manakan tidak, suara itulah yang menemainya sejak dari dia mula – mula lahir ke dunia ini, sehinggalah dewasa. Barsine menoleh ke arah suara itu, dan menitiskan air matanya. Bakul pakaian yang dibawanya terlepas ke tanah, dan beliau terus lari mendakap ayahnya.
Kemudian, Mentor keluar dari khemahnya untuk melihat apa yang berlaku diikuti oleh Memnon. Mereka bergegas mendapatkan Artabazus dan memeriksa kalau kalau ada kecederaan parah di tubuh badan Artabazus. Memnon menghunuskan pedangnya apabila beliau terlihat Autophradates di belakang Artabazus, namun Artabazus menghalangnya dari berbuat demikian, lantas menceritakan apa yang berlaku dan bagaimana Autophradates membantunya melarikan diri. Mereka bersorak keriangan dan malam itu diadakan keraian bagi meyambut Artabazus yang berjaya pulang.
Pagi itu, mereka semua meneruskan perjalanan ke Pella, ibu kota Macedonia bagi mendapatkan  pelindungan. Sejurus tiba di Pella, mereka bergegas ke istana raja bagi menemui Raja Failakus dan serjana terkenal, Aristotle. Atas nasihat Aristotle, Raja Failakus bersetuju untuk mereka tinggal dan mendapatkan perlindungan di Pella. Kebetulan, Failakus sendiri telah menubuhkan Liga Corinth dan dilantik menjadi Pemerintah Agung. Liga ini terdiri dari negeri – negeri Yunani yang bergabung untuk menyerang empayar Parsi. Oleh itu, mereka merupakan asset penting bagi Failakus.
Tidak lama kemudian, apabila keadaan kembali reda dari pemberontakan besar besaran wilayah Parsi, Mentor pulang ke empayar Parsi dan berjaya memujuk Raja Darab untuk memberikan keampunan, dan berjanji akan berkhidmat dengan taat setia. Walaupun Raja Darab berasa sedikit ragu – ragu dengan Mentor, tapi diterimanya juga, tetapi dengan syarat bagi membuktikan kesetiaannya, beliau mestilah berjaya menawan kembali kerajaan Mesir yang diperintah oleh Firaun Nectanebo II. Mesir ketika itu telah berjaya merdeka selama 60 tahun. Maka dikumpullah segala bala tentera Parsi, dan dilanggarlah Mesir. Dalam misi ini, Mentor yang berpengalaman mengetuai askarnya dalam beberapa peperangan, telah berjaya menjatuhkan Firaun Nectabo II, dan merampas Mesir dan dijadikannya sebagai sebahagian dari empayar Parsi.
“Kamu memang handal wahai Mentor. Patutlah beta dan bala tentera beta tidak berjaya mematahkan pemberontakan kamu dahulu,” puji Raja Darab kepada Mentor.
“Ampun tuanku. Tiada apa yang hebat pada patik, tuanku. Patik hanya setia menjalankan perintah tuanku,” jelas Mentor.
“Apakah yang kamu mahukan sebagai tanda penghargaan dari beta?” tawar Raja Darab.
Mentor berfikir sejenak. Mukanya berkerut, dan akhirnya tersenyum.
“Tiada apa yang patik mahukan. Kalau ada pun, mungkin agak sukar untuk tuanku perkenankan,” ucap Mentor kepada Raja Darab.
“Tidak mengapa, katakan. Beta akan cuba perkenankan sebaik baiknya,” titah Raja Darab.
“Begini tuanku. Patik rindukan saudara – saudara patik tuanku. Jika tidak keberatan kepada tuanku, patik ingin memohon tuanku mengampunkan ayahanda mertua patik, Artabazus, isteri patik, Barsine, serta adinda patik, Menmon. Patik rasa, mereka akan menjadi aset tuanku yang terbaik suatu hari nanti apabila diperlukan,” pinta Mentor kepada Raja Darab.
“Baiklah, jika itu yang kamu mahukan, beta sudi mengampunkan mereka semua,” titah Raja Darab.
Dengan titah yang diberikan, maka pulanglah mereka semua ke Parsi. Telahan Mentor ternyata benar. Dengan pulangnya mereka semua, maka terbongkarlah segala maklumat sulit mengenai perancangan Raja Failakus beserta Liga Corinth untuk melanggar empayar Parsi. Raja Darab tanpa membuang masa, segera mempersiapkan bala tentera untuk menghadapi Liga Corinth yang diketuai oleh Raja Failakus.
Tidak lama selepas peristiwa itu, Mentor pun menghembuskan nafasnya yang terakhir, dan tempatnya diganti oleh adindanya, Memnon, yang mewarisi sebahagian dari tanah di Troad. Tetapi malangnya, beliau tidak dapat mewarisi jawatan abangnya selaku Penglima Agung. Raja Darab, mahupun, anaknya Raja Arses dan Raja Dara, berani memberikan jawatan tersebut kepada beliau, membuatkannya sedikit terkilan. Ini kerana, beliau sebelum ini telah memberontak dan kesetiaannya masih diragui.
4 tahun kemudian, bermulalah kempen Raja Failakus dan Liga Corinth untuk melanggar empayar Parsi di bawah penguasaan Raja Dara. Pada ketika itu, Raja Dara baru sahaja menaiki takhta, menggantikan kakandanya, Raja Arses yang memerintah selama 2 tahun. Pada ketika itu, bala tentera Raja Failakus diketuai oleh Jeneral Parmenion, satu – satunya orang kepercayaan baginda.
Raja Dara menyediakan angakatan laut yang besar untuk menghadapi serangan dari Yunani. Tidak cukup dengan itu, baginda juga menyediakan 5000 orang askar upahan, dan semua ini diketuai oleh Memnon.
“Ini merupakan tugasku yang pertama. Jika aku menang, aku akan berjaya menawan hati Raja Dara,” bisik hari Memnon.
Mereka kemudiannya berarak menuju ke Cyzicus, sebuah bandar di wilayah Msia, barat laut Asia Minor (Anatolia, Turki ketika ini). Memnon berjaya membuktikan kekuatan dan kepintarannya, dan berjaya menawan bandar dan mendapat banyak harta rampasan perang. Tetapi, kempen ini tidak berakhir begitu sahaja, Jeneral Pamenion dengan pantas menawan bandar Grynium, salah sebuah bandar yang di wilayah Aeolis, Asia Minor, dan menjual semua penduduknya sebagai hamba abdi.
Selepas itu, Jeneral Parmenion bergerak menuju ke bandar Pitane di wilayah yang sama dan mengepungnya. Semasa mengepung bandar itu, sesuatu yang  tidak diduga berlaku. Seorang askar peninjau tergesa – gesa menghadap Jeneral Pamenion.
“Jeneral, hamba ada berita tergempar untuk disampaikan ni,” kata askar tersebut tercungap – cungap.
“Apa dia, katakan kepadaku cepat,” Jeneral Pamenion kelihatan sedikit gementar melihatkan perilaku askar peninjau tersebut.
“Dihujung sana, hamba terlihat segerombolan askar yang besar sedang menghampiri kita. Dari cara berpakaian, mereka seperti askar Parsi,” lapor askar tersebut.
“Itu sudah pasti si Memnon dan askarnya, tak guna! Kerahkan askar kita semua untuk menghentikan kepungan, perintahkan semua berundur,” arah Jeneral Parmenion.
Maka berundurlah askar Parmenion. Ini kerana, bilangan askarnya yang sedikit dan belum mendapat askar bantuan, membuatkan mereka sukar untuk berperang secara berhadapan dengan Memnon. Kemudian, mereka menuju ke Troad. Di sini, mereka dibantu oleh Calas dan askarnya untuk menghadapi askar Memnon yang lebih besar. Tetapi, ia tidak berjaya, dan mereka terpaksa berundur ke Rhoeteium. Hakikatnya, kegagalan ini semua sebenarnya berpunca dari kemangkatan Raja Failakus yang dibunuh, dan digantikan oleh anaknya, Raja Iskandar. Ketika itu, Raja Iskandar tidak mampu untuk membantu Parmenion menghadapai bala tentera empayar Parsi kerana sibuk dengan kempen mematahkan pemberontakan di wilayah utara Macedonia.
Setahun kemudian, selepas berjaya menundukkan pemberontakan di wilayah utara Macedonia, Raja Iskandar memulakan kempennya untuk menundukkan empayar Parsi.
“Kali ini, kita bukan lagi menghadapi Parmenion, tetapi kita akan menghadapi Raja Iskandar yang lebih besar jumlahnya,” kata seorang menteri di balai penghadapan.
 “Jeneral Memnon, kamu pernah berhadapan dengan tentera Yunani, bagitahu beta, jika kamu akan berhadapan dengan Raja Iskandar, apa yang kamu akan lakukan?” tanya Raja Dara.
“Ampun tuanku. Pada telahan patik, patik melihat yang Raja Dara tidak membawa bekalan yang mencukupi. Oleh itu, semasa mereka dalam perjalanan ke sini, lebih baik kiranya kita serang ibukota Macedonia melalui laut, kita hancurkan dan bakar semua punca bekalannya. Semua jenis tanaman seperti barli, gandum, dan lain – lain, binatang ternak, semua kita bakar dan hancurkan. Ini akan memaksa untuk Raja Iskandar untuk pulang kembali ke ibukotanya,” cadang Jeneral Memnon.
“Baik sungguh perancangan kamu wahai Memnon. Baiklah kita ikut cadangan Memnon,” titah Raja Dara.
“Tunggu dulu tuanku, patik ada cadangan yang lebih baik. Apa kata kita berkubu di tebing sungai Granicus. Jika Raja Iskandar ingin membebaskan kota – kota Yunani seperti Ephesus dan Miletus di selatan, kita boleh serang hendap mereka dari belakang. Jika tidak, jika mereka bergerak kea rah timur, patik rasa kedudukan kita ini merupakan satu kelebihan. Kita boleh bertahan dengan asakan mereka, tuanku,” cadang seorang panglima yang lain.
“Ha, ini bagus. Dua dalam satu. Baiklah, Jeneral Memnon, kamu ikut cadangan ini. Bawa sekali 10,000 askar berkuda, dan 5000 infantri,” titah Raja Dara.
Walaupun dia sedikit kecewa, tetapi diikut jualah titah perintah Raja Dara untuk berperang dengan Raja Iskandar secara berhadapan di sungai Granicus. Setelah Raja Iskandar bersama 32,000 infantri dan 5,100 askar berkuda berjaya menyeberangi bandar Hellespont, baginda terus menuju ke utara untuk berhadapan dengan Jeneral Memnon dan bala tenteranya.
Apabila Raja Iskandar dan bala tenteranya tiba di medan perang, waktu ketika itu sudah petang. Kelihatan matahari hampir melabuhkan tirainya. Warna merah menyelubungi angkasa akibat biasan cahaya matahari senja.
“Ampun tuanku, hari sudahpun senja. Patik rasa, eloklah kita berehat mala mini, dan menyeberangi sungai Granicus pada subuh esok,” kata Jeneral Parmenion.
“Itu tidak bagus. Mereka akan bersedia untuk menghadapi kita. Beta arahkan untuk menyerang mereka sekarang juga!” titah Raja Iskandar.
“Askar – askarku semua, bentuk formasi. Phalanx, kamu duduk di tengah. Askar berkuda, duduk di kiri dan kanan. Beta dan Companion akan berada di sayap kanan! Ini pertempuran demi membebaskan Yunani dari tangan penjajah Parsi! Aku akan mengetuimu! Nenek moyang kamu semua akan berbangga dengan kamu! Mari, libas mereka dengan pedang pedang kita!” jerit Raja Iskandar memberikan arahan, dan disambut dengan teriakan peperangan yang sangat menggerunkan.
“Tidak ku sangka, yang Raja Iskandar akan menyerang hari ini juga. Panglima, kamu lihat kedudukan Raja Iskandar di sebelah sayap kanan? Aku pasti yang serangan akan tertumpu dari sana, kerahkan semua askar supaya kea rah sana,” perintah Jeneral Memnon.
Pertempuran bermula. Ptolemy yang mengetuai askar berkuda dan infantri ringan, berpura – pura untuk menyerang sisi kanan tentera Parsi.
“Perkukuhkan kedudukan sebelah kanan, mereka ingin mula menyerang dari sisi itu,” arah Jeneral Memnon.
Maka berpusulah tentera Parsi ke kanan untuk menguatkan kedudukan mereka di sana. Mereka berjaya menghalang kemaraan pasukan Ptolemy.
“Helahku berjaya, kamu sudah tertipu wahai Memnon,” bisik Raja Iskandar dalam hatinya.
“Serang!” titah Raja Iskandar kepada Companionnya.
Dengan formasi klasik baji, Raja Iskandar dan para Companion menyerang di tengah – tengah pasukan tentera Parsi. Hasilnya, walaupun Jeneral Memnon mengarahkan supaya para askar diraja berkuda untuk mengatasi serangan Raja Iskandar, ramai yang telah terbunuh di tangan baginda dan para Companion.
“Ini peluang aku, mati kau Raja Iskandar!” jerit seorang askar diraja Parsi, Rhoisakes.
Hayunan kapak Rhoisakes telah mengenai kepala Raja Iskandar, membuatkannya menjadi pening dan separa sedar. Keadan itu dilihat oleh Spithridates, juga seorang askar diraja. Dengan pantas, beliau menyerang Raja Iskandar dari belakang.
“Tuanku, belakang tuanku!” jerit Cleitus the Black.
Dalam penglihatan Raja Iskandar yang samar – samar, kelihatan Cleitus mempertahankan beginda sehingga terputus lengannya. Walau bagaimanapun, Spithridates berjaya dibunuh. Baginda kembali sedar dan kembali mengasak tentera lawan.
Dalam pada itu, kelihatan ruang yang ditinggalkan oleh tentera Parsi di bahagian tengah. Raja Iskandar dengan segera mengarahkan infantrinya menyerang infantri Parsi di bahagian belakang yang nampak gayanya seperti tidak dilengkapi dengan peralatan yang cukup.
“Phalanx, serang tentera upahan Yunani milik Parsi!” Raja Iskandar mengeluarkan arahan.
Akibatnya, pada hari itu, tentera Parsi yang diketuai Jeneral Memnon kalah teruk, dan mereka terpaksa berundur. Jeneral Memnon kembali ke Parsi dengan kecewa dan marah.
“Sudah patik katakan, yang ini merupakan perancangan yang bodoh! 1,000 askar berkuda dan 3000 infantri kita telah mati. 9,000 askar upahan milik patik dibunuh, dan 8,000 menjadi hamba dan dihantar ke Macedonia!” jerit Jeneral Memnon di balai penghadapan.
Semua yang hadir terdiam, termasuklah Raja Dara sendiri. Muka Jeneral Memnon merah padam menahan marah. Matanya tajam memandang seorang demi seorang hadirin di dalam balai penghadapan. Seperti mahu dimakannya mereka semua.
“Andai kata kita menyerang ibukota Macedonia dari laut, kita sudah memperoleh kemenangan! Ikut sangat kata panglima bodoh itu! Nasib baik aku masih hidup!” tempelak Jeneral Memnon sambil menundingkan jarinya kepada panglima itu.
“Sudahlah wahai Jeneral Memnon. Beta akui yang ini merupakan kesilapan beta. Maafkan beta atas khilaf ini. Beta izinkan, pergilah kamu kumpul segala bala tentera dan angkatan laut, belayarlah kamu ke laut Aegean,” titah Raja Dara.
Jeneral Memnon berlalu dari situ dan keluar dari balai penghadapan dengan perasaan marah yang meluap – luap, sambil mulutnya berkumat kamit seperti mencaci sesuatu.
Di laut Aegean, segala galanya telah terlambat. Raja Iskandar telahpun menawan Miletus tiga hari yang lalu. Kekecewaan Jeneral Memnon kembali berulang.
“Segalanya telah terlambat, cetusnya. Cuma tinggal pengakalan laut Halicarnassus milik Parsi yang belum ditawan oleh Raja Iskandar,” cetus hati Jeneral Memnon.
Maka, dipertahankan jualah dengan sepenuh tenaga, sepenuh hati, supaya ia tidak jatuh ke tangan Raja Iskandar. Akhirnya, setelah sekian lama bertahan, Jeneral Memnon telah berjaya keluar dari bandar pengkalan itu dengan selamat, walaupun ia ditawan musuh.
“Halicarnassus ini telah memakan banyak masa dan tenaga, beta perlukan masa untuk mendapatkan bekalan dan tambahan askar,” bisik hati Raja Iskandar.
Masa yang diperlukan itu dimanfaatkan oleh Jeneral Memnon untuk menguatkuasakan perancangannya selama ni. Serang Hellespont, putuskan sumber bekalan Raja Iskandar, hancurkan mereka. Dia sudahpun mendapatkan bantuan Spartan melalui pemerintahnya, Raja Agis III. Kapal perang Phoenicia, Cypriot, Mesir, sudah pun disediakan, hanya tinggal masa untuk menyerang Hellespont. Raja Iskandar akan kalah. Baginda terpaksa kembali ke Macedonia jika ini berlaku, dan Parsi akan selamat.
“Ampun tuanku. Patik ada membawa perkhabaran untuk tuanku,” hadap seorang askar kepada Raja Iskandar.
“Gembira benar nampaknya kamu. Berita gembirakah itu?” soal Raja Iskandar.
“Ya tuanku. Perkhabarannya adalah, Jeneral Memnon telah meninggal dunia ketika hendak menawan Mytilene, tuanku,” sampai askar tersebut.
“Betul? Syukur kepada tuhan. Jeneral Memnon memeningkan kepala beta. Beliau seorang seteru yang sangat hebat. Jika beliau masih hidup, ekspedisi beta untuk ke negara terbitnya matahari, akan musnah,” ucap Raja Iskandar dengan perasaan yang lega.














BAB 6 : PERANG BERMULA
“Benar tuanku. Kewibawaan dan kepakaran Jeneral Memnon tidak boleh disangkal lagi. Tetapi, meratapi kematian beliau, bukan satu perkara yang bagus, lebih-lebih lagi ketika Raja Iskandar telah bersiap sedia untuk menghadapi kita pada esok hari,” pujuk Jeneral tersebut.
Tersentak dengan kata-kata Jeneral tersebut, Raja Dara mula berjalan mengelilingi Jeneral tersebut.
“Jika begitu, apa cadangan kamu untuk menghalang kemaraan Raja Iskandar?” tanya Raja Dara dengan serius.
“Kita sedia tahu tuanku, bahawa kita adalah halangan terakhir sebelum beliau, Raja Iskandar dapat meneruskan kempen untuk ke Timur. Jika beliau gagal esok, maka terbantutlah kempen tersebut, seterusnya menyelamatkan kerajaan dan empayar tuanku yang dibina sejak turun temurun,” jelas Jeneral tersebut.
“Jadi, apa rancangan kamu untuk menghalang beliau. Tunggu! Beta rasa, beta tahu bagaimana,” sambut Raja Dara.
Jeneral tersebut yang seketika itu mahu mencadangkan cadangannya, terdiam sebentar akibat kata-kata Raja Dara yang ingin mencadangkan sesuatu.
“Apa dia tuanku?” tanya Jeneral tersebut.
“Taktik yang terbaik bagi menghalang kemaraan dan seterusnya, mengalahkan Raja Iskandar adalah dengan menyerang beliau di laluan sempit di bukit sebelah Issus. Dengan ini, mana mungkin beliau boleh mara,” cadang Raja Dara.
Tidak jauh dari mereka berdua, kelihatan satu susuk tubuh yang sedang asyik mendengar perbualan tersebut. Mendengarkan cadangan Raja Dara, beliau tiba-tiba keluar dan menyapa mereka berdua.
“Siapa kamu? Berani-berani sahaja kamu mencuri dengar perbualan kami! Adakah kamu tidak takut akan hukuman yang akan kami jatuhkan kepada kamu?” herdik Jeneral.
“Ya, kamu boleh dikenakan hukuman yang berat. Eh, tunggu dulu, melihat dari susuk tubuh dan perwatakan kamu, kamu bukan orang Parsi, betul?,” tanya Raja Dara.
Dalam ketakutan akibat diherdik dan diugut oleh mereka berdua, orang tersebut menyatakan siapa diri beliau yang sebenar.
“Ampun tuanku, ampunkan patik kerena mencuri dengar perbualan tuanku berdua. Patik cuma lalu di sini, dan tercuri dengar perbualan tuanku. Izinkan patik memperkenalkan diri patik,” kata orang itu.
Raja Dara dan Jeneral mengangguk dan memberikan isyarat untuk meneruskan cerita.
Setelah menghela nafas yang panjang, orang tersebut memulakan cerita.
“Ampun tuanku. Patik hanyalah seorang askar biasa yang bertugas dibawah arahan tuanku. Namun begitu, patik punya pengalaman berperang bersama Raja Iskandar,” jelas orang tersebut.
“Hah, jika begitu, kamu seorang pengintip! Ini tidak boleh dibiarkan, kamu harus dihukum pancung!” marah Raja Dara.
Mendengar kata-kata Raja Dara, orang tersebut meneguk air liur beliau. Mukanya pucat lesi, dan kelihatan peluh dingin mula membasahi dahi beliau. Beliau menggeleng-gelengkan kepalanya, beliau merasakan, menyampuk perbualan mereka berdua bukan satu perkara yang bernas. Beliau mula panik melihatkan Jeneral mula menghunuskan pedangnya kea rah beliau.
“Jelaskan, siapa diri kamu yang sebenar!” herdik Jeneral.
“Sebentar, tunggu dulu. Dengarkan penjelasan patik. Tuanku, izinkan patik berbicara dahulu. Jika benar patik salah, pancunglah kepala patik,” rayu orang tersebut.
Mendengarkan rayuan orang  tersebut, Raja Dara memegang tangan Jeneral, mengisyaratkan supaya beliau menurunkan pedangnya dari leher orang itu.
“Cakap, beta izinkan, jika kamu ternyata pengintip, pedang ini tidak akan teragak-agak untuk memancung kamu,” jelas Raja Dara memberikan keizinan.
Orang tersebut menghela nafas lega mendengarkan keizinan Raja Dara. Beliau mngesat peluh dingin di dahi beliau sebelum meneruskan kata-katanya.
“Ampun tuanku. Begini, nama patik Amyntas. Patik merupakan orang Makadonia, dan salah seorang bekas tentera Raja Iskandar, yang lari mendapatkan perlindungan di Parsi. Patik kemudian, menyertai tentera ini bagi menghalang kemaraan Raja Iskandar,” jelas Amyntas.
“Patik lalu di sini sebentar tadi ketika dalam perjalanan patik untuk ke khemah patik, lalu terdengar perbulan tuanku berdua. Patik mengambil keputusan untuk menyampuk apabila terdengar cadangan tuanku untuk menghalang Raja Iskandar di laluan sempit tersebut. Patik rasakan yang ia bukan satu cadangan yang bernas untuk menghadapi Raja Iskandar,” Jelas Amyntas lagi.
“Kenapa pula begitu? Jelaskan kepada beta!” herdik Raja Dara.
“Melihatkan kesungguhan tuanku untuk melaksanakan cadangan itu, membuatkan patik tidak senang duduk. Patik sangat hadam akan cara dan sikap Raja Dara, kerana patik telah lama mengikuti beliau. Tidak mungkin tuanku dapat melaksanakan perkara tersebut,” kata Amyntas.
“Tidak mungkin kamu kata? Itulah satu-satunya cara untuk menghalang Raja Iskandar dari terus mara dan menghalang beliau dari lari!” herdik Raja Dara.
Sambil menggelengkan kepalanya, Amyntas menambah percakapannya lagi.
“Betul tuanku. Tetapi, cuba tuanku fikirkan, melalui pengalaman patik, patik rasakan yang beliau sudahpun memulakan perjalanan melintasi jalan tersebut. Jika tuanku berbuat sedemikian, patik risau, yang tuanku akan menghadapi tentangan yang maha hebat kerana beliau sudahpun melintasinya nanti. Patik cadangkan, tuanku tetap di sini, bagi menghadapi beliau kerana sudah semestinya beliau dan tenteranya akan menghadapi kesukaran untuk menyerang tuanku berdasarkan bentuk muka bumi yang tidak rata dan sungai Pinarus akan menyukarkan lagi pergerakan mereka,” cadang Amyntas.
“Mengarut. Kamu hanyalah seorang askar yang boleh diragui kewibawaannya kerana kamu adalah orang Makadonia. Mungkin ini adalah salah satu helah Raja Iskandar. Jika beliau sendiri boleh masuk sesuka hati di khemah beta dengan menyamar sebagai wakil raja, adalah tidak mustahil jika beliau meletakkan kamu sebagai pengintip. Sudah, kita akan teruskan rancangan kita untuk menyerang Raja Iskandar di laluan tersebut! Siapkan askar kita!” arah Raja Dara kepada Jeneralnya.
Amyntas menggelengkan kepalanya, lalu beredar dari situ. Beliau kecewa dengan Raja Dara yang enggan mendengar cadangannya. Beliau yakin benar, yang Raja Dara akan menemui kegagalan nanti jika ingin terus dengan rancangan tersebut. Tetapi, apakan daya, beliau hanyalah orang asing dan seorang askar biasa.
Malam itu juga, berbekalkan sinar rembulan dan semangat yang berkobar-kobar untuk mengalahkan Raja Iskandar, Raja Dara mengarahkan bala tenteranyayang berjumlah 600,000 orang untuk bergerak menuju Cicilia melalui celah bukit tersebut.
Di dalam bala tenteranya itu, ada terkandung pelbagai unit perang yang setiap satunya ada tugas dan keistimewaannya tersendiri. Tentera berkuda Parsi yang dibarisi oleh kuda-kuda yang baik mutunya, gagah susuk tubuh mereka, dan dihiasi dengan perisai-perisai perang Parsi yang ditempa dari besi terbaik dunia. Penunggangnya pula kelihatan mempunyai susuk tubuh yang gagah, tambahan lagi dengan seragam besi serta tombak panjang lagenda, melihatkan mereka seolah-olah tidak terkalah, dan menggerunkan sekali.
Di dalam bala tentera itu juga, terkandung sejenis unit tentera lagenda. Lagenda mengatakan yang mereka ini dari golongan Jin. Mereka berlawan dengan begitu ganas sekali, tidak kira siapa, mereka akan mencantas kepala-kepala musuh yang berada dihadapan mereka. Tambahan lagi, lagenda menyatakan yang mereka tidak akan mati walaupun ditusuk pedang sekalipun. Reputasi lagenda ini mereka perolehi kerana jumlah mereka tetap 10,000 orang, tidak pernah kurang, serta seragam yang mereka pakai adalah sama, dengan kepala yang bertutup, tambahan lagi dengan latihan ketenteraan yang keras, selayakknya mereka mendapat gelaran “Immortal” dan reputasi yang menggerunkan itu.
Unit lain pula adalah tentera upahan dari Makadonia, unit yang dibarisi oleh bangsa Makadonia. Ada yang sertai secara suka rela, ada yang sertai kerana melarikan diri mencari perlindungan. Salah satu dari mereka adalah Amyntas.
Maka, beraraklah bala tentera Darius yang sekian banyakknya menuju ke Cicilia pada malam itu juga. Raja Dara, begitu yakin, dengan jumlah bala tenteranya, serta strateginya itu, mana mungkin Raja Iskandar mampu memperoleh kemenangan mutlak, malah, beliaulah yang selayakknya memperoleh kemenangan tersebut.
Di dalam bala tentera tersebut, Amyntas yang tadi cuba meyakinkan Raja Dara untuk tidak melakukan ekspedisi ini, kelihatan agak sugul. Sesekali, terlihat beliau menggelengkan kepalanya. Ada kalanya beliau membebel bersendirian. Melihatkan keadaan itu, rakannya menyapa beliau untuk bertanyakan apakah masalah beliau.
“Wahai Amyntas sahabatku, rakan sepejuanganku, aku lihat kamu dari tadi begitu sugul sekali. Malah sekeali kelihatan kamu mengeluh. Jika kamu ada masalah, berkongsilah dengan aku. Mana tahu, aku boleh mencadangkan jalan penyelesaian, atau kamu takut untuk berperang?” tanya sahabat Amyntas.
Tersentak dengan pertanyaan tersebut, Amyntas membetulkan topinya yang sedikit senget, sebelum memulakan bicaranya.
“Wahai sahabatku. Aku sugul bukanlah takut untuk berperang. Aku sudah bertahun-tahun berperang bersama Raja Iskandar. Mana mungkin wujud perasaan gentar di hatiku ini, kerana ini bukan perangku yang pertama,” ujar Amyntas.
“Oleh itu sahabatku, nyatakan, apa masalah kamu yang sebenarnya?” tanya sahabatnya.
“ Sahabatku, seperti yang aku katakana tadi, aku telah berperang bersama-sama Raja Iskandar, maka, aku masak benar akan perangai serta perancangan Raja Iskandar. Aku rasakan yang Raja Iskandar telahpun mengetahui rancangan ini, dan aku yakin benar beliau telahpun menanti kita di sana dengan perancangan yang lagi sempurna. Aku yakin, yang kita akan kalah!” kata Amyntas sedikit kuat.
Jeneral Raja Dara yang dari tadi memerhatikan mereka berdua datang ke arah mereka bersama kuda yang ditungganginya.
“Kamu berdua! Tumpukan perhatian! Kita dalam misi penting! Ingat! Raja Dara Raja yang tidak terkalah. Lagi-lagi dengan Raja Iskandar yang baru setahun jagung itu! Hentikan kata-katamu wahai Amyntas! Atau kau akan merasa betapa tajamnya pedangku ini apabila ia hinggap di lehermu nanti!” Herdik Jeneral tadi.
Mereka berdua akur dan terus mendiamkan diri. Mereka terus berkawad menuju ke Cicilia melalui celah bukit itu. Malam itu merupakan malam yang panjang bagi mereka semua. Mereka semua tidak tahu apakah nasib mereka semua. Adakah mereka akan berjaya menegakkan panji panji mereka dengan gah di medan perang nanti, atau terus terkubur dengan kekalahan yang memalukan. Bak kata orang tua-tua, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Dalam peperangan, apa-apa sahaja boleh berlaku. Panglima perang yang gah dan tidak terkalah sekalipun boleh tumbang apabila bertemu dengan panglima yang setahun jagung.

Bersambung…

Comments

Popular posts from this blog

BAB 6 : PERANG BERMULA