LANGIT RINDU PENUH


LANGIT RINDU
Kertas Cadangan Drama

Mohd Faizal Ramli & Shema Hanip
19-Jul-17







Tajuk: Langit Rindu
Penulis : Mohd Faizal Ramli & Shema Hanip
Tema: Akasia
Pendahuluan:
Cerita ini merupakan cerita yang berkisar mengenai seorang lelaki yang hilang ingatan, dan juga mengalami tragedi yang mengorbankan nyawa keluarganya. Ketika beliau dalam kekusutan, beliau sampai ke sebuah kampung, dan tanpa disedari, beliau mempunyai kisah silam dan percintaan tragis di kampung tersebut. Beliau menjalani kehidupan normal seharian di kampung itu, dan oleh sebab satu pergaduhan, beliau ingat akan peristiwa dan memori percintaannya.
Mesej:
Penulis ingin menyampaikan bahawa
1.       Sikap ego hanya membawa kepada kerugian
2.       Sikap segelintir orang kampung yang suka memandang hina
3.       Gangsterism membawa kerugian
4.       Walau kaya, tetapi kena selalu merendah diri
5.       Penyakit jiwa yang tidak diatasi akan membawa kesan yang buruk
Sinopsis:
PEMBUKAAN
Mengisahkan seorang lelaki, Arman (Sopi Jikan), anak kepada sebuah keluarga konglomerat yang terkenal, yang mengembara tanpa hala tuju selepas kematian seluruh ahli keluarganya yang dibunuh dengan kejam di dalam satu rompakan di rumah mereka. Hanya beliau yang terselamat apabila beliau sempat dikejarkan ke hospital. Kes masih dalam siasatan.
Di dalam pengembaraannya itu, beliau akhirnya tiba di sebuah kampung. Sebaik turun dari bas, beliau mendapati kampung itu sangat indah, dan mententeramkan jiwanya, sepertinya, itu adalah kampung halamannya sendiri. Malangnya, beliau dipandang seperti tidak dialu alukan, mungkin kerana beliau orang luar.
Beliau singgah di sebuah kedai untuk membeli sedikit makanan dan minuman. Ketika hendak keluar dari kedai tersebut, beliau terpandang seorang perempuan, Syarmila (Wawa Zainal), yang sungguh ayu, berjalan di seberang jalan. Akibat terlalu asyik memerhatikan wanita tersebut, beliau dilanggar sebuah motor yang dinaiki oleh ustaz Syamsul (Syukri Yahya), yang lurus bendul. Beliau mengalami sedikit kecederaan akibat kemalangan tersebut. Tanpa membuang masa, Ustaz Syamsul mempelawa beliau untuk ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan.
Ustaz Syamsul tinggal berjiran dengan seorang nenek, Nek Wan, yang buta (Wan Maimunah). Walaupun Ustaz Syamsul bukan cucu Nek Wan, tetapi beliau menjaga Nek Wan, yang keseorangan itu dan menganggapnya sebagai neneknya sendiri, selepas menamatkan pelajarannya di sebuah sekolah pondok. Bersama nenek itu, ustaz itu mengurut dan merawat kecederaan Arman. Dari situ, bermulalah persahabatan antara Arman dan Ustaz Syamsul.






















SUB-PLOT
Syarmila selalu menghantar makanan di rumah mereka, kerana kasihan dengan Nek Wan. Perwatakan Syarmila yang sopan, ayu dan seperti perempuan melayu terakhir itu membuatkan Ustaz Syamsul menaruh hati dengan kepadanya. Tetapi, perasaan itu hanya dipendam kerana Syarmila berasal dari sebuah keluarga berada yang agak terkenal dengan kekerasan. Bapanya, Tuan Khalid (Usop Wilcha), adalah seorang yang panas baran dan bengis dan beliau adalah seorang usahawan barangan pembinaan yang beroperasi di kampung itu. Sungguh pun ditakuti, Tuan Khalid menjadi tumpuan penduduk kampung untuk meminjam wang, dan setiap pinjaman akan diikuti dengan bunga yang tinggi. Jika gagal melunaskannya dalam masa yang ditetapkan, Tuan Khalid akan mengarahkan konco – konconya untuk mencari peminjam tersebut dan kekerasan akan digunakan untuk menuntut baki hutangnya itu. Juga, Tuan Khalid sering menipu dan memeras dalam aktiviti perniagaannya.  Sikap ini tidak digemari oleh Syarmila.
Syarmila sering dimarahi oleh bapanya dan pernah dipukul kerana menghantar makanan ke rumah Nek Wan dan Ustaz Syamsul. Ini kerana, Tuan Khalid memang tidak menyukai Nek Wan kerana dendam lama yang tersemat di dalam hatinya. Tidak cukup dengan itu, beliau juga dimarahi dan juga diugut oleh abangnya, Zaki Rock (Khir Rahman), seorang gangster. Zaki Rock dikenali sebagai seorang gangster besar dan beliau diketuai oleh seorang pemuda siam, Somchai (Bront Palarae), yang menguruskan perniagaan haram. Zaki Rock yang dari kecil menjadi mangsa kekerasan bapanya dan juga menjadi saksi kekerasan bapanya terhadap ibunya, menunjukkan sikap seperti seorang yang mengalami tekanan perasaan. Baginya, hanya muzik rock yang memahami jiwanya.
Arman memutuskan untuk tinggal di kampung itu, dan membantu Ustaz Syamsul menguruskan kolam ikan air tawarnya, dan juga hal – hal pengurusan masjid. Walaupun kehadirannya seperti tidak diterima, beliau tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa. Pelbagai cara dilakukan bagi memenangi hati orang kampung, tetapi gagal. Dalam diam, Arman juga menyimpan hati terhadap Syarmila, tetapi, perasaan itu seperti ada yang tidak kena. Ia bukan kerana takutkan keluarga Syarmila, tetapi kerana sesuatu yang tidak dapat diungkap olehnya.
Berita mengenai kehadiran Arman diketahui oleh Zaki Rock. Perkara ini tidak disenangi oleh beliau. Tanpa ada sebab yang kukuh, Zaki Rock sering mengganggu Arman dan Ustaz Syamsul. Beliau berusaha sedaya upaya untuk mengusir mereka. Kadang kala, habis kolam mereka dirosakkan oleh Zaki Rock dan konco - konconya. Tuan Khalid juga merestui perbuatan ini. Namun, bagi Armand an Ustaz Syamsul, perkara ini berlaku hanya kerana mereka orang baru di kampung itu.
Pada suatu hari, setelah selesai menghantar makanan ke rumah Nek Wan, Syarmila menuju ke kolam ikan untuk menghantar bekal kepada Arman dan Ustaz Syamsul. Mereka berdua keberatan untuk menerima kerana takut Syarmila akan di apa – apakan oleh Zaki Rock dan konconya. Syarmila berkeras untuk memberikan bekalan itu kepada mereka. Walaupun berat hati, mereka berdua menerima dan makan bersama. Malang nasib mereka pada hari tu, seperti yang diduga, Zaki Rock lalu di kolam ikan tersebut bersama Somchai, dan dia terlihat adiknya sedang makan dan berbual dengan Armand an Ustaz Syamsul. Zaki Rock begitu marah, dan menarik adiknya dengan kasar. Beliau kemudiannya memukul adiknya itu tanpa belas kasihan. Perbuatannya cuba dihalang oleh Ustaz Syamsul yang tiba – tiba berlagak seperti gangster bagi menakut – nakutkan geng Zaki Rock. Akibatnya, beliau dibelasah teruk oleh mereka. Arman cuba turut campur, tetapi oleh kerana jumlah mereka ramai, beliau tidak mampu untuk menangani mereka. Dalam pergelutan itu, Arman dihentak di kepala, dan imbas kembali berlaku, Arman teringat sesuatu, 12 tahun yang lalu.
IMBAS KEMBALI
Arman atau nama sebenarnya Helmi, merupakan seorang  pemuda yang berasal dari kampung itu, yang bekerja sebagai seorang operator kilang. Beliau tinggal bersama neneknya, iaitu Nek Wan. Beliau bercinta dengan kakak kepada Syarmila, Zulaikha (Sasqia Dahuri) yang tegas dan selalu bergaduh dengan Zaki Rock. Syarmila juga tidak menyenangi sikap dan aktiviti yang dijalankan oleh bapanya. Setelah tamat belajar, beliau enggan untuk bekerja dengan bapanya bagi menguruskan syarikat pembekal barangan pembinaan milik bapanya. Ini kerana, beliau tidak mahu bersekongkol dengan bapanya menjalankan aktiviti memeras penduduk kampung. Beliau membuat keputusan untuk bekerja di kilang yang sama dengan kekasih hatinya.
                Helmi dan Zulaikha ibarat merpati dua sejoli. Ini amat tidak disenangi oleh Zaki Rock dan Tuan Khalid. Bagi memisahkan mereka berdua, Tuan Khalid mengarahkan Zaki Rock untuk mengganggu mereka berdua di kilang tersebut. Pengawal keselamatan kilang itu mempunyai hutang tertunggak yang agak tinggi dengan Tuan Khalid, membuatkannya terpaksa akur dengan ugutan Zaki Rock, bagi membenarkannya masuk ke dalam kilang tanpa halangan. Pelbagai masalah sering ditumbulkan oleh Zaki Rock, termasulah mengupah pekerja kilang tersebut untuk melakukan khianat ke atas Helmi.
Pada satu malam, Helmi dan Nek Wan kehabisan beras dan makanan. Kasihan melihat neneknya yang lemah akibat tidak makan, Helmi berhasrat untuk mencari ikan di sungai yang berdekatan. Hasrat ini cuba dihalang oleh neneknya kerana hari sudah larut malam, dan neneknya tidak sedap hati, seperti ada sesuatu yang buruk bakal berlaku. Neneknya cuba memujuk Helmi untuk melupakan hasratnya itu dan menunggu sehingga siang. Helmi berdegil dan terus keluar bagi meneruskan hasratnya. Ketika sedang mencari ikan, Helmi terpandang ke satu kawasan paya bakau. Dilihatnya, ada sekumpulan manusia yang sedang mencurigakan. Beliau memberanikan diri untuk melihat lebih dekat. Di dalam kumpulan manusia itu, dia melihat satu susuk tubuh yang amat dikenalinya, Zaki Rock. Zaki Rock sedang memberikan arahan kepada konco – konconya untuk memunggah sesuatu dari bot mereka. Oleh kerana arus sungai yang mengalir, tanpa disedari sampan Helmi semakin mendekati posisi Zaki Rock. Perkara ini disedari oleh Zaki Rock, dan beliau mengarahkan konconya untuk menangkap Helmi. Belum sempat untuk berbuat demikian, satu bot Penguatkuasa Kastam tiba di kawasan tersebut dan memberikan amaran kepada mereka untuk menyerah atau mereka akan diserbu. Zaki Rock serta konconya berbegas melarikan diri. Oleh kerana Helmi hanya menaiki sampan, beliau telah ditangkap oleh penguatkuasa tersebut dan dituduh menjadi penyeludup. Helmi telah ditahan dan disoal siasat selama beberapa hari, dan akhirnya dilepaskan kerana penguatkuasa percaya yang beliau hanya mangsa keadaan. Tetapi malang buat Helmi, pihak kilang telah memberhentikannya kerana kes tersebut dan bagi mengelakkan dari Zaki Rock terus membuat kacau di dalam kilang itu.
Helmi menjadi tidak keruan. Beliau sukar untuk mendapatkan kerja baru. Nek Wan pula semakin tenat. Fikirannya terganggu, keadaannya tidak terurus. Helmi juga yang mabuk cinta sering hadir ke rumah Zulaikha untuk bertemunya, tetapi dihalang dan dihina oleh Tuan Khalid. Kadang kala, Zulaikha curi curi keluar untuk bertemu dengan Helmi, tetapi akan berakhir dengan penyeksaan dari Tuan Khalid jika ditangkap oleh Zaki Rock atau konco Tuan Khalid. Percintaan mereka menjadi cemuhan orang kampung kerana taraf hidup mereka yang berbeza, rupa yang tidak seperti pinang dibelah dua, dan perjumpaan antara mereka berdua yang berakhir dengan penyeksaan Zulaikha. Helmi sering dimarah dan dipujuk oleh penduduk kampung untuk melupakan Zulaikha kerana kasihan melihat Zulaikha yang sering diseksa oleh Tuan Khalid. Tidak cukup dengan itu, Helmi juga sering dipukul oleh Zack Rock atas arahan Tuan Khalid.
Suka duka dunia percintaan antara Helmi dan Zulaikha sering diluahkan oleh Zulaikha kepada adiknya, Syarmila. Melihatkan keadaan percintaan mereka berdua yang semakin meruncing, Syarmila mencadangkan supaya mereka berdua untuk melarikan diri dan berkahwin. Zulaikha menerima cadangan tersebut dan memujuk Helmi untuk bersetuju dengan cadangan itu. Nek Wan menghalang perbuatan mereka, takut – takut perkara itu bakal mengundang perkara yang buruk. Helmi juga tidak bersetuju, kerana berat hati untuk meninggalkan neneknya yang buta dan keseorangan itu. Syarmila berjanji akan menjaga Nek Wan dan membuatnya seperti neneknya sendiri, dan apabila keadaan kembali reda, beliau akan menghubungi mereka berdua bagi membawa Nek Wan keluar dari kampung itu pula. Setelah berfikir panjang, Helmi bersetuju dan berjanji akan pulang selepas semuanya selesai.
Mereka mula melarikan diri dicelah – celah kegelapan malam. Kata – kata Nek Wan ternyata benar, Tuan Khalid berjaya menghidu rancangan mereka, dan mengarahkan Zaki Rock mengejar mereka. Zaki Rock pergi dahulu dan diikuti oleh Tuan Khalid. Zaki Rock berjaya memintas Zulaikha dan Helmi disebuah sungai. Tidak lama kemudian, Somchai datang dan menuntut sesuatu kepada Zaki Rock. Zaki Rock menunjuk kepada Zulaikha. Rupa – rupanya beliau ingin menjual Zulaikha kepada Somchai dengan harga yang tinggi. Somchai kemudian menyerahkan sejumlah wang yang banyak dan merogol Zulaikha. Helmi tidak mampu untuk melawan kerana dipegang kuat oleh konco – konco Zaki Rock. Helmi yang tidak berdaya itu pasrah dan meraung, Zaki Rock hanya ketawa melihat tindak tanduk Arman dan adiknya yang sedang dirogol. Setelah semuanya berlalu, Helmi berlari mendapatkan Zulaikha yang sudah nyawa – nyawa ikan. Zulaikha menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tuan Khalid tiba di tempat kejadian, mendapati Helmi sedang memangku mayat anaknya yang berlumuran darah. Zaki Rock yang menjadi serba salah melihatkan adiknya yang sudah tidak bernyawa dan takut dengan kehadiran bapanya itu lantas menuduh Helmi yang merogol Zulaikha, seperti orang gila. Tuan Khalid berang, lalu menghentak Helmi dengan belakang senapang patahnya. Beliau kemudiannya dipukul beramai – ramai sehingga cedera parah, Helmi tidak melawan kerana kekecewaannya ke atas apa yang berlaku. Beliau hanya mahu mati. Helmi tidak lagi sedarkan diri. Beliau dicampak ke dalam sungai, lalu hanyut mengikut arus sungai, menuju kelautan.
Dato’ Kamal (Mustapha Kamal) dan Datin Khalida (Dian P Ramlee),baru sahaja kehilangan anak lelakinya mati kerana kapal layar yang dinaikinya karam. Datin Khalida yang terganggu fikirannya kerana kehilangan anaknya itu, sering berkunjung tepian pantai dan berharap anaknya akan pulang. Pada satu hari, Dato’ Kamal yang sedang menemani isterinya di tepian pantai, terlihat ada satu susuk tubuh yang terdampar di atas sebuah batu. Susuk tubuh itu adalah Helmi yang telah hanyut dibawa arus ombak. Datin Khalida bergegas mendapatkan Helmi, dan memeluknya. Beliau menyatakan bahawa anaknya telah pulang dan menangis – nangis. Dato’ Kamal berfikir, jika isterinya bersikap sedemikian, mungkin ini boleh membantunya merawat fikiran dan kesedihan isterinya itu. Helmi dibawa ke sebuah hospital pakar swasta untuk diberikan rawatan. Sejurus sedar dari koma beberapa bulan kemudian, beliau tidak mengingati apa – apa dan siapa dirinya. Dato’ Kamal memperkenalkan dirinya sebagai ayahnya dan Datin Khalida sebagai ibunya. Helmi diberikan identiti baru, iaitu Arman, identiti milik anak lelaki Dato’ Kamal yang telah meninggal dunia itu. Arman diberikan pendidikan sehingga peringkat tertinggi di luar negara. Semasa belajar diluar negara, Arman sering mendapat mimpi buruk yang tragis tetapi tidak jelas. Kadang kala, beliau terlihat imbasan seorang perempuan yang sering tersenyum (Zulaikha). Kadang kala, perempuan itu seperti membisikkan ayat – ayat cinta yang seperti telah biasa didengari oleh Arman. Di sana juga, beliau terjumpa seorang wanita (Syarmila) di fakultinya, yang sering mengelak apabila berjumpa dengannya. Beliau sering tertanya – tanya, siapa perempuan itu dan kenapa perempuan itu menjauhinya. Sepulangnya beliau ke Malaysia, beliau mengambil alih syarikat milik Dato’ Kamal dan berjaya menaikkannya ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan kejayaan Arman memacu syarikat tersebut, keluarga Dato’ Kamal menjadi sebuah keluarga konglomerat yang disegani. Kekayaan mereka itu menyebabkan mereka menjadi tumpuan penjenayah. Sering kali, mereka menerima ugutan dari penjenayah, dan adik perempuan Arman juga hampir dicolek oleh penjenayah.
Pada satu malam, ketika itu Arman baru sahaja pulang dari tempat kerja, beliau mendapati pintu pagar rumah mereka terbuka. Pintu rumah mereka tidak berkunci. Lampu rumahnya tertutup. Apabila Arman berjaya membuka lampu, alangkah terkejutnya melihat ibu bapanya terikat di atas kerusi, berlumuran darah dan tidak bernyawa. Adiknya ditemui tidak bernyawa di dalam biliknya. Arman merangkul adiknya itu dan menangis dan meraung. Raungan ini disedari oleh perompak yang masih berada di bilik utama yang sedang menggeledah bagi mencari barang berharga. Perompak – perompak itu bergegas mendapatkan Arman di bilik adiknya. Ketua perompak itu mengacukan pistolnya ke arah Arman. Tanpa belas kasihan, Arman ditembak beberapa kali di tubuh badannya. Sebelum memejamkan matanya, Arman dapat mendengar dan melihat dengan jelas suara dan rupa perompak tersebut. Mereka adalah Somchai, Zaki Rock, serta konco – konco mereka.
KEMUNCAK
Helmi terjaga dari pengsan, dan mendapati Nek Wan disebelahnya. Helmi lantas memeluk Nek Wan dan menceritakan apa yang berlaku sebelum ini. Beliau ingin membalas dendam terhadap apa yang telah Somchai dan Zaki Rock lakukan kepada beliau. Nek Wan merayu rayu supaya melupakan hasratnya, tetapi tidak diendahkannya. Ustaz Syamsul tiba di rumah Nek Wan. Beliau menceritakan bahawa Syarmila telah ditahan disebuah gudang oleh Tuan Khalid dan konconya. Beliau juga terdengar perbualan telefon antara Zaki Rock dan Somchai. Somchai menagih sesuatu. Dari situ, Helmi percaya bahawa Syarmila bakal dijual kepada Somchai, sama seperti yang dilakukan olehnya 12 tahun dahulu kepada Zulaikha. Helmi dengan kemarahan yang berkobar – kobar, menuju ke gudang itu. Ustaz Syamsul menurutinya di belakang. Pergelutan berlaku antara Zaki Rock, Tuan Khalid serta konconya, dan juga Helmi bersama Ustaz Syamsul. Di dalam kegawatan itu, Ustaz Syamsul berjaya melepaskan Syarmila apabila Zaki Rock berpura – pura kalah kepada Ustaz Syamsul. Mereka berdua melarikan diri, tetapi tidak jauh kerana berjaya ditahan oleh konco Tuan Khalid. Mereka bertiga kini berada di depan Tuan Khalid. Syarmila merayu – rayu supaya bapanya insaf dan kenang kembali apa yang berlaku kepada Zulaikha. Tuan Khalid tidak peduli. Ketika picu senanpang hampir ditarik, Somchai dan konconya tiba dalam keadaan yang marah bagi menuntut janji Zaki Rock. Ketika itu, terimbas perbualan telefon antara Zaki Rock dan Somchai. Somchai bertegas untuk menuntut harta rompakan di rumah Dato’ Kamal dulu. Tetapi malangnya, harta itu telah habis dijoli. Sebagai ganti, Zaki Rock akan menjual Syarmila kepada Somchai. Zaki Rock sebenarnya sedar akan kehadiran Ustaz Syamsul yang mengintipnya. Dengan liciknya, Zaki Rock mengumpan Ustaz Syamsul untuk menyelamatkan Syarmila. Apabila mereka datang, beliau akan berpura – pura kalah, dan melepaskan Syarmila. Pada ketika itulah, sepatutnya Syarmila akan ditangkap oleh konco – konco Somchai. Tetapi mereka berjaya ditahan terlebih dahulu oleh konco Tuan Khalid. Tuan Khalid terkejut dengan kata – kata Somchai yang menuntut Syarmila. Polis tiba ditempat kejadian, dan gudang itu dikepong. Zaki Rock menarik adiknya untuk dijadikan tebusan, dan berlaku perbalahan mulut di situ. Bayangan Zulaikha hadir dihadapan Helmi. Helmi tiba – tiba mendapat satu semangat yang luar biasa. Beliau meluru ke arah Zaki Rock, dan berjaya menyelamatkan Syarmila. Malangnya, Zaki Rock telah berjaya melepaskan tembakan. Helmi rebah, beliau terimbas kembali bibit bibit percintaan antara beliau dan Zulaikha berlaku. Zaki Rock di tembak oleh polis lalu mati. Nek Wan berlari dan terjatuh – jatuh bagi mendapatkan Helmi yang sudah nyawa – nyawa ikan. Helmi menghembuskan nafasnya yang terakhir.




PENUTUP
Tuan Khalid menyesal atas sikapnya yang ego mengakibatkan dua orang anaknya dan juga seorang yang jujur, kehilangan nyawanya. Beliau membuat keputusan mengahwinkan Ustaz Syamsul dan juga Syarmila.  Semasa majlis, Somchai datang membuat kacau dan menuntut janji dan hutang Zaki Rock. Somchai menembak Tuan Khalid, tetapi hanya terkena bahu. Ustaz Syamsul meluru ke arah Somchai, lalu cuba menghalangnya. Bunyi tembakan kedengaran, Ustaz Syamsul memegang perutnya dan melihat telapak tangannya, namun tiada darah. Somchai rebah, lalu mati akibat ditempak oleh pihak polis. Anak buahnya diberkas. Ustaz Syamsul dan yang lain – lain ketawa lega. Percintaan antara Arman dan Zulaikha menjadi memori mereka berdua.



















Cadangan Pelakon
Arman @ Helmi : Sopi Jikan
-          Seorang yang sedang kecewa dan fikirannya bercelaru akibat masalah yang dihadapinya
sofi jikan.jpeg

Zack Rock : Khir Rahman
-          Seorang yang gilakan rock, gangster, tetapi lawak kadang kala apabila mengugut. Seperti orang sakit jiwa.
khir rahman.jpg
Zulaikha : Sasqia Dahuri
-          Sorang yang tegas dan selalu bergaduh dengan abangnya, Zack Rock
Sasqia Dahuri.jpg
Syarmila : Wawa Zainal
-          Seorang adik yang lembut dan penyayang
wawa zainal.jpg
Ustaz Syamsul : Syukri Yahya
-          Seorang ustaz yang lurus bendul. Oleh kerana sifatnya itu, Syarmila menyukainya
syukri-yahya.jpg

Nek Wan: Wan Maimunah
-          Seorang nenek yang buta yang kesedihan kerana sebatang kara dan kehilangan cucu kesayangannya 12 tahun yang lalu.
wan maimunah.jpg
Tuan Khalid : Usop Wilcha
-          Seorang yang kaya tetapi bengis
usop wilcha.jpg










Somchai : Bront Palarae
-          Ketua Gangster yang menjalankan kerja – kerja haram, dan ketua kepada Zack Rock
bront palarae.jpg
Dato’ Khalid : Mustapha Kamal
-          Seorang usahawan berjaya yang kehilangan anak lelaki
mustapha kamal.jpg
Datin Khalida : Dian P Ramlee
-          Isteri Dato’ Khalid yang bersedih kerana kehilangan anaknya.
-          dian pramlee.jpg


Comments

Popular posts from this blog

BAB 6 : PERANG BERMULA