NAJIHAH DI PINTU SYURGA


NAJIHAH DI PINTU SYURGA
Kertas Cadangan Drama

Mohd Faizal Ramli & Shema Hanip
10-MAC-2018






Tajuk: Najihah Di Pintu Syurga
Penulis : Mohd Faizal Ramli & Shema Hanip
Tema: Kekeluargaan Tragis
Log Line:
Kisah menyelusuri kehidupan protagonis  yang masih kecil yang kehilangan keluarga, kerana masalah pergolakan keluarganya. Pergolakan demi pergolakan berlaku pada dirinya yang pada akhirnya menyebabkan nyawanya diragut.
Pendahuluan:
Cerita ini merupakan cerita yang berkisar mengenai seorang budak perempuan yang dilahirkan dengan status anak sah nikah, tetapi disebabkan oleh masalah sosial ibunya, statusnya diragui sehingga menimbulkan fitnah dikalangan keluarganya. Pernikahan antara ibu bapanya berlaku akibat ditangkap basah kerana salah faham penduduk kampung. Selepas diketahui oleh keluarga perempuan, dan perempuan tersebut melahirkan protagonis, beliau telah hilang ingatan dan dilarikan keluar negara manakala, suaminya iaitu bapa kepada protagonis telah dibunuh. Apabila telah dewasa sedikit, protagonis ingin mencari ibunya. Setelah ditemui oleh bapa saudaranya yang baru pulang dari belajar di luar negara, pergolakan demi pergolakan berlaku, akhirnya, protagonis meninggal dunia akibat dibunuh.
Mesej:
Penulis ingin menyampaikan bahawa
1.       Sikap ego hanya membawa kepada kehancuran
2.       Sikap segelintir orang kampung yang suka memandang hina dan memfitnah
3.       Masalah sosial yang semakin meruncing
4.       Tanggung jawab keluarga terhadap anaknya
5.       Nilai persahabatan antara kanak kanak
6.       Hidayah milik Allah SWT
Sinopsis:
Mengisahkan seorang kanak – kanak perempuan, Najihah (Puteri Balqis), yang lahir dalam status nikah yang sah, tetapi oleh kerana masalah sosial ibunya, Nadhira (Nabila Huda), Najihah telah difitnah sebagai anak tidak sah taraf.
Nadhira merupakan seorang anak tunggal kepada seorang usahawan. Disebabkan kurangnya didikan agama, Nadhira menjalani kehidupan bebas tanpa batas, sehingga mengalami masalah sosial yang sangat teruk. Baginya, kelab malam merupakan rumah utamanya, arak merupakan minuman hariannya, dan perzinaan merupakan perkara biasa baginya. Pertemuan antara Nadhira dan suaminya, Hanif (Syukri Yahya) berlaku pada suatu malam. Pada malam itu, pergaduhan antara Nadhira dan kekasihnya, Zaki (Bront Palare) di sebuah kelab malam berlaku kerana satu salah faham. Nadhira yang dalam keadaan mabuk, melarikan diri dan tiba di sebuah kampung. Oleh kerana keletihan, beliau masuk ke sebuah rumah yang tidak berkunci. Rumah tersebut sebenarnya milik Hanif, yang ketika itu pergi ke masjid untuk menunaikan solat. Beliau ketika itu lupa untuk mengunci pintu rumahnya, kerana sikapnya yang lurus bendul.
Apabila Hanif pulang ke rumahnya, alangkah terkejutnya beliau, apabila mendapati ada seorang wanita sedang tidur di ruang tamu rumahnya. Sebelum itu, kelihatan ada makcik makcik bawang yang berasa curiga akan kehadiran Nadhira ke rumah Hanif, membuat laporan kepada ketua kampung dan jabatan agama Islam. Hanif yang terkejut dengan kehadiran Nadhira berpaling ke belakang untuk keluar dari rumahnya bagi mengelakkan perkara yang buruk dari berlaku, tetapi malangnya, penduduk kampung dan Jabatan Agama Islam telah pun dulu tiba di hadapan pintu rumahnya. Hanif dan Nadhira dituduh bersekedudukan dan berkhalwat. Mereka dinikahkan pada malam itu juga.
Mulai dari hari itu, Hanif dicemuh oleh penduduk kampung, dan juga dipulaukan atas fitnah yang dilakukan oleh makcik makcik bawang tadi. Setiap kali pergi ke kedai, layanan urus niaga dilakukan dengan begitu kasar sekali, barang dicampak, dan kadang kala, peniaga tidak mahu menjual barang kepada beliau, atas alasan duitnya haram. Kemudian, pendapatan pertaniannya juga semakin berkurangan kerana tidak ada peniaga dari kampung itu yang mahu membeli hasil pertanian darinya, kecuali seorang orang berbangsa Cina Muslim, taukeh Lim (Adam Corrie). Beliau sahaja yang masih sudi membeli dan menasihati Hanif supaya bersabar atas dugaan itu.
Nadhira pula, tidak boleh menerima apa yang berlaku. Pernikahannya dirahsiakan dari pengetahuan keluarganya. Nadhira meneruskan kehidupannya seperti biasa, bergelumang dengan masalah sosial. Nadhira kembali kepada kekasihnya, Zaki. Zaki ketika itu tidak tahu akan pernikahan antara Nadhira dan Hanif. Selepas pernikahan antara beliau dan Hanif, beliau tidak pernah balik menjejakkan kakinya ke rumah Hanif. Hanif yang lurus bendul itu hanya menanti dari sehari ke sehari, mengharapkan Nadhira pulang ke rumahnya.
2 ke 3 bulan selepas itu, taukeh Lim terserempak dengan kawan lamanya, Tan Sri Khalid (Usop Wilca). Ketika itu, Tan Sri Khalid sedang menemani anaknya yang sedang membeli belah. Alangkah terkejutnya taukeh Lim, apabila Tan Sri Khalid memperkenalkan anaknya, dia adalah Nadhira. Nadhira tidak mengenali taukeh Lim, tetapi sebaliknya, taukeh Lim mengenali beliau. Setelah bertukar – tukar nombor telefon dan kad perniagaan, taukeh Lim meninggalkan mereka berdua atas alasan ada hal mustahak perlu diseledaikan. Taukeh Lim bergegas ke rumah Hanif untuk memberitahu akaan hal tersebut. Hanif kelihatan semakin sugul apabila mendengarkan hal tersebut. Melihatkan keadaan itu, taukeh Lim berasa marah kepada Nadhira, lalu berjanji akan membawa Nadhira pulang ke pangkuan Hanif. Hanif menolak, tetapi taukeh Lim bertegas dan terus pergi dari rumah beliau.
Atas alasan perniagaan, taukeh Lim membuat cadangan perjumpaan antara Tan Sri Khalid dengan beliau. Tetapi, atas alasan itu adalah urusniaga kecil, taukeh Lim meminta anaknya, Nadhira mewakili Tan Sri Khalid. Tan Sri Khalid bersetuju. Pada mulanya, Nadhira tidak bersetuju dengan pelawaan tersebut, tetapi oleh kerana ayahnya berjanji akan menghadiahkan kereta idamanny, Nadhira bersetuju. Pertemuan itu berlangsung di sebuah cafe di dalam hotel mewah. Taukeh Lim menjelaskan siapa beliau dan kaitannya dengan Hanif. Beliau tahu, yang pernikahan antara Nadhira dan Hanif tidak diketahui oleh sesiapa pun, dan jika bapanya tahu, masalah besar mungkin akan berlaku, dan Nadhira mungkin akan dihalau keluar. Taukeh Lim mengugut Nadhira supaya pulang ke pangkuan Hanif, jika tidak, beiau akan membocorkan rahsia pernikahan tersebut kepada Tan Sri Khalid. Taukeh Lim memberi masa 3 hari sahaja kepada Nadhira untk membuat keputusan.
Nadhira pulang dalam keadaan yang sangat marah dan keliru. Malam itu, beliau merasakan bahawa ia malam yang sangat panjang. Sudah bergelas – gelas arak diminumnya, sudah puas menari, tetapi perkara tersebut masih menghantui beliau. Dalam keadaan yang mabuk, Nadhira menipu kekasihnya, Zaki untuk menghantar beliau ke rumah Hanif. Nadhira mengatakan bahawa itu rumah orang gajinya. Beliau ke sana kerana ingin memecatnya kerana kesalahan yang remeh. Katanyany lagi, selepas sampai di sana, bapanya akan tiba sekali dan akan pulang bersama. Tanpa rasa curiga Zaki menghantar Nadhira ke rumah Hanif dn segera pulang ke rumahnya. Nadhira ketika itu mabuk teruk, terus melulu masuk ke rumah Hanif. Beliau ingin memarahi Hanif, tetapi melihatkan Hanif yang sedang tidur, nafsunya tiba – tiba membuak, dan hubungan intim berlaku.
Pada awal pagi, Hanif berasa sungguh gembira kerana isterinya, Nadhira sudah pulang ke rumah. Beliau segera bergegas ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi bagi menjamu isterinya. Sarapan itu dibawakan terus kepada Nadhira di bilik tidur. Setelah dikejut, Nadhira terkejut dengan keadaannya, dan dalam keadaan yang marah, beliau terus membuang dan membaling pinggan berisi sarapan itu kepada Hanif. Walau pun kepalanya berdarah, tetapi beliau mengutip saki baki sarapan dan pinggan itu sambil menasihati isterinya itu. Nadhira yang keras hati terus menerus memaki hamun Hanif dan menyatakan bahawa beliau balik kerana diugut oleh taukeh Lim.
Kehidupan antara Hanif dan Nadhira sangat dingin. Nadhira keluar pada waktu pagi dan hanya pulang ke rumah suaminya pada lewat malam. Kadang kala tidak pulang. Beliau berfoya foya dengan kekasihnya, Zaki tanpa rasa bersalah. Zaki juga masih tidak tahu akan status Nadhira. Jika pulang sekalipun, hanya maki hamun yang keluar dari mulut Nadhira, dan jika aada makanan, ia akan dicampakkan kepada suaminya itu dan menghina makanan tersebut. Setelah hampir 9 bulan berlalu, fizikal Nadhira mula berubah, menampakkan bahawa beliau sedang mengandung. Curiga dengan perubahan itu, Datin Sri Aida (Azizah Mahzan) cuba mendapatkan penjelasan dan bawa Nadhira ke klinik untuk pemeriksaan. Setelah didapati bahawa Nadhira mengandung 9 bulan, Datin Sri Aida memaksa beliau untuk menceritakan segalanya kepada beliau dan bapanya. Setelah memberi kata dua sama ada meninggalkan suaminya atau keluar dari keluarganya. Nadhira melarikan diri dari rumah keluarganya dalam keadaan kebingungan. Dalam kebingungan tersebut, Nadhira telah dilanggar oleh sebuah kereta. Keadaannya kritikal, setelah dibawa ke hospital oleh keluarganya, bagi menyelamatkan bayi dalam kandungannya, pembedahan terpaksa dilakukan. Walaupun bayi tersebut selamat, tetapi Nadhira koma tidak sedarkan diri. Tan Sri Khalid dan isterinya tidak mahu menerima bayi tersebut sebagai sebahagian dari keluarganya, lalu ditinggalkan di sebuah rumah anak – anak yatim. Pengasuh di situ yang bernama Som (Norlia Ghani),  terpinga – pinga dengan kehadiran bayi tersebut di hadapan pagar rumah tersebut. Beliau mengambil bayi tersebut dan menamakannya Najihah.
Berbalik kepada Hanif, beliau berasa tidak sedap hati pada malam itu, kerana risaukan isterinya yang tidak pulang – pulang. Beliau keluar dari rumah untuk mencarinya di pekan. Ketika itu, Zaki dan rakan rakannya sedang menunggu peluang untuk membunuhnya atas arahan Tan Sri Khalid. Apabila tiba masa yang sesuai, mereka membelasah Hanif sehingga nyawa – nyawa ikan. Mujur ketika itu taukeh Lim sedang lalu di kawasan tersebut. Beliau dan pekerjanya cuba menyelamatkan Hanif, tetapi sayangnya, sudah terlambat, Hanif menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan taukeh Lim. Sebelum meninggal dunia, Hanif meminta supaya taukeh Lim mencari Nadhira dan anaknya jika sudah lahir. Taukeh Lim cuba menunaikan hasrat Hanif, tetapi gagal kerana mereka semua telah pindah meninggalkan negara ini kerana malu atas apa yang berlaku.
9 tahun berlalu, seorang lelaki telah datang ke rumah arwah Hanif. Beliau adalah adiknya, Kusyairi (Beto Kusyairi) yang baru pulang dari melanjutkan pelajarannya dari luar negara. Kepulangannya disambut dengan makian penduduk kampung. Beliau tidak mengerti, kenapa rumah abangnya kosong dan seperti rumah tinggal. Tambahan lagi, kenapa penduduk kampung melayannya sedemikian rupa. Dalam keadaan yang bingung, seingatnya, abangnya ada kenalan baik, iaitu taukeh Lim. Beliau bergegas mencari taukeh Lim yang ketika itu sudah mempunyai sebuah perniagaan yang besar. Setelah mendapatkan penjelasan dari taukeh Lim, dan dibawa ke kubur abangnya, Kusyairi berhasrat untuk membalas dendam atas kematian abangnya, dan akan mencari anak saudaranya dan Nadhira.
Najihah ketika itu yang sudah berusia 9 tahun, hidup seperti kanak kanak biasa di rumah anak yatim tersebut. Dia menjadi anak angkat kesayangan Mak Som, kerana kecerdasannya yang luar biasa dan telatahnya yang menghiburkan. Tetapi, jauh di sudut hatinya, dia tertanya tanya, siapa ibunya. Perkara itu sering diluahkan kepada sahabat baiknya, Atan (Muhammad Ariff Abdullah, Buntat) yang autism.
Pada waktu yang lain, Kusyairi yang berusaha menjejak Nadhira dan Najihah, akhirnya berjaya menemui Najihah. Beliau menerangkan kepada Mak Som peristiwa yang menimpa arwah abangnya. Kusyairi cuba untuk mendapatkan hak jagaan Najihah, dan kerana atas sebab kurangnya maklumat, ia menjadi sukar.
Pada waktu yang sama juga, keluarga Tan Sri Khalid telah pulang ke Malaysia dan tinggal di rumah lamanya. Ini memudahkan lagi usaha Kusyairi untuk membalas dendam. Tan Sri Khalid ketika itu menghidapi masalah kesihatan yang kritikal, dan oleh kerana peristiwa yang berlaku ke atas Nadhira dulu, Nadhira tidak mampu lagi untuk mengandung. Ini membuatkan Tan Sri Khalid untuk mencari kembali cucunya, Najihah yang telah diserahkan kepada rumah anak anak yatim, bagi menjadikannya waris sah keluarganya.
Nadhira ketika itu telah hilang ingatan. Tapi jauh di dalam ingatannya, ada satu wajah yang sentiasa menghantui beliau dan sering menjadi igauan malamnya. Itu adalah wajah Hanif. Nadhira ketika itu sudah tidak macam dulu lagi. Perwatakannya berubah kerana telah hilang ingatan. Beliau sering ke rumah anak anak yatim yang didiami oleh Najihah. Ini kerana, beiau mengenangkan nasibnya yang tidak lagi boleh mengandung. Tidak tahu bahawa Najihah itu anaknya, Najihah dan Atan menjadi kanak – kanak pilihannya untuk bermain kerana sifat Najihah yang mesra dan cerdas.
Ketika itu, Kusyairi telah menjumpai Nadhira dan tahu identitinya sebagai bekas kakak iparnya. Beliau membuat keputusan menjalinkan hubungan cinta palsu bagi menghancurkan kehidupan keluarga Tan Sri Khalid. Pelbagai sabotaj telah dilakukan bagi menghancurkan perniagaan Tan Sri Khalid. Sabotaj itu dilakukan melalui perniagaan taukeh Lim. Walaupun taukeh Lim tidak bersetuju, tetapi Kusyairi tetap bertegas dengan pendiriannya mahu membalas dendam.
Tan Sri Khalid yang tidak menyedari hal tersebut kerana sibuk menjejak cucunya, Najihah. Masanya kian suntuk. Apabila berjaya menemuinya, Tan Sri Khalid memfailkan tuntutan hak jagaan Najihah. Ia bertindih dengan tuntutan Kusyairi. Maka berlakulah perebutan hak jagaan dan pertelagahan antara tan Sri Khalid dan Kusyairi. Ia tidak diketahui oleh Nadhira. Kekusutan demi kekusutan berlaku, menyebabkan Najihah nekad untuk melarikan diri untuk mencari ibunya, Nadhira. Beliau mengajak Atan untuk menemaninya bagi mencari ibunya Nadhira. Atan menjadi serba salah, tak nak ikut, dia sayang kawannya itu, nak ikut, takut kena marah dengan Mak Som. Setelah diberi kata dua oleh Najihah, maka Atan terpaksa ikut najihah mencari ibunya.
Bermulalah pengembaraan Najihah dan Atan mencari Nadhira. Dalam perjalan itu, beliau sempat bertemu dengan taukeh Lim yang ketika itu menjumpai mereka yang dalam keadaan kelaparan. Najihah menceritakan masalahnya kepada taukeh Lim. Taukeh Lim membawa Najihah ke kubur bapanya dan menceritakan perihal bapanya dan persitiwa yang melandanya. Kemudian, taukeh Lim menghubungi Kusyairi bagi memaklumkan bahawa Najihah berada dengannya dan meminta beliau mengambil mereka berdua secepat mungkin. Tapi sayangnya, perbualan itu didengari oleh Najihah, dan mereka berdua membuat keputusan untuk melarikan diri bagi mencari Nadhira pula.
Tanpa maklumat yang cukup, pencarian mereka bukan mudah. Mereka menemui jalan buntu, mereka juga tidak mengetahui di mana sekarang mereka berada. Najihah kini sedang demam dan kelaparan. Atan cuba mendapatkan makanan, tetapi makian dan hamburan sisa makanan sahaja yang diterima. Ada kala, beliau dipermainkan pula.
Tan Sri Khalid menawarkan sejumlah wang kepada sesiapa yang berjaya menemui Najihah, dan ini diketahui oleh Zaki. Kebetulan, memang Zaki ada ternampak mereka sentiasa bermundar mandir di tempatnya. Tanpa membuang masa, Zaki cuba menculik Najihah. Atan cuba mempertahankan Najihah, tetapi tewas apabila dirodok oleh pisau milik Zaki dan konconya. Najihah dijadikan tebusan oleh Zaki dan meminta supaya Tan Sri Khalid membayarnya RM1 juta bagi membebaskan Najihah. Najihah yang cerdas itu, berjaya memperdaya konco Zaki dan berjaya melarikan diri menuju ke rumah ibunya, Nadhira. Ketika hampir sampai ke rumah Nadhira, Kusyairi hampir berjaya untuk mendapatkan Najihah, tetapi sayangnya, Zaki dan konconya berjaya menangkapnya kembali.
Kusyairi, Tan Sri Khalid, Datin Sri Aida, dan Nadhira yang ketika terpinga pinga tidak tahu apa yang berlaku yang masih tidak tahu itu anaknya, bergegas ke tempat persembunyian Zaki. Pergaduhan berlaku, dan Kusyairi berjaya menyelamatkan Najihah. Tetapi kini, Kusyairi lebih menjurus untuk membalas dendam terhadap Tan Sri Khalid kerana membunuh abangnya. Nadhira menjadi tebusannya pula. Setelah menghentak Nadhira dengan pistolnya, dan jeritan Najihah yang memanggilnya ibu, Nadhira mengingati kembali peristiwa dahulu. Dalam kekalutan itu, Nadhira yang sudah lemah, sempat mendakap Najihah, tetapi sayangnya, Zaki yang sedar kembali telah melepaskan tembakan dan ia mengenai Nadhira dan tembus sehingga ke badan Najihah. Ketika itu, kelihatan seperti arwah Hanif datang memeluk mereka berdua. Mereka berdua menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Setelah peristiwa itu, Tan Sri Khalid telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana penyakit yang menimpanya. Kusyairi telah disahkan mengalami tekanan perasaan, dan dijaga oleh Datin Sri Aida bagi menebus kesilapannya yang lalu.
-TAMAT-

Cadangan Pelakon
Hanif : Syukri Yahya
-          Seorang yang sedang kecewa dan fikirannya bercelaru akibat masalah yang dihadapinya

Nadhira : Nabila Huda
-Seorang yang mempunyai masalah sosial
Najihah : Puteri Balqis
-Kanak – kanak cerdas
Atan : Muhammad Ariff Abdullah (Buntat)
- Rakan baik Najihah yang autism
Kusyairi : Beto Kusyairi
- Adik kepada Hanif, pendendam
Zaki : Bront Palarae
- Gangster dan bekas kekasih Nadhira

Tan Sri Khalid : Usop Wilca
-          Usahawan berjaya, bapa kepada Nadhira
Datin Sri Aida : Azizah Mahzan
-          Isteri kepada Tan Sri Khalid, sombong
Mak Som : Norlia Ghani
-          Pengasuh di rumah anak anak yatim
Taukeh Lim : Adam Corrie
-          Cina Muslim yang sentiasa memberi dorongan kepada Hanif untuk meneruskan kehidupan.

Comments

Popular posts from this blog

BAB 6 : PERANG BERMULA